Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, September 03, 2015

YB KHALID SAMAD JAWAB ISU BAIAH..MENARIK HUJAHNYA..

Foto Saya Persoalan Meletak Jawatan Sebagai Ahli Parlimen dan Pelanggaran Bai’ah 

Sejak pengumuman penyertaan saya dan sahabat lain dari PAS dalam parti Pekerja-Pekerja Malaysia melalui mana perjuangan yang dibawa gerakan Harapan Baru dapat diteruskan, maka terdapat kedengaran tuntutan untuk kami meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN. Mengikut mereka ini adalah yang sewajarnya kerana kami telah dipilih atas lambang PAS dalam PRU yang lepas.

Saya telah memberi penjelasan mengenai persoalan ini dalam satu sidang akhbar pada 25 Ogos yang lepas. Oleh kerana persoalan ini masih ditimbulkan, maka saya ingin menjelaskan pendirian saya kembali untuk pengetahuan semua pihak.

Seseorang wajar diminta meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hanya atas dua sebab. Pertama kerana melanggar asas di atas mana dia dipilih dan kedua kerana tidak berperanan di Parlimen dan kawasannya.

ASAS DI ATAS MANA KAMI DIPILIH

Kami menang dalam PRU lepas atas dua asas. Pertama Islam dan kedua PR. Asas pertama adalah asas yang mana PAS mendapat sokongannya. Asas kedua adalah terkandung dalam kempen kami semasa PRU di mana kami membawa ‘Buku Jingga’ dan Manifesto PR untuk Negeri Selangor dan rakyat awam, Islam dan bukan Islam, memilih kami atas sebabnya.

Walaupun kami berpindah wadah, namun kami kekal atas kedua-dua asas tersebut. Dengan itu kami tidak mengkhianati sebab atas mana kami diundi. Adalah perlu dibezakan bahawa kami bersama PAS dahulu untuk perjuangkan Islam, bukan perjuangkan PAS. Bagi kami PAS hanya merupakan wadah untuk perjuangkan Islam. Pada ketika itu, hanya PAS sahaja membawa perjuangan berasaskan Islam. Selagi kami terus bersama perjuangan Islam, walapun melalui wadah lain, maka dasar perjuangan kami tetap sama dan kami tidak mengkhianati undi yang diperolehi atas sebab dasar Islam ini.

Dalam persoalan asas kedua kami dipilih, ianya adalah kekal bersama PR dalam erti-kata tahaluf siyaasi bersama PKR dan DAP. Kami kekal dengan dasar itu. Malahan itu adalah salah satu factor penting mengapa kami terpaksa berhijrah ke wadah baru apabila ingin terus setia dengan asas kedua ini. Ini adalah kerana PAS telah berpindah dari dasar itu setelah mengkhianati PKR beberapa kali dan bertelagah dengan DAP sehingga musnahnya PR.

Yang tidak setia dengan dua asas pemilihan inilah yang sepatutnya dianggap mengkhianati undi rakyat walapun mungkin tidak berpindah parti. Ini adalah kerana kemenangan tercapai atas dua dasar utama yang disebutkan tadi dan bukan atas salah satu darinya.

Kedudukan kami tidak boleh disamakan dengan yang lompat dan khianat perjuangan partinya atau pengundinya seperti Dato Ibrahim Ali. Dia telah melompat dan menjadi wakil rakyat bebas dan seterusnya menyokong BN. Sedangkan BN ditentang rakyat yang mengundinya! Rakyat mengundinya kerana menentang BN dan menyokong PR, tetapi akhirnya dia bertindak menyokong BN dan menolak PR! Kami tidak bertindak sedemikian rupa.

Image result for tone excel 
 TIDAK BERPERANAN SEBAGAI AHLI PARLIMEN DI PARLIMEN DAN KAWASANNYA

Sebab kedua yang wajar untuk mana-mana wakil rakyat diminta meletakkan jawatan adalah sekiranya dia tidak berperanan.

Sefaham kami, kami telah memenuhi tanggung-jawab kami sebagai Ahli Parlimen dengan sebaik mungkin melalui kehadiran yang hampir penuh dan keterlibatan aktif dalam perbahasan. Yang kurang hadir dan kurang terlibat dalam perbahasan ini sepatutnya dikaji kembali kedudukan sebagai Ahli Parlimen. Yang sebegitu sifatnya maka memang sepatutnya diminta untuk meletakkan jawatan.

Keanggotaan kami di dalam parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang bakal ditukar namanya kepada Amanah Negara tidak menghalang kami dari terus memainkan peranan kami sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri dengan sebaik mungkin. Oleh itu tiada sebab untuk kami meletak jawatan atas sebabnya.

PERSOALAN BAIAH SEMASA DIPILIH SEBAGAI CALON PAS

Akhirnya ada juga yang menimbulkan persoalan Baiah apabila kami dipilih menjadi calon PAS. Baiah itu telah menyebut secara jelas bahawa sekiranya kami keluar PAS atau menyertai parti lain selepas menang, maka kami akan dilaknat Allah dan pendapatan kami sebagai Ahli Parlimen dianggap haram.

Apa yang perlu difahami ialah baiah ini adalah antara dua pihak yang kedua-dua pihak mempunyai tanggung jawab terhadap satu sama lain. Yang memberi baiah mempunyai tanggung jawab terhadap penerima baiah dan penerima baiah juga mempunyai tanggung-jawab terhadap yang memberi baiah. Dalam soal ini kami berpandangan bahawa pihak penerima baiah telah gagal memenuhi tanggung jawab mereka terhadap kami apabila:

a) Membenarkan kempen kotor memfitnah dan melabel kami sepanjang 2013 sehingga 2015 tanpa sebarang usaha untuk menghalangnya atau membendungnya sedangkan ia adalah menjadi tanggungjawab pimpinanan parti untuk memelihara ukhwah di kalangan ahli. Malahan dari maklumat yang ada, jelas membenarkannya serta menggalakkannya demi menentukan kami dijatuhkan semasa muktamar 2015 dan telah menjadi Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS.

b) Kedua dan lebih releven terhadap kedudukan kami sebagai wakil rakyat, pihak penerima baiah telah melanggar persetujuan parti, termasuk diri kami, untuk mengukuhkan PR, atas mana kami telah diturunkan sebagai calon dan dipilih oleh rakyat. Apabila ini tidak dipenuhi maka pemilihan kami sebagai wakil rakyat oleh pengundi telah dikhianati sepertimana juga kefahaman kami bahawa kami turun sebagai calon PAS yang mewakili PR.

Pelanggaran baiah oleh penerima baiah dengan sendirinya adalah alasan kukuh untuk kami keluar dari baiah tersebut.

Kedua, sesuatu Baiah seharusnya berpaksikan ketaatan kepada Allah dan RasulNya, bukan ketaatan kepada mana-mana badan/organisasi atau individu. Ini bererti selagimana ketaatan kepada Allah dan RasulNya tidak dilanggari, malahan itu yang diusahakan, maka persoalan perlanggaran Baiah tidak timbul. Adalah amat malang sekiranya seseorang yang ingin mencari keredhaan Allah dengan melakukan apa yang diyakininya sebagai yang lebih baik, maka dia dihalang oleh kerana sesuatu baiah terhadap satu badan atau individu. Sedangkan pada akhirat kelak tiada yang akan menjawab bagi dirinya apabila ditanya oleh Allah mengapa tidak dilakukan apa yang diyakini adalah lebih baik. Dalam soal ini, sila rujuk kepada hadis Sahih Muslim yang disertakan di bawah.

Ketiga, kami yakin bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Allah mengetahui niat kami dan sebab mengapa kami terpaksa bertindak sebegini. Dia mengetahui latar belakang dan peristiwa-peristiwa di sebalik semua yang berlaku. Maka atas keyakinan terhadap sifat Allah sebagai Maha Mengetahui dan Maha Adil, kami bertindak untuk keluar PAS dan bersama parti yang bakal dinamakan Amanah Negara.

MEMBAYAR KAFFARAH: DALIL DAN KEPERLUANNYA

Namun demikian, oleh kerana melanggar Baiah ini sesuatu persoalan besar dan berat, maka ianya tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya. Melanggar janji tetap merupakan satu kesalahan, samada janji itu dibuat dengan orang Islam atau orang bukan Islam, samada beralasan kukuh atau pun tanpa alasan kukuh. Oleh itu kaffarah perlu dibayar dan hendaklah juga kami beristighfar atas pelanggaran baiah ini. Sememangnya tiada janji yang dibuat yang ingin dilanggari.

Dalam soal kaffarah yang perlu dibayar, maka ini telah diperjelaskan dalam Al-Quran, ayat 89 Surah Al-Ma’idah yang berbunyi:



Maksudnya;

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah terhadap sumpah-sumpah yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian kepada mereka, atau memerdekakan hamba. Kemudian sesiapa yang tidak mampu (menunaikan denda tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah, pelihara sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur”.

Ada juga hadis dari Abu Hurairah (RA) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya yang berbunyi;


Maksudnya;

“Barang siapa yang mengangkat sumpah dalam sesuatu perkara lalu ia melihat ada yang lain yang lebih baik dari sumpahnya itu maka ambillah yang lebih baik itu dan hendaklah ia membayar kaffarah terhadap sumpah tersebut”.

Kami berpandangan bahawa adalah lebih baik untuk kami berkhidmat untuk Islam dan rakyat melalui Amanah Negara. Ini adalah kerana kami akan dapat terus setia terhadap kedua-dua janji kami kepada rakyat yang atas mana rakyat mengundi kami, iaitu Islam dan tahaluf siyaasi bersama PKR dan DAP.

KESIMPULAN

Berdasarkan penjelasan di atas, adalah diharap pendirian kami terhadap persoalan perletakkan jawatan sebagai wakil rakyat menjadi lebih jelas. Kami faham bahawa ada yang masih tidak bersetuju dengan pendirian kami walaupun setelah kami menjelaskannya. Itu tiada apa yang boleh kami lakukan.

Bagi yang melihat Islam itu PAS dan PAS itu adalah Islam, khususnya, mereka tidak akan berpuas-hati. Bagi golongan ini, mungkin penyelesaian akan hanya tercapai melalui PRU ke-14 apabila kami akan kembali bertanding sebagai calon Amanah Negara insyaAllah. Mungkin pada ketika itu akan terbukti samada kami layak terus bertindak sebagai wakil rakyat atau sebaliknya.

Sambil itu kami akan terus berusaha untuk menunaikan tanggung-jawab kami dengan memperjuangkan Islam dan mempertahankan kesepakatan dengan PKR dan DAP demi menjatuhkan BN. Hanya dengan dijatuhkan BN akan Islam serta rakyat dimerdekakan dari kekeliruan dan adu-domba yang sedang berluasa sekarang ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

3 ulasan:

  1. macai2 pas tak ada hujah tp terus serang amanah krn dendam kesumat tak habis2

    BalasPadam
  2. JAWAPAN DARI SEORANG MP YANG MENGGUNAKAN HEBAT, MENGGUNAKAN OTAK DAN ILMUNYA.

    BalasPadam
  3. Biarkan mereak dengan tekanan jiwa mereka .kita tidak membantu menenangkan jiaw2nya .

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...