Rakyat Malaysia terus dibebankan oleh kenaikan kos barangan dan sara hidup akibat pengurangan subsidi oleh pihak kerajaan.
Pendekatan yang diambil pihak kerajaan bagi meringankan bebanan
kewangannya tidak menjurus kepada pengurangan keborosan perbelanjaan
mereka ataupun merawat ketirisan perbelanjaan yang jelasnya semakin
membarah setiap tahun.
Sebaliknya, kerajaan lebih gemar menggunapakai langkah-langkah yang
menekan rakyat melalui kenaikan harga barang keperluan asas serta
penambahan cukai kepada rakyat terbanyak (seperti GST).
Kenaikan kos barangan dan sara hidup boleh dinilai secara kuantitatif
melalui kadar inflasi yang diukur melalui Indeks Harga Pengguna, CPI
(Consumer Price Index).
Data
rasmi Bank Negara menyatakan bahawa kadar inflasi negara berada pada
tahap 1.2% pada bulan Disember 2012, seterusnya meningkat hampir setiap
bulan sepanjang tahun 2013 kepada 1.3% pada Januari, 1.5% pada Februari,
1.6% pada Mac, 1.7% pada April, 1.8% pada Mei dan Jun dan 2.0% pada
Julai 2013.
Menurut Monetary Policy Statement oleh Bank Negara, bertarikh 7
November 2013, CPI rasmi terkini di Malaysia telah melonjak kepada 2.6%
pada bulan September 2013 berbanding 1.9% pada bulan Ogos 2013, rentetan
daripada pengurangan subsidi petrol sebanyak 20 sen/liter dan kenaikan
harga barang makanan.
Berdasarkan anggaran terkini oleh Trading Economics, kadar inflasi
untuk bulan Oktober 2013 terus meningkat kepada 2.8% dan November 2013
pada 2.9%. Ini menunjukkan bahawa kadar inflasi di Malaysia telah
melonjak sebanyak 2.4 kali hanya dalam masa setahun (1.2% Disember 2012
kepada 2.9% November 2013)!
Rakyat
harus sedar bahawa bebanan ini dijangka akan terus bertambah apabila
kerajaan melasanakan program pengurangan subsidi serta GST pada masa
hadapan.
Kenaikan kadar inflasi yang berterusan bakal merugikan negara,
terutama sekali apabila kadar inflasi naik lebih tinggi daripada kadar
pertambahan pendapatan rakyat. Kerugian ini bakal menjadi kenyataan
apabila rakyat terpaksa merubah gaya hidup kepada alternatif yang lebih
murah secara berkekalan. Ini akan mengakibatkan penguncupan pendapatan
kepada para peniaga yang akhirnya mengakibatkan penguncupan kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara.
Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...