KUALA LUMPUR 2 JULAI: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali
berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak layak memperoleh sebarang
bonus berikutan kegagalan mereka mengendalikan pilihan raya dengan
bersih dan adil.
Beliau mempersoal rasional bayaran elaun RM200 juta kepada pegawai
dan kakitangan SPR yang bertugas pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei
lalu.
“SPR
gagal dalam tugas. Bagaimana mereka boleh menerima anugerah? Ini
mengecewakan pembayar cukai,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.
Azmin bagaimanapun mengakui kakitangan kerajaan yang bertugas dan bekerja keras pada pilihan raya umum lalu.
“Tetapi kebimbangan utama kami ialah pegawai tinggi SPR,” katanya merujuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi badan itu.
Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, pemberian bonus itu adalah penyalahgunaan dana pada PRU lalu.
“Ia jumlah yang terlalu besar (merujuk RM200 juta), apatah lagi RM7
juta dibelanja untuk dakwat kekal,” kata Ahli Parlimen Padang Serai itu.
“Kerajaan perlu memberi penjelasan dan butiran perbelanjaan
terperinci terhadap dana yang digunakan. Ini perlu kerana ia wang
rakyat,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam
jawapan bertulis berkata, kerajaan memperuntukkan RM400 juta kepada SPR
untuk mengendalikan PRU 13.
Katanya, dari jumlah itu, RM200 juga dibayar sebagai bonus dan elaun kepada mereka yang bertugas pada pilihan raya berkenaan.
Jumlah RM400 juta itu adalah pertambahan 100 peratus berbanding peruntukan pada PRU 2008.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar hairan mengapa
kos berkenaan naik sehingga 100 peratus sedangkan pertambahan jumlah
pengundi cuma 20 peratus.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...