Menghayati kembali Deklarasi Permatang Pauh yang menjadi azimat pejuangan reformasi 15 tahun dahulu...
Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “ tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami ” ;
Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya
menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa
Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan
dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang
bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang
menyeluruh:
Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati
nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan
merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi
dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan
undang-undang yang adil;
Gerakan reformasi untuk menegakkan
keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang
miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari
oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
Gerakan reformasi untuk
mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu
kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia
membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk
berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;
Gerakan
reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan
pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin
papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak
mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;
Gerakan reformasi
untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi
pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;
Gerakan
reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia
kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik
dari semua budaya;
Gerakan reformasi untuk membawa bangsa
Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana
kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan
sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Kami akan
menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan
dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.
Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim Permatang Pauh 12 September 1998
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...