Kerajaan digesa memberikan jaminan
kebebasan berhimpun yang merupakan hak rakyat Malaysia bagi tujuan
mewujudkan keseimbangan terhadap perbezaan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)
melalui Laporan Tahunan 2014 mengharapkan agar kerajaan melalui pimpinan
Barisan Nasional dapat memberikan layanan sama rata kepada peserta
himpunan aman.
“Suruhanjaya menyatakan harapan agar
keseimbangan hak di antara kumpulan-kumpulan berbeza yang terlibat di
dalam tunjuk perasaan aman akan dapat dicapai.
“Walaupun pihak polis mempunyai kuasa
berhubung pengawasan sesuatu tunjuk perasan, Suruhanjaya berharap agar
dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut, amalan terbaik
serta norma antarabangsa mengenai kebebasan berhimpun dapat dipatuhi,”
memetik laporan tahunan tersebut.
Dalam
laporan yang sama, SUHAKAM meminta kerajaan untuk menganggap setiap
tunjuk perasaan yang dianjurkan sebagai satu perhimpunan aman.
“Melainkan jika terdapat bukti yang jelas
dan menyakinkan bahawa pengajur atau peserta berniat untuk menggunakan
atau mendorong kepada keganasan dan berkemungkinan keganasan akan
berlaku,” kata laporan itu lagi.
Susulan daripada itu, SUHAKAM meminta
kerajaan untuk tidak mengguna pakai undang-undang kontroversi bagi
tujuan menghalang daripada berhimpun secara aman.
Sebelum ini, SUHAKAM lantang mengkritik
tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menahan Ahli Parlimen PKR,
Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948
kerana satu kenyataan yang dikeluarkan di Dewan Rakyat.
Menurut suruhanjaya tersebut, pihak
mereka kesal dengan tindakan kerajaan yang kekal dengan keputusan untuk
mengekalkan akta tersebut.
“Suruhanjaya kesal dengan keputusan
kerajaan walaupun akujanji kerajaan pada 2012 untuk memansuhkan
undang-undang yang bersifat menindas dan kuno ini.
“Walaupun suruhanjaya memahami kerumitan
untuk menyeimbangkan di antara kebebasan dan keselamatan, serta mengakui
bahawa pelaksanaan kebebasan bersuara tertakluk kepada sekatan yang
telah termaktub oleh undang-undang, namun sekatan tersebut hendaklah
seimbang, berkadaran, jelas dan adil; terutama sekali ianya hendaklah
selari dengan norma antarabangsa mengenai hak kepada kebebasan bersuara
dan berucap,” memetik laporan yang sama.
Selari dengan ingatan tersebut, SUHAKAM
menggalakkan kerajaan BN memastikan bahawa pindaan kepada undang-undang
sedia ada atau pengenalan kepada undang-undang baru hendaklah
berdasarkan penglibatan penuh dan konsultasi semua pihak.
Malah segala pindaan mahupun penggubalan
akta-akta baru hendaklah dilaksanakan dengan cara yang adil, jelas dan
mematuhi proses yang sewajarnya serta tidak tergesa-gesa.
SUHAKAM sebelum ini kesal terhadap
tindakan PDRM yang menggunakan Akta Hasutan 1948 ke atas penahanan Ahli
Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar susulan kenyataannya pada sesi
perbahasan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata
hak kebebasan bersuara di Dewan Rakyat tidak boleh dicabar atau menjadi
asas kepada prosiding jenayah.
Nurul Izzah ditahan di Pusat Tahanan
Reman Jinjang, Kuala Lumpur susulan kenyataannya pada persidangan Dewan
Rakyat yang turut menyentuh sistem kehakiman negara di bawah Seksyen
4(1) Akta Hasutan.
Meskipun begitu, Suhakam mengiktiraf
pengecualian kepada keistimewaan dan imuniti yang dinikmati ahli
Parlimen seperti yang termaktub di bawah Perkara 63 (4) dan 72 (4) dalam
Perlembagaan.
trp
suhakam patut tanya pekedai-pekedai yang akan dilalui oleh pendemo adakah mereka setuju kaki lima mereka dijadikan tempat berhimpun?
BalasPadam