KUALA LUMPUR:
PAS menyifatkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai
pendirian apabila menegaskan Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan
cadangan pindaan.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata,
Perdana Menteri itu tidak mempunyai kekuatan untuk memberi dan melakukan
perubahan walaupun beliau telah berjanji dengan rakyat untuk
memansuhkan akta tersebut.
"Janji dia sebelum ini hanya untuk
melunakkan sahaja, Najib tidak kuat. Tidak ada pendirian. Macam isu ISIS
dulu pada awalnya dia sokong, sekarang buat auta, tidak ada pendirian!"
tegas Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.
Beliau
juga percaya Akta Hasutan itu gagal dimansuhkan kerana ia satu-satunya
akta yang menjadi senjata untuk menyelamatkan Umno.
"Akta untuk Umno semata-mata, bukan untuk rakyat," katanya kepada Harakahdaily.
Bagaimanapun
beliau yang juga Pengerusi Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi PAS tidak
sekali mengalah dan akan tetap melawan akta itu yang sering
disalahgunakan oleh Umno BN.
"Kita tetap akan lawan. Kita akan
buat gerakan seperti kita gerakan rakyat menentang ISA dan juga Akta
Polis sehingga kerajaan beralah dan memansuhkan Akta Hasutan," katanya.
Hari
ini, pada Perhimpunan Agung Umno Najib berkata Akta Hasutan 1948
dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas
bagi menguatkan dan memperkukuhkan akta itu.
Presiden Umno itu
juga berkata kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian
Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah
dan Sarawak keluar dari Malaysia.
Reaksi pendirian itu,
membuatkan 2,752 perwakilan berdiri dan bersorak sebagai tanda menyokong
keputusan Presiden parti Melayu terbesar di negara ini yang kini
dianggotai 3.47 juta orang.
Sebelum ini Najib Tun Razak
dilaporkan telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan pada 11 Julai
2012 dan sekali lagi pada 3 Julai 2013.
hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...