PERMATANG PAUH: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kemenangan Islam membuka (fathul)
negeri adalah sama sekali berbeza dari penaklukan (isti’mar) dan
revolusi yang dilakukan oleh kuasa penjajah atau idealogi lain.
Menurut
beliau, Islam menguasai negeri dengan membuka hati manusia kepada
keamanan, keadilan, kebaikan dan keindahan Islam hingga menyebabkan
manusia menerimanya sebagai anutan akidah dan cara hidup.
Malah
ujarnya, ia berbeza dengan penaklukan dan revolusi sebagaimana pernah
dilakukan penjajah Barat dan idealogi lain yang telah memperhamba,
menawan, menzalimi, memaksa dan merampas harta rakyat, bahkan
menyebabkan terbunuhnya jutaan manusia.
“Kesan Perjanjian
Hudaibiyah, kabilah Arab berduyun-duyun menemui Nabi SAW. Islam
(berkembang) sampai ke tanah jajahan takluk Parsi dan Rom. (Mereka)
bukan sahaja menukar agama (kepada Islam) tetapi juga budaya dan bahasa
antaranya Sudan, Mesir, Iran hinggalah Utara Afrika,” ujar Ustaz Abdul
Hadi menyampaikan tafsir surah al-Fath pada Ijtimak Tarbawi 4.0 di
Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang, di sini semalam.
Oleh itu,
beliau mahu para pejuang Islam menyedari bahawa kesan jihad secara damai
(muwajahah silmiyah) terbukti menyebabkan lebih ramai manusia menerima
Islam berbanding jihad peperangan.
Malah, Tuan Guru mahu para
pejuang Islam meyakini hanya Islam akan kembali berkuasa, sedang semua
agama, kuasa, ideologi dan teori selain Islam pasti akhirnya menemui
kegagalan.
Beliau memberikan contoh beberapa negara yang telah
meninggalkan idealogi asalnya dan menganut pula idealogi lain, termasuk
berakhirnya tamadun agama seperti Hindu dan Buddha.