KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid
Abdul Samad mengharapkan kepimpinan baru PAS kawasan itu mengekalkan
ukhuwah dan kesatuan, selain mengambil langkah berlapang dada dalam
menangani perbezaan pendapat.
Ketika dihubungi Harakarahdaily,
hari ini Khalid yang tidak mempertahankan jawatannya yang dipegang sejak
16 tahun lalu, turut mengharapkan PAS Shah Alam tidak dijadikan sebagai
kumpulan eksklusif, sebaliknya satu kumpulan pelbagai latar belakang.
Ahli
Parlimen Shah Alam itu juga mengingatkan agar kesemua ahli memberikan
sokongan tidak berbelah-bahagi bagi mengukuhkan PAS kawasan itu
berhadapan dengan musuh politik.
"PAS Shah Alam juga perlu
mengekalkan hubungan baik PAS dengan parti rakan komponen lain dalam
Pakatan Rakyat - DAP dan PKR. Malah, lebih baik jika ia dikukuhkan
lagi," kata beliau.
Khalid mula memegang jawatan YDP PAS Shah
Alam pada tahun 1997, pada usia 40 tahun tidak mempertahankan jawatannya
untuk sesi kali ini untuk memberi laluan kepada yang lain.
"Sudah
lama saya sebagai YDP Shah Alam ini. Biarlah saya beri peluang kepada
yang lain. Kalau saya tidak berundur, sampai bila yang lain akan naik.
Jadi, awal-awal lagi saya sudah umum untuk tidak pertahankan, walaupun
masih ada cawangan yang mencalonkan saya," kata beliau lagi.
Sementara
itu, mesyuarat agung kawasan Shah Alam yang berlangsung pada 8 dan 9
Sept lalu membariskan Azli Yusof yang dahulunya TYDP sebagai YDP yang
baru, Zulkifli Mohd Nani sebagai TYDP dan Jamil Abd Rahim sebagai Naib
YDP PAS Shah Alam.
Mesyuarat agung itu dirasmikan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Muktamar
Tahunan PAS kali ke-59 tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24
November depan, dengan Selangor terpilih sebagai tuan rumah.
Manakala bagi muktamar dewan-dewan pula akan bermula pada 20 dan 21 Nov.
Muktamar
tahun ini juga akan berlakunya proses pemilihan kepimpinan yang baru
bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...