KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini membuat teguran langsung terhadap PR atas strategi politik yang dijalankan termasuk usaha menjatuhkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Baginda turut menyentuh soal usaha mengguling Abdul Khalid yang dilakukan secara berterusan oleh PKR pada bulan Ramadan lalu, seolah-olah tidak menghormati bulan suci itu.
"Kemelut dan pergolakan dalam PR ini bermula daripada Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
"Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tohmahan untuk memburukkan Abdul Khalid. Perkara hasut menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan terhadap beliau berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadan, di mana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh ALLAH untuk membersihkan dosa dan maksiat.
"Tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Abdul Khalid," titah baginda dalam ucapan pada Majlis Pelantikan Exco Baru Negeri Selangor di sini, hari ini.
Titah Sultan Selangor lagi, kemelut terbaru di negeri ini "membuka mata dan hati serta pandangan" baginda terhadap perkembangan politik di Selangor.
"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama lima tahun dan mungkin akan diganti pada pilihan raya yang akan datang. Tetapi kedudukan beta sebagai sultan yang memerintah negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat beta," titahnya.
Dalam ucapan sama, baginda turut membangkitkan soal 'ketidakfahaman' ahli politik di negeri ini terhadap kuasa dan tanggungjawab sultan.
"Sebagai sultan yang memerintah, tugas-tugas beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Selangor yang beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan negeri yang sempurna. Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri yang dijalankan oleh menteri besar. Beta hanya menasihatkan menteri besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.
"Beta ingin mengingatkan bahawa sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat Selangor hidup dalam keamanan dan maju jaya," titahnya.
Menurut baginda lagi, rakyat tidak diberi kefahaman jelas tentang fungsi sebenar sultan dan beranggapan institusi raja hanyalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Malah, menerusi titah itu, baginda menyebut bahawa ahli politik turut tidak faham atau sengaja tidak faham tentang peranan dan kuasa institusi raja.
"Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.
"Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimeterikan pada tahun 1959," katanya.
Baginda sempat juga merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri ini yang menyokong baginda dalam kemelut pelantikan Menteri Besar dan mempercayai baginda dalam menyelesaikan kemelut ini.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...