September 05, 2011
KUALA LUMPUR, 5 Sept — DAP sedang aktif mempelawa beberapa blogger kalangan orang Melayu untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat itu, kata pemimpin pusatnya Loke Siew Fook. Difahamkan pengumuman kemasukan mereka, dilihat sebagai perkembangan terbaru di sebalik peredaran landskap politik semasa, dijangka diumumkan secara rasmi dalam waktu terdekat, kemungkinan bulan ini.“Memang kita aktif mempelawa beberapa blogger kalangan masyarakat Melayu... tetapi masih dalam perbincangan, kita hanya dapat membuat pengumuman selepas cuti sambutan hari raya,” kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah kepada The Malaysian Insider ketika ditemui baru-baru ini.
Tanpa memberi butiran lanjut Loke, ketua Pemuda Sosialis DAP berkata, “kita sedang berbincang dengan beberapa individu, memang ada mendampingi mereka untuk menyertai DAP.”
“Sudah ada perbincangan awal dan mereka juga sudah menunjukkan perkembangan positif untuk menyertai DAP. Kami berharap kemasukan mereka akan memberi semangat untuk lebih ramai menyertai DAP,” katanya lagi.
Loke berkata ia sebahagian daripada pendekatan parti itu untuk membawa masuk pemimpin-pemimpin kalangan kaum Melayu dan Bumiputera menyertai DAP.
“Usaha ini dilakukan secara aktif, khususnya selepas pilihan raya umum 2008,” kata Loke sambil menambah, perundingan itu yang bertujan menarik pemimpin pelbagai lapisan dalam masyarakat Melayu untuk menganggotai parti itu.
Malah kata beliau, selain landskap politik baru negara memerlukan keperluan itu dipertingkatkan, malah kalangan orang Melayu dan Bumiputera sendiri melahirkan hasrat untuk menyertai parti berusia lebih empat dekad ini.
“Kami mengundang mereka yang boleh memberi tenaga kepada perkembanagn DAP daripada kalangan orang Melayu, dan di Sarawak Dayak... ini merupakan dua etnik khusus, yang DAP beri perhatian buat masa sekarang,” katanya.
Loke, antara pemimpin yang secara aktif terlibat dalam proses itu membawa masuk ahli-ahli kalangan Melayu dan kaum Dayak berkata, DAP tidak berhadapan masalah mendapatkan keahlian kalangan kaum India di Semenanjung dan juga masyarakat Kadazan di Sabah.
Majoriti ahli DAP buat masa sekarang adalah orang Cina.
Katanya, walaupun musuh-musuh politik mereka melabel DAP sebagai “parti kaum Cina”, tetapi umumnya “kami bangga untuk mengatakan bahawa DAP adalah sebuah parti rakyat Malaysia.”
“Kami sentiasa berjuang sebagai sebuah parti rakyat Malaysia... perkara ini sudah mula disedari oleh orang Melayu sendiri,” katanya yang memberi alasan sebab pihaknya mula diterima oleh kaum Melayu dan Bumiputera dengan terbuka - perkembangan yang dilihat sejak selepas pilihan raya umum 2008.
Katanya, DAP pernah ada pemimpin-pemimpin Melayu sebelum ini, antaranya Allahyarham Ahmad Nor, tetapi selepas kematian beliau, penekanan membawa masuk lebih ramai orang Melayu sebagai pemimpin ‘agar perlahan’ buat satu tempoh tertentu.
“Jadi, sekarang usaha ini dipertingkatkan dan diaktifkan di seluruh negara... sebab itu kita ada program ‘outreach’,” kata Loke lagi sambil menambah, “di peringkat Semenanjung, kami perlu berusaha untuk mendapatkan lebih ramai pemimpin Melayu.”
Katanya, pendekatan sejak kebelakangan ini merupakan satu hala tuju baru yang tepat dan “saya juga memainkan peranan aktif untuk bertemu dan sama-sama menjemput mereka masuk ke dalam DAP.”
“Saya fikir bahawa sudah sampai masanya, DAP, kita berharap yang ini akan menjadi satu usaha berterusan terutama dengan kemasukan golongan cendekiawan Melayu... masuk ke dalam DAP, kami berharap proses ini akan menguatkan, dan memberi satu suntikan baru ke dalam DAP,” katanya lagi.
DAP menerima penyertaan terbaru iaitu tokoh akademik dan pakar sejarah budaya Prof Dr Ariffin Omar awal bulan lalu.TheMalaysiaInsider
Menyokong Perjuangan DSAI
Iklan Penaja
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...