KUALA LUMPUR, 21 November: Tindakan kerajaan memansuhkan pemberian subsidi petrol dan diesel, hanya akan membunuh pengusaha bas sekolah di negara ini.
 
Itulah luahan Presiden Persekutuan Pengusaha-pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), Amali Munif Rahmat ketika dihubungi The Rakyat Post, pada Jumaat.
Beliau berkata, industri bas sekolah akan terjejas, dengan lebih ramai pengusaha bas sekolah akan gulung tikar, susulan keputusan kerajaan itu.
 
“Kami pengusaha bas yang berlesen. Sepatutnya kerajaan memberi kami lebih banyak subsidi, kerana kami penyedia perkhidmatan wajib.
 
“Pengusaha bas sekolah tidak boleh ambil cuti suka-suka, kerana jika mereka bercuti tanpa ada pengganti, ramai pelajar tidak akan ke sekolah.
“Jika kerajaan tidak lagi memberi subsidi kepada pengusaha bas sekolah, ramai pengusaha akan berhenti dan ia akan menimbulkan masalah lain, apabila wujud pengusaha bas sekolah haram,” katanya.
Beliau mendakwa, seramai 20 pengusaha bas sekolah akan menamatkan khidmat mereka pada tahun depan, kerana tidak tahan lagi dengan kenaikan harga bahan api ketika ini.