Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, September 20, 2013

Anwar Ibrahim ialah pencetus reformasi. (WAJIB BACA)

“Tiada sesiapa pun yang benar-benar mengenali sebuah negara itu sehinggalah dia pernah berada di dalam penjaranya. Sesebuah negara itu tidak wajar diadili dengan cara layanan kepada warga atasannya, tetapi layanannya kepada warga bawahannya.” (Nelson Mandela)

Ketika remaja, saya sering menyelak helaian koleksi keratan akhbar lama milik abah. Salah satunya yang sering diingati ialah helaian akhbar tahun 1982 mengenai seorang personaliti bernama Anwar Ibrahim yang diumumkan bakal menyertai Umno.

Majoriti kalangan sahabat terdekat dan pengikut Anwar ketika itu, melihat beliau sebagai harapan mereka; susuk pemimpin masa hadapan yang mampu memberikan cabaran besar kepada kerajaan. Maka, tindakan beliau menyertai Umno tidak diterima umum; termasuklah emak, yang merupakan seorang ahli JIM.

Tahun 1996, sewaktu Anwar membentangkan bajet di Parlimen - suatu acara tahunan ditunggu-tunggu, kerana sinonimnya dengan Anwar memperkenalkan perkataan baru - kelihatan terdapat tanda-tanda di wajahnya. Emak berseloroh, “ Baru nak matang lah tu...” Mungkin, perasaan tidak puas hati masih kekal sehingga saat itu.

Tidak lama kemudian berlakulah krisis kewangan yang menggoncang ekonomi Asia Tenggara, tatkala Anwar berada di puncak kerjayanya di dalam kerajaan sehingga memangku jawatan Perdana Menteri. Dalam era yang sama, akhbar melaporkan usaha beliau menentang kronisme dan rasuah. Emak dan abah menyatakan firasat mereka bahawa Anwar akan ‘kena’ tidak lama lagi. Saya tidak dapat menangkap maksud mereka sehinggalah peristiwa 2 September 1998.

Detik demi detik peristiwa itu saya saksikan di kaca televisyen dari kampus di selatan tanah air. Saat itu tidak dapat dilupakan; terduduk keliru cuba menenangkan fikiran dan memahami kekacauan yang sedang berlaku. Sejak itu, laporan berita dan perkembangan kes tuduhan Anwar menjadi urusan harian. Kata-kata masyhurnya: “Ini adalah konspirasi dan fitnah jahat untuk membunuh karier politik saya” bergema di dalam minda setiap hari.

Kemuncaknya ialah pada hari bersejarah, Ahad, 20hb September 1998, di mana demonstrasi terbesar dalam sejarah Malaysia berlaku di Dataran Mereka, di bawah lembayung reformasi. Rakyat yang berkumpul di Masjid Negara untuk mendengar ucapan reformasi oleh Anwar, berarak ke Dataran Merdeka untuk ucapan seterusnya, beralih ke Jalan Raja Laut dan akhirnya menamatkan perarakan di persimpangan jalan menuju Parlimen. Di situ juga gas pemedih mata dilepaskan.

Ketika itu, saya menyaksikan sendiri tenaga dan keyakinan rakyat dalam perhimpunan itu yang boleh disamakan dengan negara jiran kita. Hanya lima bulan sebelum itu, rakyat Indonesia menjatuhkan Presiden Soeharto. Malaysia tidak pernah menyaksikan manifestasi ketegasan yang sebegini. Tetapi perkara penting yang perlu diakui ialah ia bukan kerana Anwar. Reformasi ialah satu gerakan massa menentang kezaliman. Jika ia mampu dan boleh bertindak kejam kepada nombor dua paling berkuasa, bagaimanakah pula nasib rakyat biasa?

Ramai personaliti lain juga turut ditangkap di bawah undang-undang zalim ISA selepas itu. Melihatkan ketidakadilan yang berleluasa, Allahyarham Fadzil Noor kemudiannya mengetuai Gerak yang terdiri daripada pakatan parti politik dan NGO. Antara aktiviti awal Gerak ialah mengadakan protes besar-besaran untuk membebaskan Anwar. Gerakan reformasi yang asalnya tertubuh khas untuk membebaskan Anwar, kemudiannya memperolehi momentum dan berevolusi menjadi satu gerakan kerakyatan menentang ketidakadilan.

Reformasi terus bergerak menjadi sesuatu yang lebih besar, daripada pelbagai sudut. Salah satu perubahan yang berlaku ialah, penyatuan semua parti pembangkang, NGO dan gerakan Islam sebagai suatu penyatuan yang jitu dan tidak dapat diketepikan. Sebuah perpaduan, yang impaknya tidak pernah disaksikan sebelum ini. Kendatipun wujud perbezaan yang ketara, parti pembangkang menyedari wujudnya nilai bersama yang dijunjung bersama yakni keadilan dan kebebasan. Perjuangan ini dipegang sepenuh keringat dan diperjuangkan sepenuh jiwa.

Kesedaran ini berkuasa menyatukan dan mengubah senario politik dan wajah Malaysia secara umum. Lantaran itu, pejuang rakyat daripada PRM, ABIM, JIM dan mereka yang meninggalkan Umno membentuk Adil, sebuah NGO yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kita kenali sekarang.

Lantaran itu, kita disedarkan betapa luas, dalam dan melampaunya struktur kuasa dan pengaruh kerajaan dalam dalam mengawal kuasa polis negara, media massa dan keseluruhan sistem kehakiman negara.

Malam himpunan bersejarah itu, sepasukan komando bertopeng menyerbu kediaman peribadi Anwar dan secara kasarnya menahan beliau. Sembilan hari kemudian, beliau pertama kali muncul dengan mata lebam ditumbuk. Detik gelap sebuah negara bangsa, Malaysia menyaksikan terbunuhnya demokrasi.

Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi rahsia, secara kolektif masyarakat mengetahui dan mengikuti butir perbicaraan dengan minat mendalam. Anwar diletakkan dalam perbicaraan yang penuh kontroversi - baik daripada segi intepretasi undang-undang mahupun keadilan moral - disabitkan bersalah, dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun.

Bagaimana seorang yang pernah menjadi orang nombor dua di Malaysia, dipenjarakan dalam sebuah perbicaraan yang penuh kontroversi, dibelasah dengan ganas, diraduk emosi dan mentalnya tanpa perikemanusiaan? Anwar Ibrahim menjadi “prisoner of conscience” Malaysia yang paling kontroversi.

Reformasi

Reformasi menghembuskan nafas baru ke dalam golongan muda Malaysia era 1990-an, ketika semangat belia dan aktivis dilemahkan oleh falsafah kehidupan golongan muda yang berpandukan kekayaan material dan hedonisme. Idealisme golongan muda sebelum reformasi bertentangan dengan golongan muda era 70-an, dengan idealisme perjuangan pro-miskin pro-rakyat mereka, yang digerakkan budaya intelektual, selari dengan semangat merdeka, dan sesuai dengan nilai sebuah negara bangsa yang baru meraih kemerdekaan. Reformasi menjadi sebuah gerakan awam yang digerakkan oleh rakyat daripada pelbagai latar belakang kehidupan, aspirasi rakyat yang lahir dengan tiba-tiba, jujur dan mendesak. Reformasi masih kekal begitu; milik semua orang, sama ada yang berkecimpung dalam politik atau tidak, sama ada muda atau tua.

15 tahun kemudian, rakyat Malaysia kini boleh dianggap mengalami suatu proses kematangan politik yang luar biasa dengan menyaksikan peristiwa Anwar dan reformasi. Kita mewarisi sebuah negara, Malaysia yang sarat dengan kepelbagaian realiti untuk dihadapi; sistem pilihan raya yang tidak adil, masyarakat plural yang begitu sensitif dengan identiti perkauman sempit, kerajaan yang mempunyai kawalan melampau dalam aspek ekonomi, kehakiman dan sosial sebuah negara, tahap kehidupan yang tidak seimbang secara demografiknya, di antara banyak hal lain. Bukan mudah untuk mengubah status quo, mahupun sistem yang tertanam dan diamalkan selama 50 tahun. Sukar, tetapi bukan mustahil.

Sang pencetus reformasi

Gerakan reformasi sebenarnya dilahirkan melalui pergelutan ramai personaliti politik, bukan sahaja Anwar. Tanpa mereka reformasi tidak mungkin menjadi kenyataan. Namun, terlalu ramai yang perlu diiktiraf sehingga penulis tidak mampu menyenaraikannya tanpa meletakkan keadilan dalam risiko. Walaupun mungkin ramai yang akan mencapai kesimpulan mudah itu, artikel ini bukan tentang Anwar Ibrahim. Artikel ini tentang sang pencetus reformasi.

Sebagai seorang pemimpin pelajar yang tersohor ketika zaman kuliahnya di UM, Anwar kemudiannya bersama-sama menubuhkan salah satu organisasi masyarakat sivil terawal di penghujung 1970-an di Malaysia, dikenali sebagai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kecenderungannya untuk mengangkat kepentingan orang miskin dan terabai, serta kelantangan beliau mengkritik kerajaan menyebabkan beliau dipenjara 20 bulan di bawah ISA selepas peristiwa Baling 1974.

Pasca Revolusi Islam Iran 1979, Malaysia turut merasakan bahang daripada kebangkitan gerakan Islam di peringkat global. Kita menyaksikan buat kali pertamanya kebangkitan sebuah organisasi masyarakat sivil berasaskan Islam. Situasi itu menjadi bonus kepada PAS, yang ketika itu sedang menyambut kepulangan gelombang besar golongan profesional muda berpendidikan luar negara yang menyuntik dinamisme baru dalam parti terbabit. Profil parti di kalangan pengamal undang-undang, para doktor, jurutera dan ahli ekonomi yang menerima pendidikan di barat meningkat, lantas menjadi salah satu pencabar utama kepada hegemoni politik Umno.

Anwar Ibrahim dilihat sebagai penyelesaian terbaik dan bakal waris kepada Tun Mahathir dan Umno ketika itu; seorang lelaki dilihat dan dikenali kerana prinsip Islam yang dipegangnya, digabungkan pula dengan kesarjanaan dan kepetahan beliau dalam disiplin pemikiran dan falsafah oksidental. Anwar bakal menjadi figura politik yang cukup berpengaruh, mendaki tangga politik sehingga memegang antara jawatan paling penting dalam negara; sebagai menteri kewangan dan seterusnya timbalan perdana menteri. Dikenali dengan sifat tidak pernah beralah terhadap tekanan korupsi dan sifat tiada tolak ansur kepada kronism, beliau mempunyai kerjaya politik yang tidak mudah untuk ditumbangkan. Pada bulan September yang malang itu, musibah besar menghentam jatuh ke atasnya dalam sebuah saga politik dan ekonomi yang selamanya merobek sejarah politik Malaysia.

Namun bukanlah semuanya punah dan sia-sia. Seperti yang pernah diungkapkan oleh seorang pemimpin waktu itu, untuk membersihkan air kumbahan, hampir mustahil jika kita berenang di dalamnya; pembersihan hanya boleh dilakukan dari luar. Anwar barangkali perlu belajar hal itu. Sebuah proses pembelajaran yang tentu sekali cukup pahit untuk beliau.

Membentuk blok menuju ke zaman baru reformasi

November 1999, Malaysia menyaksikan penyatuan kuasa pembangkang menuju ke Pilihanraya Umum Ke-10 yang dikenali sebagai Barisan Alternatif. Untuk pertama kali dalam sejarah, barisan pembangkang memperolehi undi majoriti Melayu setinggi 54%. Rekod itu tidak pernah dicabar sehingga hari ini. Barisan Nasional diselamatkan oleh undi orang Cina dan India, yang mungkin ketika itu tidak bersedia secara politik dan ekonomi untuk mencabar status quo secara serius.

Menjelang 2004, Barisan Nasional (BN) mengubah kembali senario dengan sebuah kemenangan besar. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dipersoalkan membolehkan BN memenangi 24 daripada 25 kerusi baru, serta lebih daripada 90% kerusi parlimen. Persaraan Tun Mahathir, yang mulai diterima secara besar-besaran waktu itu, juga menarik sokongan baru kepada Umno dan Barisan Nasional. Ketika itu saya merasakan harapan menjadi gelap gelita dan seolah-olah perubahan menjadi mustahil.

Era sebelum Pilihanraya Umum 2008 menyaksikan perubahan mendadak. Pengenalan kepada dasar berdasarkan-keperluan (needs-based) juga menarik perhatian baru, terutamanya di kalangan bukan-Bumiputera. Dasar itu bukan sekadar usaha untuk meraih undi, malah kewujudannya memang kena pada waktunya,  memandangkan ketidakadilan menyeluruh yang timbul daripada polisi pilih kasih, ketirisan dan penyalahgunaan sumber yang berdekad lamanya di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Anwar juga sudah bebas, dan mula berusaha  gigih menyatukan pelbagai parti demi membentuk satu pakatan pembangkang yang menggerunkan, dan suara mereka perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

Menuju Pilihanraya 2008, gelombang perubahan dirasakan lebih awal. Malah, saya mengambil cuti tanpa gaji demi pulang ke tanah air ketika tempoh berkempen dan mengundi, daripada tugasan di luar negara. Pakatan pembangkang memenangi lima negeri dan membentuk Pakatan Rakyat yang mengandungi PKR, PAS dan DAP. Seruan untuk perubahan mula menunjukkan taringnya, raungan rakyat bergema daripada pelbagai latar belakang. Tsunami politik berlaku.

Kejayaan menjatuhkan kedudukan selesa majoriti dua-pertiga parlimen yang dipegang oleh parti pemerintah sedia ada bukan suatu kejayaan mudah. Peristiwa ini memaksa kerajaan melancarkan pelbagai usaha “transformasi” sebagai sebahagian usaha untuk mengekalkan pemerintahan. Justeru, kita memasuki satu tahap kemajuan yang bakal menyaksikan pelbagai perubahan dengan “kemungkinan tanpa sempadan”. Ya, memang kita sedang membina lebih banyak lebuhraya dan landasan keretapi. Tetapi yang masih kurang sebenarnya ialah transformasi politik, dan transformasi nilai asas yang lebih halus, serta falsafah kita sebagai sebuah masyarakat Malaysia.

Masa yang sama juga memberikan barisan pembangkang masa untuk menyusun kembali dan mengatasi perbezaan antara mereka. Bekerjasama secara produktif membentuk satu pakatan dengan pelan pembangunnya yang menyeluruh unik, manifestonya yang menjaga kebajikan rakyat dan cadangan bajetnya yang tersendiri. Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia punya alternatif untuk membandingkan secara kritis dokumen pembangunan dan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan.

Binaan ke arah reformasi era baru

Pasca Pilihanraya Umum ke 13 dalam langkah kita menuju ke masa hadapan bersama-sama, kita bertanya sekali lagi, ke manakah arah tuju kita selepas ini? Secara semulajadinya, kita terdorong juga kepada bertanyakan, sama ada Anwar perlu membuka jalan kepada barisan pelapis mengagumkan terdiri daripada personaliti yang muda dan lebih segar dalam PKR dan Pakatan Rakyat, yang nyata sudah pun mempunyai kelompok penyokong tegar mereka sendiri. Adakah jalan ke hadapan kini ialah sebuah era baru pasca-Anwar Ibrahim, yang bergerak ke arah penginstitusian dan pemerkasaan sistem politik di peringkat akar umbi? Struktur yang lebih baik akan membenarkan pembangunan semulajadi kelompok bakat dan kepimpinan, namun adakah struktur yang utuh sahaja sudah mencukupi?

Sejarah membuktikan bahawa pemimpin yang hebat akan menjadi sumber utama perpaduan yang dapat membawa kepada gelombang perubahan yang mampu menggegarkan institusi atau sistem sedia ada. Hanya kepimpinan yang disegani dan kukuhlah yang mungkin mampu mengubah undi orang Melayu seperti yang berlaku pada tahun 1999, menafikan majoriti dua-pertiga parlimen untuk kerajaan pada tahun 2008, dan merubah mandat 52% kepada PR pada 2013.

Anwar Ibrahim juga pada hari ini ialah seorang personaliti yang berbeza. Daripada seorang pemimpin  mahasiswa muda popular, kepada pemimpin Islamik berkarisma yang disanjung tinggi, seterusnya mendaki tangga politik sehingga jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, beliau turut pernah dipenjarakan, dipukul dan dihina. Luka Anwar tidak mungkin hanya terhad kepada tubuh fizikal. Kebijaksanaan dan kematangan beliau hari ini tidak mungkin hadir tanpa darah, peluh dan air mata.

Dua pilihan raya umum berlaku selepas pembebasannya dan Anwar masih memegang janjinya. Beliau melangkah ke tepi untuk memberi kepada perkembangan politik PKR. Tetapi hanya ada satu cara untuk menuntut semula reformasi sehingga menjadi realiti; iaitu dengan beliau menaiki tangga jawatan presiden parti PKR itu sendiri, untuk membawakan perubahan yang beliau sendiri nyalakan dan marakkan untuk negara ini 15 tahun lepas. Masanya telah tiba untuk beliau sekali lagi berdiri berani berhadapan dengan cabaran, memastikan dipilih secara demokratik dan bangkit semula dengan gah sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat. Penyatuan dan pembaharuan ini adalah harapan Rakyat Malaysia, untuk beliau melaksanakan visinya untuk Malaysia, terutama buat khalayak muda dan pelapisnya.

Anwar Ibrahim ialah pencetus reformasi. Kini, beliau perlu menghembuskan nafas baru kepada reformasi kita. Reformasi milik rakyat. – 20 September, 2013.

*Anas Alam Faizli ialah seorang profesional industri minyak dan gas, sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama Blindspot, Bantah TPPA dan tweet di @aafaizli.
    

1 ulasan:

  1. Agenda reformasi perlu diperjelas sehingga pencapaian reformasi di Malaysia menjadi jelas dan nyata di hadapan rakyat Malaysia, kunjungan juga ya ke blog saya www.goocap.com

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...