Pages - Menu

Pages - Menu

Isnin, Disember 22, 2014

SOKONGAN PADU : KEPADA Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam waran tangkap peringkat kod merah yang dikemukakan ke atas ulama’ tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Waran ini dikeluarkan oleh badan Polis Antarabangsa (Interpol) atas permintaan daripada kerajaan Regim As-Sisi Mesir, yang mengaitkan Al-Qaradhawi, dengan tuduhan menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vandalisme dan kecurian.

"Sesungguhnya dakwaan ini sangat berat memandangkan ia merupakan fitnah semata-mata," ujar Presiden Abim, Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mengikut catatan dalam buku Thawrah sya'b (Kebangkitan Rakyat), ketika kemuncak kebangkitan rakyat di Mesir, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi tetap mempertahankan pendekatan tunjuk perasaan secara aman walau diminta berkali-kali untuk membenarkan rakyat Mesir menggunakan kekerasan sebagai tindak balas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh pihak polis serta samseng upahan Hosni Mubarak.

Kata beliau, walaupun ramai rakyat Mesir yang dibunuh secara kejam, Yusuf Al-Qaradhawi tetap menyeru rakyat Mesir untuk meneruskan perhimpunan serta protes secara aman.

 "Beliau adalah individu yang bertanggungjawab menganjurkan agar para pemuda yang menyertai demonstrasi agar menunjukkan akhlak yang baik.

"Beliau juga meminta agar pihak penganjur demonstrasi mengutip sampah membersihkan Dataran Tahrir," katanya lagi.

Keadaan itu, ujar beliau jelas menunjukkan kesetiaan Yusuf Al-Qaradhawi dalam mempertahankan prinsip asas demokrasi serta hak asasi manusia, secara aman tanpa menumpahkan darah.

Atas dasar ini, katanya masyarakat antarabangsa yang mendukung demokrasi seharusnya bangkit dan memprotes sebarang bentuk cubaan untuk merosakkan semangat demokrasi yang semestinya selari dengan Islam.

"Dunia Islam juga seharusnya menolak waran ini," ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan kenyataan di atas, tiada sebarang bukti untuk kaitkan Qaradhawi dengan sebarang aktiviti keganasan.

"Kerajaan Mesir yang mengeluarkan waran ini jelas bersikap 'double standard' dengan memejamkan mata terhadap kezaliman Hosni Mubarak dengan melepaskan beliau dari segala tuduhan, sedangkan kita sedia maklum ramai penggerak Ikhwan Muslimin dinafikan hak demokrasi mereka, dipenjara, diseksa tanpa mendapat perbicaraan yang sewajarnya," katanya.

Justeru, kata beliau Abim menyeru kerajaan agar mengambil pendirian tegas dengan menyokong Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi, selaku penerima Tokoh Maal Hijrah 2009.
"Sokongan ini perlu disuarakan atas dasar mempertahankan wacana kesederhanaan sebagai aliran pemikiran utama sejagat.

"Dukungan ke atas Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga menzahirkan komitmen kita ke atas keluhuran amalan demokrasi dan hak asasi manusia," ujar beliau.

hd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...