Pages - Menu

Pages - Menu

Jumaat, Mei 31, 2019

Mahathir sahkan semula janji serah jawatan PM kepada Anwar

Mahathir sahkan semula janji serah jawatan PM kepada Anwar

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan semula janji beliau untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH), walaupun tiada tempoh masa dinyatakan.
“Saya telah bersetuju yang Anwar akan mengambil alih dari saya dan saya akan mematuhi dengan perjanjian saya. Semasa pembentukan gabungan PH, adalah dipersetujui bahawa ia akan diketuai oleh saya sebagai pengerusi.
“Kami juga berjanji sekiranya saya menjadi PM, penggal saya akan dihadkan ke beberapa tempoh, tetapi masa sebenar tidak dinyatakan,” katanya dalam sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Asia kali ke-25, juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei.
Perdana Menteri berkata, beliau akan turun “selepas tempoh masa tertentu bagi meletakkan ekonomi di landasan yang tepat.
Beliau berkata, berurusan dengan ekonomi Malaysia adalah satu isu yang paling besar dan menekan yang perlu diselesaikan sebelum peralihan kuasa.
“Kita perlu mengurangkan pinjaman kepada satu tahap tertentu di mana wang kita boleh digunakan untuk keperluan pembangunan,” katanya.
Cabaran lain ialah untuk menukar pemikiran orang ramai agar tidak bergantung dengan bantuan kerajaan, katanya.
Dr Mahathir menegaskan bahawa PH tidak begitu disukai oleh sesetengah rakyat Malaysia pada masa kini kerana ia tidak meneruskan amalan pentadbiran sebelum ini yang memberi “wang percuma”.
“Kerajaan sebelum ini gemar memberi wang percuma kepada orang ramai. Semua orang mendapat wang percuma. Jika anda seorang bujang, anda mendapat RM450, nelayan, RM300. Mereka diberi wang tanpa berbuat sesuatu.
“Kini kita mengambil alih dan menanggung beban hutang yang banyak ini. Kita tidak ada wang dan kita tidak boleh memberi wang percuma kepada orang ramai. Disebabkan itu, mereka tidak suka kita. Tetapi ia terpaksa dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, tidak ada cara kerajaan boleh membetulkan masalah kewangan tanpa perlu berhati-hati dan berhemat dalam pengurusannya.
“Kami mahu mereka (orang ramai) mempunyai pekerjaan dan mendapatkan wang. Kerajaan juga akan mempunyai cukup kekayaan dan kita boleh membayar hutang dan wujudkan lebih banyak pekerjaan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, sebuah negara dengan rakyatnya bergantung kepada kerajaan untuk wang percuma tidak akan berkembang, manakala sebuah negara di mana rakyatnya bekerja keras untuk mewujudkan kekayaan akan sejahtera.
Picture

Rabu, Mei 29, 2019

Jawapan Akmar Nasir : Isu Panas Berbuka Puasa di Gurdwara

Image may contain: 6 people

MOTIF VIRAL?
PERSAHABATAN DENGAN BUKAN ISLAM
Tindakan saya untuk memenuhi undangan jemputan ke Gurdwara daripada komuniti Sikh di bandaraya Johor Bahru semalam menimbulkan pelbagai reaksi.
Walaupun program ini pada asalnya bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kita meraikan kepelbagaian dalam masyarakat, ianya menimbulkan perbincangan dan kecaman yang meluas di laman-laman media sosial dan kumpulan-kumpulan Whatsapp.
Mungkin kurangnya usul periksa atau kekhilafan dari segi penyampaian seperti adu domba oleh gerakan maya pembangkang ‘Ops Johor’ yang terkenal sebagai medium penyebaran kebencian perkauman dan agama menyebabkan isu sebegini mudah diviralkan dan dikaitkan dengan sensitiviti masyarakat.
Saya terima nasihat, teguran dan peringatan dengan hati terbuka daripada pimpinan agama, saudara-mara, sahabat dan orang ramai. Malah saya amat bersyukur dengan panduan yang diberikan.
Manakala segala tohmahan, cacian dan kata-kata kesat hanyalah menggambarkan betapa rendahnya keperibadian mereka.
Tindakan mereka ini sekadar memperkuatkan keyakinan saya dengan usaha yang saya cuba lakukan.
Saya hargai sokongan rakan-rakan yang faham mengenai keperluan untuk kita mengangkat kebenaran dan mendidik masyarakat.
Maka saya kongsikan pandangan dan pengalaman yang berlaku semalam sebagai rujukan bagi menggalakkan lagi hubungan baik sesama rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.
MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Apabila program Iftar Muhibbah ini tiba-tiba hangat diperkatakan, saya telah menulis di Facebook bagi memberi sedikit gambaran mengenai Gurdwara berdasarkan apa yang berlaku tahun lepas.
Saya terangkan inisiatif yang telah dibuat oleh komuniti Sikh sebelum ini yang menyebabkan saya bersetuju untuk hadir ke Gurdwara buat kali yang kedua.
Ternyata dalil-dalil dan hujah-hujah agama tidak meletakkan halangan kepada umat Islam untuk menghormati agama lain dan mengharuskan kunjungan ke rumah ibadat mereka dengan tujuan yang murni.
Namun, saya tetap merasakan saya bertanggungjawab agar mereka yang turut serta dalam program ini terutamanya di kalangan Muslim terpelihara dari segi perbuatan atau mengelak dari perkara-perkara yang meragukan.
Walaupun ada Fatwa yang menyebut hukumnya makruh mengerjakan ibadah di rumah ibadat lain (maksudnya boleh dibuat), tetapi saya juga perlu peka dan sebagai seorang pemimpin tempatan sudah pasti gerak-geri saya bukan saja dinilai dan diperhatikan tetapi juga boleh menjadi ikutan.
Bagi Iftar Muhibbah tahun lepas, saya sebenarnya telah menyertai qariah Masjid Bulatan, Kg Melayu Majidee untuk Majlis Khatam Quran, berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah sebelum saya ke Gurdwara bagi memenuhi undangan mereka.
Mereka yang suka tuduh-menuduh boleh semak dengan qariah Masjid atau rajin-rajinlah bersama mengimarahkan rumah Allah.
Cuma saya menganggap ibadah saya adalah urusan dengan Allah dan saya tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk sebab itu saya tidak ceritakan secara terbuka.
Tetapi dalam konteks ini, saya ceritakan juga untuk elak fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Manakala untuk undangan Iftar Muhibbah tahun ini, saya dapat tiba lebih awal di Gurdwara sekitar jam 6.45 petang bagi menyantuni penganjur, hadirin dan pihak media sebelum saya menyeberangi jalanraya ke Kompleks Kotaraya@Galleria bagi berbuka puasa di Masjid An-Nur Kotaraya (rujukan: https://www.facebook.com/593529354077239/posts/2266229873473837)
Selesai solat Maghrib berjemaah di Masjid An-Nur Kotaraya, saya kembali semula ke Gurdwara untuk makan bersama dan meraikan tuan rumah dan tetamu mereka.
TAKUT DENGAN KEBAIKAN
Sementara penganjur bertungkus-lumus mempersiapkan majlis, mereka juga faham dan menghormati permintaan saya untuk berbuka dan solat Maghrib di Masjid terlebih dahulu sebelum makan bersama.
Saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Kotaraya@Galleria dan Masjid An-Nur yang tampil memudahkan kami untuk berbuka puasa.
Toleransi sebegini jarang-jarang diceritakan.
Dalam berhadapan dengan masyarakat berbilang bangsa, masyarakat Melayu Islam sering didambakan dengan pemikiran seperti:-
Kita perlu takut akidah kita tergugat.
Kita perlu sangsi dengan mereka bukan Islam yang cuba menggugat kepercayaan kita.
Walaupun mereka cuba melakukan kebaikan, sudah pasti mereka mempunyai agenda tersembunyi.
Begitulah sensitiviti dan sentimen yang telah ditanam dalam masyarakat kita.
Diakui bahawa sikap berwaspada dan berjaga-jaga perlu ada, namun kita perlu ada keyakinan dengan kemampuan diri kita yang boleh dipupuk melalui kepercayaan, ilmu dan amalan.
Sebagai orang Islam, kita wajib berpegang teguh kepada agama kita.
Sebagai rakyat Malaysia pula, kita perlu bersikap jujur bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk.
Pandanglah mereka yang bukan beragama Islam dari sudut sesama manusia.
Kebaikan yang dibuat wajarlah disambut dengan kebaikan.
Provokasi dan sentimen perkauman hanya akan melemahkan kita semua sebagai sebuah negara.
Menghormati dan memahami antara satu sama lain membolehkan kita bukan sahaja mewujudkan suasana yang harmoni tetapi juga mengenali diri kita sendiri dengan lebih dekat.
Sikap sebegini tidak boleh dibeli tetapi perlu diusahakan dalam diri masing-masing.
Adalah rugi untuk kita sebagai seorang Muslim tetapi tidak berusaha ke arah keperibadian yang terpuji dan melangkaui polemik perkauman.
MASIH BANYAK YANG PERLU DILAKUKAN
Program Muhibbah semalam bukanlah majlis rasmi tetapi kerana tersebar luasnya, ramai yang tampil bagi memudahkan urusan dan saya terharu melihat kesepakatan semua pihak.
Kehadiran pemimpin komuniti muslim berbangsa India daripada Masjid India berdekatan dan komuniti muslim berbangsa Cina dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk meraikan majlis muhibbah adalah amat bermakna.
Mereka menjadi bukti bahawa agama Islam tidak eksklusif kepada mana-mana kaum atau kumpulan, tidak menindas serta tidak memutuskan hubungan silaturahim hatta kini berbeza kepercayaan.
Sementara polemik agama dan perkauman akan terus dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kita seharusnya mempunyai jati diri, prinsip, sahsiah dan nilai-nilai terpuji.
Tidak dinafikan kita perlu sentiasa merujuk kepada alim ulama’ dalam hukum-hakam agama.
Kita perlu teliti dan perlu ada kaedah membuat keputusan berdasarkan panduan yang diberikan.
Tetapi saya juga yakin sebagai seorang Muslim di negara ini, kita juga mampu berperanan mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia.
Sekurang-kurangnya kita semua mempunyai aspirasi untuk mewujudkan masyarakat yang bertoleransi dan saling faham-memahami sementara tegas dalam mengangkat nilai-nilai murni seperti akauntabiliti, menolak rasuah dan salah guna kuasa.
Saya yakin dengan berpandukan keyakinan tersebut, kita mempunyai kekuatan ke arah kesejahteraan masyarakat baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Selepas majlis di Gurdwara, saya bergegas ke Masjid Taman Dato’ Onn, Larkin untuk Solat Isyak dan Terawikh bersama dengan penduduk tempatan.
Ketua AMK Malaysia

Picture

Sabtu, Mei 25, 2019

Anwar Ibrahim sokong Kit Siang tarik diri debat dengan Najib




Presiden PKR Anwar Ibrahim menyokong keputusan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas perdana menteri Najib Razak.
Anwar yang juga merupakan ahli parlimen Port Dickson malah menyifatkan keputusan wakil rakyat DAP itu sebagai langkah bijak untuk mengelakkan ketegangan kaum.
“Kit Siang bukannya orang yang tak berani. Apa yang saya lihat, ramai kawan-kawan nasihat tak sesuai (debat) pada masa sekarang.
“Takut timbul ketegangan kaum. (Tarik diri) adalah satu keputusan yang baik,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Dalam laporan sama, Anwar juga dipetik menolak cadangan agar beliau menggantikan Lim.
“Nak saya debat dengan dia (Najib) buat apa... bulan-bulan puasa ni,” katanya dengan nada jenaka.
Lim dilihat sering menumpukan kritikannya terhadap Najib meskipun ahli parlimen Pekan itu bukan lagi perdana menteri atau presiden Umno.
Selasa lalu, Najib mencabar Lim untuk berdebat dengan sebarang topik.
Mengulas cabaran itu, Lim mencadangkan topik "Bagaimana Malaysia menjadi negara kleptokrasi global dan bagaimana kita mampu menjadi peneraju negara berintegriti".
Najib kemudian bersetuju dengan topik itu.
Dua hari kemudian, Lim memaklumkan bahawa dia menarik diri dari menyertai debat itu kerana menurutnya dia menerima banyak nasihat daripada penyokongnya untuk tidak turut serta.
Sebab utama yang dinyatakan adalah, menurut Lim, kebimbangan debat dengan Najib itu akan dijadikan "konflik Melayu lawan Cina".

Najib bagaimanapun mendakwa Lim sebagai memberi alasan.
"Adakah ini satu pengakuan dari Kit Siang bahawa DAP adalah parti Cina?
"Ini debat antara dua ahli parlimen. Tak ada kena-mengena dengan isu perkauman," kata Najib. MK

Picture

Khamis, Mei 23, 2019

Umat Islam perlu lebih memahami intipati al-Quran berbanding ritual, kata Nik Omar

Umat Islam perlu lebih memahami intipati al-Quran berbanding ritual, kata Nik Omar

Umat Islam perlu sedar tentang pentingnya penghayatan terhadap pesanan yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Nabi berbanding melaksanakan ritual keagamaan itu tanpa disertai dengan pemahaman.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Aziz berkata, bersempena dengan peristiwa Nuzul Al-quran, umat Islam diingatkan untuk menghayati hikmah yang terkandung pada peristiwa ini dan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.
Tegasnya, beliau meminta umat Islam supaya tidak terperangkap dengan retorik dan slogan indah yang tidak berpijak di alam nyata dan pada masa yang sama mengalami kekosongan dalam memahami isi kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri.
“Ada segelintir dari kalangan kita sibuk dengan ritual-ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa sunat Isnin dan Khamis, menyokong kehidupan Islamik, akan tetapi pada masa yang sama mereka melanggar dan menyeleweng daripada prinsip dan kandungan al-Quran.
“Contohnya, mereka taksub kepada kumpulan dan pemimpin tertentu, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain.
“Bersempena peristiwa Nuzul al-Quran, Yadim mengharapkan slogan kembali kepada al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira peganganmazhab, aliran keagamaan dan pegangan politik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, Umat Islam harus berhati-hati supaya tidak menjadi ejen kepada perpecahan umat kerana sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah.
5 hikmah di sebalik peringatan Nuzul al-Quran
Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan lima hikmah di sebalik peringatan Nuzul al-Quran di mana ia dapat membersihkan akal dan menyucikan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan yang sempurna bagi Tuhan sekalian alam.
Selain itu, katanya, peristiwa ini turut mengajar sifat kemanusiaan yang adil dan berakhlak karimah yakni umat manusia merupakan suatu umat yang sepatutnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi.
“Seterusnya adalah mencipta persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kesatuan kehidupan dunia dan akhirat dan kesemuanya yang berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.
“Hikmahnya juga antara lain untuk mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cara bermusyawarah dan mengelakkan perpecahan.
“Yang terakhir adalah membanteras kemiskinan tegar sama ada kemiskinan secara keagamaan mahupun secara ekonomi, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup,” ujarnya.
Picture

Rabu, Mei 15, 2019

Tarikh dilantik PM ke-8 sedang dibincang - Anwar Ibrahim


BANGI: Tarikh untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan, sedang dibincangkan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika memaklumkan perkara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata perbincangan antaranya dengan Perdana Menteri itu berjalan baik.
“Soal tarikh dan sebagainya (mengenai pelantikan sebagai Perdana Menteri) biarlah beliau (Dr Mahathir) berbincang dengan saya seperti yang sedang berlaku dengan baik.
“Saya tidak ada masalah sama sekali kerana Dr Mahathir punya peranan pada masa sekarang dan beliau harus diberi ruang.
“Andai kata saya ambil alih (kepimpinan) pun, peranan Dr Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita. Saya tidak fikir isu (penyerahan kuasa ini) adalah masalah,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas proses pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang dijangka dalam tempoh kira-kira setahun dari sekarang, berdasarkan perjanjian dicapai bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ditanya mengenai ‘ulang tahun’ pembebasannya daripada penjara yang genap setahun esok, Anwar menzahirkan rasa syukur dan memanfaatkan kebebasan itu dengan menemui pelbagai pihak dari dalam dan keluar negara menemui rakan lama.
Anwar mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei tahun lalu selepas rayuan pengampunan penuhnya dipertimbangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
www.bharian.com.my

Picture

Selasa, Mei 14, 2019

Kemenangan PH di Sandakan petunjuk momentum kerajaan yang positif

Kemenangan PH di Sandakan petunjuk momentum kerajaan yang positif

Kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan menunjukkan momentum kerajaan yang sedang berada betul di landasannya sekaligus membuktikan politik perkauman yang dibawa Umno-Pas tidak diterima di negeri itu.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, kemenangan PH selepas tiga kali kemenangan berturut di kerusi yang dikuasai Barisan Nasional (BN), membuktikan bahawa rakyat percaya dengan usaha kerajaan yang komited menyediakan inisiatif-inisiatif yang bermanfaat untuk masyarakat di Sabah.
Katanya, rakyat telah melihat sendiri usaha para pemimpin yang turun padang bersama rakyat disamping pengumuman tentang inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, baru-baru ini.
“Mungkin sebelum ini faktor kekalahan PH kerana masyarakat menganggap PH tidak menunaikan janji dan tak buat manifesto, tetapi dalam beberapa bulan ini nampak kelainan dan perubahan. Kita tengok PH dah mula fokus semula kepada manifesto dan berusaha mengotakan janji.
“Tun Mahathir juga ada menggariskan beberapa perkara penting dalam ucapan beliau dan inisiatif baru di mana setahun pemerintahan PH menunjukkan komitmen pemimpin yang sedang memperbetulkan keadaan.
“Kebetulan di Sabah dan Sarawak mereka ada sedikit sentimen bahawa PH mempunyai iltizam untuk membantu rakyat. Kalau kita lihat juga akhir-akhir ini nampaknya kerajaan sudah dapat tangani isu-isu media dengan lebih baik,”katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kejayaan PH di Sandakan turut bersandar pada faktor kejayaan kerajaan menangani isu-isu yang dibawa oleh media terutama media kerajaan supaya terus membawa mesej positif kepada rakyat.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata, media dibawah kerajaan hari ini sudah mula mengadakan kempen dan penerangan tentang dasar kerajaan yang diperlukan untuk pemahaman rakyat yang akhirnya telah membentuk kemenangan besar di Sandakan.
Selain itu, katanya, sentimen perkauman yang dimainkan Umno-Pas tidak lagi berjaya mempengaruhi pengundi Sabah di Sandakan di mana penglibatan Pas sendiri dalam tempoh berkempen untuk parti Parti Bersatu Sabah (PBS) menyebabkan masyarakat Sabah tidak selesa dengan politik perkauman yang dibawa.
“Masyarakat Sabah ini lain. Mereka berkawan dengan semua agama sama ada kristian, iban, dan juga Islam. Jika kita perhatikan, Sandakan mempunyai majoriti orang Islam namun mengapa DAP masih boleh menang? Ini kerana orang Islam Sabah tolak PBS dan mereka lihat politik perkauman ini tidak baik untuk politik di Sabah.
“Tambahan pula, Najib yang turun padang dan berkempen sebenarnya sudah mempunyai imej yang tidak baik. Imej Bossku itu sendiri tidak bagus apatah lagi setelah beliau sendiri telah dibicarakan hampir 16 hari dan banyak amalan rasuah yang telah didedahkan. Sekarang, Imej Bossku dah dikaitkan dengan rasuah yang menyebabkan rakyat tidak terima beliau,”ujarnya.
Picture

Isnin, Mei 13, 2019

Rafizi menang rayuan terhadap saman fitnah pengerusi NFCorp

Rafizi menang rayuan terhadap saman fitnah pengerusi NFCorp

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini berjaya dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 3 tahun lepas yang memerintahkan beliau membayar RM200,000 sebagai ganti rugi kepada pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd, Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya kerana memfitnah mereka.
Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hamid Sultan Abu Backer berkata, terdapat merit dalam rayuan Rafizi.
“Rayuan mempunyai merit dan kami membenarkannya dengan kos, kata Hamid yang bersidang bersama-sama Hanipah Farikullah dan Kamarudin Md Said.
Terdahulu panel tidak membenarkan kes itu didengar lebih lewat hari ini bagi membolehkan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp dan Salleh turut hadir.
“Perkara ini telah ditangguhkan tidak kurang 5 kali dan ganti rugi kepada responden pertama (Salleh) hanya RM150,000, kata Hamid seperti dipetik FMT hari ini.
Peguam Sarah Abishegam kemudiannya menjalankan kes itu bagi pihak Salleh dan NFCorp.
Salleh maupun Rafizi tidak hadir di mahkamah.
Peguam Ranjit Singh yang mewakili Rafizi berkata, kliennya hanya bergantung pada pembelaan komen wajar.
“Perayu merupakan seorang yang jujur dan berfikiran waras ketika beliau membuat kenyataan yang didakwa memfitnah itu,” katanya, dengan menambah bahawa Mahkamah Tinggi juga memutuskan tindak-tanduk Rafizi tidak berniat jahat.
Katanya hakim perbicaraan Azizul Azmi Adnan juga berkata Rafizi bertindak untuk kepentingan awam.
Pada 13 Oktober 2016, Azizul memerintahkan Rafizi, yang pada masa itu merupakan ahli Parlimen Pandan, menayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada syarikat beliau.
Mahkamah juga memerintahkan Rafizi membayar kos RM100,000.
Panel hari ini memerintahkan Salleh dan NFCorp membayar balik ganti rugi dan kos itu dalam tempoh 30 hari. Sekiranya gagal, bayaran faedah 5% setahun akan dikenakan sehingga bayaran dibuat.
Hamid juga membenarkan kos di Mahkamah Tinggi sebanyak RM100,000 dan tambahan RM10,000 di Mahkamah Rayuan.
Dalam saman yang difailkan pada 3 Jun 2013, Salleh dan NFCorp mndakwa Rafizi membuat kenyataan fitnah pada satu sidang media di ibu pejabat PKR setahun sebelum itu mengenai pembelian hartanah Eco City di Kuala Lumpur.
Picture

Sabtu, Mei 11, 2019

Pimpinan AMK mahu peralihan kuasa PM dalam tempoh dua tahun

Pimpinan AMK mahu peralihan kuasa PM dalam tempoh dua tahun

Tempoh masa peralihan kuasa diantara 2 tahun ke 2 tahun setengah adalah tempoh yang wajar dipertimbangkan sebelum berakhir separuh penggal pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syed Badli Shah Osman.
Beliau berkata eralihan kuasa tidak boleh berlaku lewat dari tempoh 3 tahun dan tidak boleh dilihat tergesa-gesa.
“Pelan peralihan kuasa perlu disusun rapi bagi memastikan kestabilan kerajaan.
Syed Badli Shah Osman
“Pelan peralihan yang berlaku terlalu lewat akan menyukarkan perdana menteri baru untuk membentuk corak pemerintahan negara kerana tempoh masa penggal berakhir terlalu hampir.
“Justeru wajarlah Anwar diangkat sebagai perdana menteri dalam tempoh 2 tahun ke 2 tahun setengah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru agar seebelum peralihan kuasa berlaku, seluruh kepimpinan dan pendukung Pakatan Harapan untuk terus memberikan sokongan padu dibawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Setahun sudah berlalu kisah tumbangnya tirani terpahat dalam sejarah politik negara. Setahun juga masanya kerajaan Pakatan Harapan mengambil tempat.
“Tentunya kerajaan setahun jagung, tidak mudah menandingi kerajaan tua yang berusia 60 tahun.
“Hakikatnya PH telah berjaya menambah baik pelbagai perkara dibawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Polisi-polisi lapok berjaya diubah dan dasar-dasar baru turut diperkenalkan.
“Seluruh pendukung PH wajar berterima kasih kepada Tun M diatas hasil usahanya memimpin Malaysia baru walaupun sudah berusia lewat.
“Namun janji ketika penubuhan Pakatan Harapan untuk mengangkat Anwar bagi mengambil alih tampok kepimpinan negara juga haruslah dipenuhi.
“Datuk Seri Anwar perlu diangkat sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 2 tahun pemerintahan Pakatan Harapan,” tegasnya lagi.
Picture

Khamis, Mei 09, 2019

PERUTUSAN KHAS ULANGTAHUN PERTAMA PENTADBIRAN PAKATAN HARAPAN

Image may contain: 1 person

Alhamdulillah, hari ini adalah ulangtahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan dan juga ulangtahun pertama negara ini berjaya menundukkan kebobrokan, kebejatan dan keangkuhan. Dengan berkat dukungan dan sokongan rakyat berbilang kaum dan agama akhirnya memungkinkan peralihan kuasa yang aman dan demokratik.
Tentunya mencapai kemenangan yang kita nikmati hari ini tidak mudah, dan ia bertitik tolak dari kesedaran dan pengorbanan mereka yang benar-benar mendambakan perubahan dan reformasi yang bermakna sejak 20 tahun lampau. Banyak air mata dan keringat yang dilaburkan untuk memungkinkan ledakan kuasa rakyat tanggal 9 Mei 2018.
Justeru, jika ditelaah semula pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh pentadbiran hari ini, ternyata ia suatu pencapaian yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara dan tidak dinafikan juga masih banyak lagi yang perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia.
Namun usaha dan upaya Pakatan Harapan dalam menggagas reformasi juga harus dimaknai dengan dasar-dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat. Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar ia benar-benar memberi dampak yang menyeluruh agar kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja, malah ia mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir dan melarat.
Harus diingatkan juga bahawa masalah hubungan antara kaum dan agama di negara ini dilihat semakin meruncing tatkala Pakatan Harapan sedang menjelmakan perubahan dan reformasi yang didambakan. Ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng dan dikesampingkan, malah jika dibiar ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya.
Saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menggembeleng seluruh tenaga dan pihak dari kalangan pembangkang ketika itu dalam usaha merubah lanskap politik negara ke tahap yang kita kecapi hari ini. ��Justeru marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan.
ANWAR IBRAHIM

Picture

Isnin, Mei 06, 2019

KENYATAAN MEDIA YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

No photo description available.

Ingin saya maklumkan terdapat gangguan dan pencerobohan siber di pejabat saya. Ini termasuklah semua akaun media sosial milik saya.
Gejala pencerobohan siber sebegini semakin merebak tatkala kita meluangkan seberapa banyak masa di ruang digital. Ternyata ia suatu impak yang negatif dalam keghairahan kita mencakup teknologi, dan senantiasa terdedah kepada individu yang menggunakan perkakas-perkakas digital samada untuk keuntungan segera atau membangkit ketidaktentuan dan kecelaruan.
Sedang ‘big data’ dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) hanya akan dipacu dengan baik sekiranya ruang digital digunakan secara meluas, ia harus diseimbangkan dengan perlindungan data yang munasabah dan pendekatan yang baik dalam bagaimana data digunapakai. Isu-isu ini juga turut disentuh saya dalam mengajukan Digital Native Agenda (DNA23) yang kini menjadi fokus.
Tatkala kami sedang menyelenggara permasalahan ini, ingin saya sarankan semua pihak untuk kekal waspada terkait segala maklumat yang datang dari pejabat saya, mahupun akaun-akaun media sosial atas nama saya. Kami sedang berusaha dengan pihak yang berkaitan dalam menyelesai isu pencerobohan siber ini.
ANWAR IBRAHIM
5 Mei 2019
========================
MEDIA STATEMENT BY YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
It has come to my attention that there has been a cybersecurity breach in my office. This includes intrusion into my social media accounts.
Security breaches like these are increasing as we spend more of our time in the digital space. It is an unfortunate consequence of embracing technology - there are always going to be individuals who use digital tools to either make a quick profit or to use social media to create unrest and discontent.
Whilst big data and artificial intelligence can only take off when people utilise digital technology ubiquitously, this has to be balanced with adequate data protection as well as an ethical approach to how data is used. Addressing these issues form part of the Digital Native Agenda (DNA23) initiative that I am championing.
Whilst we work to address the cybersecurity breach, please be wary of information that purportedly comes from my office or social media account. We are working with relevant authorities re this issue.
ANWAR IBRAHIM
5 May 2019

Picture