Pages - Menu

Pages - Menu

Sabtu, Disember 13, 2014

Subky Abdul Latif : Pas harus contohi kepimpinan Pak Doktor

Subky

KOTA BHARU - Pemikiran dan keperibadian Presiden Pas ke-3, Dr Burhanuddin Al-Helmy atau lebih dikenali sebagai Pak Doktor harus menjadi contoh dan dimanfaatkan sepenuhnya kepimpinan Pas kini terutamanya dari segi penerimaan beliau terhadap semua lapisan masyarakat.

Penganalisis Politik, Subky Abdul Latif berkata, kepimpinan yang ditonjolkan Pak Doktor yang sebelum ini diterima seluruh masyarakat harus dipraktikkan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran pada zaman pentadbirannya.

“Pak Doktor ditentang banyak pihak kerana dikatakan hendak membawa tanah Melayu ke Indonesia, jadi beliau bertanya, apakah tidak eloknya orang Melayu dan orang Indonesia ini, bukankah selama ini kita juga bersaudara, walaupun begitu, dunia politik kini juga sudah berbeza, ternyatalah penyatuan itu adalah sesuatu yang amat sukar.

“Tetapi pada masa itu umpamanya, orang Melayu itu kalau boleh disatukan, tidak kira di mana-mana, itu adalah lebih baik, dan orang Melayu itu bukan di tanah Melayu sahaja, jika disatukan, kitalah satu bangsa yang paling besar dalam dunia, oleh sebab itulah penyatuan Melayu yang Pak Doktor kehendaki itu adalah satu gagasan yang paling ditakuti oleh komunis Cina dan sebagainya,” katanya kepada media kelmarin.

Beliau hadir sebagai ahli panel Seminar Pemikiran dan Ketokohan Dr Burhanuddin Al Helmy : Kajian Sempena 63 Tahun Pas Malaysia di Kompleks Kota Darul Naim semalam.

Menurutnya, Pak Doktor diakui juga memberi pelbagai perubahan dan kemajuan memandangkan kepimpinan terdahulu tidak banyak mencorakkan arah dan hala tuju parti ketika itu, sekali gus dibuktikan dengan sokongan kepada Pas semakin bertambah selepas setahun dipegang Pak Doktor.

Subky yang juga seorang penulis turut memberitahu, malah Pak Doktor mempunyai sebab yang kukuh mengapa mengambil alih Pas ketika itu, ini kerana perjuangan Islam sudah mula jelas dan mana-mana orang yang tidak menyokong apa-apa parti ketika itu akan memilih Pas.

Ketika ditanya mengenai adakah wujud lagi pemikiran seperti Pak Doktor dalam era Pas sekarang ataupun Pas sendiri masih mencari identiti, Subky berkata, perkara tersebut adalah berbeza kerana pemimpin yang ada kini secara terangnya menolak nasionalis.

“Tetapi pemikiran Pak Doktor itu adalah perkara yang sebelum merdeka, sekarang ini ialah masa pengisian, jadi orang Pas sekarang ini memberikan perbezaan antara nasionalis itu.

"Tetapi apa yang Pak Doktor mahu ialah orang ini nasionalis, tetapi jangan tinggal solat, jangan tinggal untuk memperjuangkan Islam, sama juga dengan sosialis, bawa pandangan Islam itu ke dalam sosialis, jangan tinggal Islam, dalam masa sama Pak Doktor tidak buat (perangai) macam orang itu,” katanya.

Subky juga memberitahu, walaupun Pak Doktor sebelum ini mahukan nasionalis yang diasaskan mengikut acuan Islam, namun itu bukan isu utama dalam Pas kini kerana mereka sudah sedar dan tahu yang nasionalis itu adalah tidak betul dari segi Islamnya.

“Maka sekarang ini kita mesti jelas, nasionalis sekarang terbukti yang tidak melaksanakan dan menolak Islam, sosialis itu juga jelas menolak Islam, dan sekarang ini ia tidak sama lagi dengan zaman Pak Doktor, dia adalah pemimpin kepada semua orang, jadi dari situlah kita boleh buat Islam.

“Tetapi sekarang ini sosialis tidak sama, oleh sebab itu Pak Doktor menerima kepimpinan walaupun dia telah terpisah dengan nasionalis tulen dan sosialis tulen, kerana selepas merdeka, benda itu sudah jelas, apa yang Pak Doktor mahu ialah kemerdekaan kepada Islam, iaitu merdeka individu Islam, masyarakat mengamalkan peraturan Islam dan bentuk negara Islam.

“Walaupun kemerdekaan itu British bagi, tapi semua ini tidak ada, ia tidak akan dinamakan kemerdekaan, jadi, Pak Doktor tidak sebut sosialis, nasionalis, tetapi kemerdekaan itu adalah mesti individu menerima Islam dan beramal kepada Islam,” katanya.

sh

http://biz-55.webs.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...