Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin perubahan politik akan
berlaku di Sabah dalam pilihan raya umum yang akan diadakan pada
bila-bila masa dari sekarang.
Katanya, beliau yakin dengan "angin
perubahan" tersebut apabila melihat sambutan menggalakkan daripada
rakyat Sabah dalam kunjungannya ke beberapa kampung di Pensiangan,
Tenom, Lahad Datu dan Tawau.
“ Di Pensiangan semalam, saya
melihat seorang ibu datang sambil menggendong anak. Dia datang kerana
soal tanah, maruah, harga diri dan ini tidak boleh diberi dengan zink.
"Saya
boleh lihat pada mata mereka dan juga kesungguhan mereka. Oleh itu saya
yakin perubahan akan berlaku,” katanya ketika berucap dalam program
Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim Ke Sabah di Beringgis kelmarin.
Dalam
ucapannya itu, Anwar antara lainnya membangkitkan mengenai janji
Pakatan untuk menurunkan harga minyak dan harga kereta sekiranya berjaya
menawan Putrajaya.
Katanya, ramai yang beranggapan bahawa
perubahan yang dianjurkan Pakatan itu hanya terhenti setakat di negeri
Johor sahaja semasa semasa pilihan raya umum 2008.
Tetapi apa
yang bakal berlaku adalah yang di sebaliknya – perubahan yang berlaku
di Sabah akan melanda Johor dan lain-lain negeri di Semenanjung
Malaysia, kata Anwar lagi.
Katanya, usaha yang dijalankan oleh
dua orang bekas MP BN – Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri
Lajim Ukin – memangkinkan perubahan itu.
"Penghargaan khusus
ditujukan kepada Datuk Lajim dan Datuk Wilfred kerana membantu sebagai
pemangkin. Tetapi yang membuat keputusan adalah rakyat.
"Ini
bukan soal peralihan kuasa biasa, tetapi kita nak tukar sistem sedia
ada. Kita mahu hentikan penyelewengan kuasa," tambahnya.
Beliau
juga mengingatkan pemimpin Pakatan Rakyat supaya membetulkan sistem
pengurusan di Sabah apabila menang kelak, dan tidak lagi mengikut cara
lama BN.
"Sabah adalah negeri yang kaya tetapi rakyatnya adalah
miskin. Ini disebabkan pengurusan yang tidak betul. Sebab kekayaan tak
diagihkan. Ini yang kita mahu betulkan.
"Kita bukan nak menang
kerana nak tunjukkan keaiban orang lain, tetapi kerana kita yakin kita
boleh laksanakan program," tegas Anwar yang turut mengakui sedih melihat
keadaan rakyat miskin di Lahad Datu.
Turut hadir dalam majlis
tersebut ialah barisan pemimpin Angkatan Perubahan Sabah – ketua PKR
Sabah Ahmad Tamrin Jaini, bekas senator BN Maijol Mahap, bekas ketua
bahagian Umno Tanjung Aru Datuk Yahya Lampong dan tokoh korporat negeri
itu, Datuk Dr Richard Gunting./MalaysiaKini
JIHAD EKONOMI BERMINAT SILA DAFTAR SEKARANG!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...