SHAH ALAM 10 DIS : Kerajaan pusat diingatkan tidak sesuka hati
menaikkan kadar tol selepas kenaikan beberapa harga barang dan
perkhidmatan yang berlaku dalam tempoh singkat.
Ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Wong Chen, berkata jika benar kerajaan pusat berhasrat menaikkan kadar
tol, mereka diminta untuk mendedahkan terma perjanjian konsesi kepada
umum dan jangan menggunakan alasan tidak masuk akal.
Katanya,
pakar ekonomi dan rakyat dapat menilai kewajaran tindakan kerajaan itu
dengan adanya pendedahan perjanjian konsesi daripada pihak terbabit.
“Jika benar telus, dedahkan berapa kos pembinaan sesuatu lebuh raya dan jumlah kutipan yang dibuat sepanjang ia beroperasi.
“Jangan
mudah bebankan rakyat tetapi syarikat kroni kenyang dengan hasil yang
dikaut berlipat ganda sejak bertahun lamanya,” kata Wong Chen.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kelana Jaya dihubungi Selangorkini
bagi mengulas desas-desus bahawa kadar tol di beberapa lebuh raya
sekitar Lembah Klang akan dinaikkan pada tahun hadapan.
Dakwaan itu mula timbul ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk
Fadillah Yusof bahawa kerajaan pusat akan membuat keputusan sama ada
kadar tol akan kekal atau dinaikkan, pada awal Januari ini.
Fadillah berkata, kerajaan pusat dapat menjimatkan sehingga RM 400
juta setahun jika bayaran pampasan kepada syarikat konsesi dihentikan.
Sementara
itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh, menggesa Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak tampil memberi jaminan bahawa tidak akan
berlaku kenaikan harga tol seperti yang dijanjikan Barisan Nasional (BN)
sebelum ini, terutama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)
lalu.
“Kerajaan juga berkali-kali menjawab kepada saya di Parlimen bahawa
mereka sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kadar tol dan kesesakan
trafik di lebuh raya sekitar Lembah Klang.
“Adalah tidak masuk akal untuk tol dinaikkan sedangkan kenderaan yang
menggunakan lebuh raya semakin hari meningkat, bermakna banyak juga
kutipan tol yang dikaut syarikat konsesi. Jadi, kerajaan perlu
menjelaskan perkara ini dan bukannya menaikkan kadar tol,” katanya.
-NFN-
Selangorkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...