Nik Aziz kecam Harussani
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyentuh peranan anak perempuannya Datin Paduka Marina Mahathir dalam Bersih, tidak sewajarnya mengheret kepentingan keluarga dalam membincangkan soal negara.

"Saya kira seorang negarawan tidak akan mengheret kepentingan keluarga dalam membincangkan soal negara," kata beliau dalam laman sosial Facebook hari ini.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, Bersih melibatkan kepentingan rakyat, "bukan soal Datuk Mukhriz (Mahathir)."
"Tun Mahathir yang lebih 'abang' dari saya sewajarnya sedar hakikat ini.

"Kita tidak bersetuju biar dengan hujah, bukan kerana kepentingan masa depan politik 'si anak'," kata beliau lagi.
Nik Aziz berkata, "saya membaca muka hadapan Sinar Harian di sini (Kuala Lumpur) yang memuatkan teguran Tun Dr Mahathir kepada anaknya, Marina agar tidak terlibat dengan gerakan Bersih."
"Antara faktornya ialah agar ia tidak memberikan kesan kepada abangnya Datuk Mukhriz yang akan bertanding dalam pilihan raya," kata beliau lagi.

Mukhriz, yang kini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Timbalan Pengerusi Umno Kedah, disebut-sebut akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri dan akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah jika BN menguasai negeri itu.

Dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Observer (MobTV), Dr Mahathir berharap Marina  tidak meletakkan diri terlalu rapat dengan Bersih 2.0 atau gerakan lain yang antikerajaan kerana ia tidak baik untuk dirinya.
Dr Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilakukan anaknya itu sejak akhir-akhir ini dan berharap Marina sedar akan kesilapannya.

Pada Bersih 2.0 tahun lalu dan perhimpunan Bersih 3.0 April lalu, Marina dilihat bersama dengan puluhan ribu demonstran lain menuntut lapan tuntutan yang mahukan pilihan raya umum  yang bersih dan adil.
“Bersih telah dirampas oleh pemimpin pembangkang, saya tidak suka beliau meletakkan dirinya dekat dengan gerakan itu.

“Beliau tidak pernah katakan ini, tapi Bersih dan beberapa gerakan lain didakwa ada kaitan dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Dia tidak pernah kata sokong lelaki kahwin lelaki, perempuan kahwin perempuan dan saya harap dia maksudkannya,” kata Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi Barisan Nasional.

Katanya lagi, Marina perlu mewujudkan sempadan berkenaan isu LGBT iaitu sejauh mana beliau memberi sokongan kepada golongan itu dalam sebuah negara seperti Malaysia./SinarHarian