SHAH ALAM – Tahap sokongan terkini pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan didapati melebihi BN menjelang PRU14.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kesimpulan itu berdasarkan kaji selidik dibuat oleh Invoke mengenai sentimen pengundi dan isu utama menjelang PRU14.
Menurutnya, 36 peratus pengundi Melayu yang bersama-sama Pakatan Harapan berbeza hanya 35 peratus yang menyokong BN, 14 peratus menyokong Pas dan 15 peratus masih belum membuat keputusan.

“Berdasarkan pemerhatian, sokongan ini adalah kerana tiga isu yang menjadi kepentingan rakyat hari ini. Kos sara hidup dan harga barang meliputi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan subsidi minyak antara yang utama diberi perhatian,” katanya yang dipetik dari laman sosial Facebook miliknya.

Beliau berkata, dua lagi isu penting adalah seperti gaji dirasakan tidak setimpal dengan harga barang dan juga mengenai lambakan pekerja asing yang menyempitkan peluang pekerjaan.

“Ketiga-tiga isu ini (yang boleh dirujuk sebagai isu ekonomi rakyat) adalah jauh lebih penting kepada pengundi semua kaum berbanding isu penyelewengan semata-mata.
“Berdasarkan sentimen pengundi terhadap tiga isu utama ini yang melihat BN gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik (dalam ketiga-tiga isu), sokongan pengundi Melayu sebenarnya sudah pun berpihak kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Menurutnya, kedudukan terkini undi Melayu adalah hampir setara di antara BN dan Pakatan Harapan iaitu sekitar 35 peratus ke 36 peratus.

“Sokongan 35 peratus ini juga konsisten dengan semua kaji selidik yang dijalankan setiap bulan sejak Disember 2016 mengenai sokongan pengundi Melayu terhadap BN.
“Kedudukan undi Cina dan India dilihat menyerupai pola pengundian dalam PRU13 yang lalu, mengambil kira pengundi-pengundi yang belum membuat keputusan,” katanya.
Rafizi berkata, kaji selidik itu dibuat di antara bulan Jun dan Julai 2017 sebelum Pakatan Harapan mengumumkan struktur dan menamakan pimpinan minggu lalu.

“Dengan tahap sokongan seperti ini setakat Julai 2017, ada kemungkinan munasabah BN akan tewas dalam PRU14 sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawarkan penyelesaian kepada tiga isu utama yang menjadi isu paling penting kepada pengundi.

sh

Picture