Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Isnin, September 30, 2013

Kesenjangan Pendapatan; Mahakaya Dan Papa Kedana

Dalam wacana bersama Al Gore dan Mary Robinson di New York 2 hari lalu, persoalan melebarnya pendapatan kelompok kecil mahakaya dan majoriti miskin turut dibahaskan. Tokoh ekonomi, Laura Dyson mendedahkan hasil kajian terkini bahawa pertumbuhan ekonomi 2010-2012 di Amerika Syarikat bermanfaat besar kepada golongan mahakaya. Malah, 95 peratus dari keseluruhan hasil pertumbuhan tersebut di bolot oleh hanya 1 peratus rakyat terkaya. Nasib pekerja, rakyat miskin tidak dihiraukan. Rakyat di beban dengan harga barang keperluan yang meningkat dan kemungkinan memperolehi rumah mampu milik luput sama sekali.

Selain dari retorik membela nasib rakyat, tidak ada sebarang langkah tegas dan berkesan yang membuktikan kepedulian terhadap kegelisahan rakyat. Kejutan rakyat membantah dasar ekonomi yang hanya memperkaya kelompok kecil dalam gerakan Occupy Wall Street kian pudar dan tewas kepada penguasa kaya!

Angka ini memperkukuh keyakinan kita bahawa sistem ekonomi kapitalis yang tidak prihatin terhadap derita rakyat yang banyak di amalkan harus di rombak! Pakar ekonomi, Paul Krugman dalam rencananya, ‘Plutocrats Feeling Persecuted’ di New York Times semalam menyanggah keangkuhan golongan mahakaya yang meleter tentang kegigihan dan pengurbanan mereka yang tidak dihargai! Walhal, hasil ‘bailout’ puluhan bilion dolar adalah untuk mereka dan dasar ekonomi penguasa politik juga memihak kepada mereka. Beban yang ditanggung rakyat jelata tidak sedikit pun dirasai!

Permasalahan sama di kesan di banyak negara termasuk Malaysia. ‘Bailout’ puluhan bilion untuk syarikat keluarga, subsidi kepada IPP, pinjaman bank di telan segelintir. Dan lebih merumitkan adalah dalam setiap pertelingkahan dari harga minyak, letrik, gula – keputusan penguasa memihak kepada golongan mahakaya!

Slogan yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana dikumandang angkatan mahasiswa 70an dan di cerna dari kesedaran dan ‘conscience’ hati nurani yang menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka ingin terjemahkan idealisme ‘adalah ijtima’iyyah’ atau pengagihan adil (teori John Rawls) sebagai kenyataan.

Mengekalkan dasar dan amalan memunggah hasil mahsul negara untuk segelintir puak penguasa – kontrak, saham dan penswastaan mesti dibantah. Semangat menuntut keadilan ekonomi manusiawi, perlu disemarakkan. Kekayaan dan khazanah negara adalah amanah untuk rakyat dan generasi mendatang.

ANWAR IBRAHIM
      

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...