KENYATAAN MEDIA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT ISU LAHAD DATU
KENYATAAN MEDIA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT
4 MAC 2013
DATO’ SERI NAJIB RAZAK SEWAJARNYA MENUMPUKAN USAHA MEMASTIKAN
KEDAULATAN WILAYAH NEGARA, KESELAMATAN RAKYAT SABAH DAN ANGGOTA PASUKAN
KESELAMATAN
Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun
bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan
rakyat dan anggota pasukan keselamatan.
Kegagalan
mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu
pengkhianatan serta menodai amanah rakyat. Justeru Pakatan Rakyat
berhasrat mengingatkan pimpinan negara agar tegas mempertahankan
kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap
rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah ekoran dari insiden pencerobohan
sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu serta Semporna.
Setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.
Pencerobohan di Lahad Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara
manakala insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa
perwira negara. Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan
rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.
Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh
mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera.
Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan
negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.
Pakatan
Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan
kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang
dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita
fitnah yang boleh menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin
menyatakan dengan jelas keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan
anggota pasukan keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas
dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang
campurtangan politik.
Sehingga kini, kita merasa kesal dan
kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan
dan iltizam dalam menyelesaikan masalah ini. Pimpinan negara juga gagal
menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan
terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin
tersebar luas.
Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak
dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi
tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan
rakyat dari kelemahan mereka. Sewajarnya mereka menyedari, keutamaan
adalah demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan
perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan.
Pakatan
Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi
membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran
sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan
satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan
pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung
isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...