PETALING JAYA 16 JAN: Akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia wajar
menerima hukuman setimpal berikutan akhbar itu berterusan melemparkan
pelbagai fitnah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) khususnya Ketua
Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, akhbar harian itu mengambil sikap demikian bagi
melindungi kepentingan politik Umno-BN dan sekaligus memastikan
kelangsungan parti itu terus bertahan tanpa mengambil kira soal maruah,
moral dan etika kewartawanan yang sepatutnya dipelihara.
“Memang
dah lama terbukti Utusan adalah media fitnah, terus menerus memfitnah
dan selayaknya dihukum kerana memang kerja dia untuk terus menerus
memfitnah,” kata Anwar ketika ditemui Selangor Kini selepas menghadiri
sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kemenangan beliau dalam isu saman RM50 juta terhadap
Utusan, Anwar menggesa agar pengamal media di negara ini mengamalkan
etika kewartawanan yang sihat dengan melaporkan isu sebenar dan menolak
politik fitnah bagi menjatuhkan musuh politik mana-mana pihak.
Semalam Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah
Tinggi yang sebelumnya memutuskan bahawa dua artikel yang cuba memberi
gambaran kononnya Anwar tidak layak memegang jawatan dan mempunyai
pendapat yang berbeza dengan ajaran Islam diterbitkan Utusan Malaysia
(M) Sdn Bhd bersifat fitnah.
Utusan
Malaysia sebuah akhbar yang menyebarkan propaganda Umno bukan kali
pertama tewas dalam perbicaraan yang melibatkan isu fitnah di mahkamah.
Selain Anwar yang kali kedua menang saman fitnah terhadap Utusan,
Utusan juga tewas saman fitnah yang melibatkan fitnah terhadap Ahli
Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen
Bukit Gelogor, Karpal Singh; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Selain itu, Utusan juga terpaksa membuat penyelesaian damai dengan
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dengan bersetuju menarik balik
fitnah dan membayar kos RM40,000 kepada Husam bagi mengelakkan dikenakan
bayaran ganti rugi lebih tinggi.
Utusan juga membuat penyelesaian di luar mahkamah berhubung saman
fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap akhbar
itu.
Ketika ini Utusan masih mempunyai kes saman fitnah yang menunggu masa
untuk dibicarakan di mahkamah termasuklah dua saman fitnah yang
difailkan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
EZY
Selangorkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...