Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Umno dan media yang didukungi parti itu supaya beristighfar dan memohon keampunan ALLAH SWT susulan laporan media bahawa akan muncul video seks dan foto melibatkan Ketua Pembangkang itu sendiri dan anaknya, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR.

"Toksahlah.. saya nak nasihat Umno, ni waktu Maghrib, pi lah amik wuduk dan tau apa itu fitnah.
"Malu kita pada masyarakat bukan Islam kalau masyarakat Islam dan media yang mendukung Umno ini kerjanya itu sahaja," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan PR, di sini, lewat petang ini.

Pagi tadi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pihaknya telah dipertontonkan video palsu seks beberapa hari lalu dipercayai diaturkan oleh pihak tertentu yang mendakwa diri mereka ejen Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, video tersebut memaparkan watak yang menyerupai Anwar manakala gambar statik pula seakan-akan anaknya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

"Video ini merupakan manipulasi imej digital yang melibatkan pencantuman babak-babak yang tidak berkaitan untuk memberi gambaran pemimpin-pemimpin ini terbabit dalam salah laku seks.
"... Umno hari ini cuba menakut-nakutkan orang Melayu dan menggunakan pemblog untuk mereka dan menyebarkan video palsu yang kononnya memaparkan salah laku seks pemimpin PKR," kata beliau.

Lebih dua minggu lalu seorang pemblog yang dikaitkan dengan Umno menyebarkan siri gambar seakan-akan menunjukkan Anwar mengadakan hubungan intim dengan seorang lelaki.
Ekoran tindakan itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR telah menyaman pemblog berkenaan.
Ditanya sama ada hanya dua pemimpin itu sahaja yang menjadi mangsa spekulasi seks itu, Saifuddin berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim antara sasaran selepas ini, yang akan menerima nasib yang sama.

"Mereka kata video seks Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pembikinan," ujarnya sambil menyatakan imej video yang dirakamkan dalam video dan gambar itu tidak jelas dan agak kabur.
Dalam pada itu, PR hari ini sebulat suara menolak tawaran 10 minit kepada parti-parti politik untuk membentangkan manifesto pilihan raya menerusi RTM.

Anwar berkata, tawaran itu seolah memperolokkan sistem demokrasi dan kebebasan media kerana ia bermakna seolah-olah memberikan 23 jam dan 50 kepada Umno-BN manakala PR hanya diberikan 10 minit.
"Itu belum tentu disiarkan sepenuhnya kerana ia direkod awal.

"Prinsip yang dituntut PR ialah ruang yang adil dan media yang bebas. Kalau ada semangat yang merujuk ke arah itu, pastinya PR akan berikan pertimbangan," katanya.
Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu; Saifuddin dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Pada 22 Mac lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, peluang itu diberikan kepada parti BN dan juga pihak pembangkang, tetapi pembentangan itu akan dirakam terlebih dahulu selepas pembubaran Dewan Rakyat yang memberi laluan kepada PRU13.

"Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit dan kami beri peluang ini sekaligus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang," katanya.
Anwar berkata, dalam menghadapi PRU13 dalam masa terdekat, PR juga mengambil keputusan untuk bergerak pantas sebagai pasukan untuk maju dalam kempen pilihan raya.

Katanya lagi, beberapa program turut telah dirancang di beberapa negeri dengan menampilkan pimpinan PR seiring untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang giat dilakukan oleh pihak Umno-BN.
Sehubungan itu, katanya, PR akan menganjurkan Forum Lahad Datu oleh bekas pimpinan tentera dan polis pada 31 Mac jam 8.00 malam di Shah Alam.
Jelasnya lagi, beberapa program lain turut dirancang pada sebelah pagi untuk memeriahkan sebelum forum itu.
Pada sidang media turut dilancarkan video yang menerangkan polisi utama PR dan tujuh dasar manifesto PR yang boleh dicapai di www.pakatan-harapan-rakyat.com./SinarHarianOnline

Pil Untuk Lelaki Yang Lemah Tenaga Batin..Power!!!!!