Pages - Menu

Pages - Menu

Rabu, Mei 30, 2018

Abdul Hadi terlalu prejudis, kata Penasihat Umum AMANAH

Abdul Hadi terlalu prejudis, kata Penasihat Umum AMANAH
 iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang menyifatkan mesej Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada AMANAH yang menggunakan perlambangan “sebesar zarah semangat Islam” sebagai tidak berasas.
Menurutnya, Abdul Hadi tidak wajar berkata demikian memandangkan perkara-perkara asas berkaitan kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan telah diberi penegasan akan dipertahan bahkan akan diperkasa.
“Pada saya, tidak wajarlah (Abdul Hadi) sebagai seorang yang pernah menjadi ketua saya dan saya sudah 40 tahun bersama Pas.
“Kalau ‘sebesar zarah keimanan mereka itu,’ seolah-olah terlalu begitu prejudis,” katanya dalam slot 100 Hari Malaysia Baharu di Astro Awani malam tadi.
Terdahulu, Ustaz Ahmad diminta perantara forum, Nazri Kahar untuk mengulas mesej Abdul Hadi kepada AMANAH dalam program sama di sebelah petangnya.
Abdul Hadi sebagai panel tunggal dalam slot selama sejam itu berkata, ‘suara Islam’ mesti tanpa segan dibawa dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
“Mesej saya sekiranya masih ada sebesar zarah semangat Islam di dalam diri mereka (AMANAH), mereka mesti mempertahankan kedudukan Islam dengan tidak rasa malu dan segan dalam Pakatan Harapan.
“(AMANAH) mesti membawa suara Islam dalam kerajaan. Ini mesej kita. Mereka dulu bersama Pas kerana Islam maka jika keluar pun kerana Islam juga dan mesej ini mesti dibawa dalam kerajaan.
“Ini tanggungjawab yang amat besar,” tegas Abdul Hadi lagi yang turut menganggap parti komponen PH mempunyai ideologi dan pendekatan yang berbeza walaupun mendapat kemenangan dengan harapan yang satu iaitu menjatuhkan BN.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad berkata, Pas sebenarnya balik ke 30 tahun ke belakang bukan anjakan paradigma seperti yang dianggap apabila berfikir seolah-olah Malaysia ini hanya dihuni masyarakat Melayu Islam.
Menurutnya, kecenderungan untuk menakut-nakutkan atas nama kaum dan agama masih terus berbangkit walaupun hakikatnya majoriti pimpinan tertinggi parti komponen PH adalah beragama Islam.
“Tentang isu kaum dan agama, ini adalah lanjutan daripada apa yang ditegaskan oleh Umno-BN dan juga dikukuhkan Pas terutama semasa kempen PRU-14.
“Dulu ditakutkan kalau PH memegang tampuk pemerintahan Putrajaya, DAP akan dominan, dan ditakut-takutkan sampai hari ini pun masih dibangkitkan sekarang dalam PH, jumlah Ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai,” ujarnya.
Jelasnya, pendekatan PH dalam memerintah tidak sama dengan BN walaupun memang Umno sebagai parti teras memandangkan dalam PH terdapat Majlis Presiden yang dianggotai keempat-empat parti komponen iaitu AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP.
Sehubungan itu, Ustaz Ahmad berpendapat kuasa agama Islam perlu dikembalikan kepada Majlis Raja-raja Melayu yang telah dicabuli oleh kerajaan BN terdahulu.
“Kita (PH) tidak ikut cara kerajaan dulu (BN). Pentadbiran Islam di peringkat Kerajaan Pusat mesti dengan perkenan Majlis Raja-raja, mengangkat kuasa Majlis kebangsaan Islam.
“Pelbagai himpunan atas nama Islam ketika kerajaan BN dahulu tak nampak imej raja-raja. Kenapa program berkaitan Islam, raja-raja tiada? Padahal, merekalah ketua agama Islam.
“Apa yang dimaksudkan mereformasi institusi itu adalah mengambil jalan terbaik, dalam pada masa sama mengekalkan kuasa kepada Majlis Raja-raja,” tambahnya lagi.
mdl

Picture

Selasa, Mei 29, 2018

Hot!! : Sekat 2 pemimpin pembangkang perlu penjelasan segera Kelantan

Husam dan Wan Rahim dihalang memasuki semua pejabat kerajaan negeri serta istana. Bagaimana nanti kalau digunakan segala kuasa itu atas nama Islam.
 iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Tindakan kerajaan negeri Kelantan menyekat dua pemimpin AMANAH, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Abdullah dari memasuki pejabat di bawah kerajaan negeri sesuatu yang perlukan penjelasan yang sewajarnya.
Ini kerana tindakan ini mencatat satu sejarah baru kepada negeri itu walaupun dalam Pekeliling itu dinyatakan mereka adalah tambahan kepada individu yang telah dikenakan tindakan yang sama sebelum ini.
Menurut Pekeliling Pengurusan yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu, mereka berdua turut dihalang dari memasuki semua istana di negeri Kelantan.
Arahan bertarikh 27 Mei  itu dikeluarkan kepada semua jabatan-jabatan kerajaan negeri Kelantan.
“Mana-mana pegawai kerajaan negeri berkenaan yang ingkar arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (kelakuan dan tatatertib) tahun 1996 atau mana-mana peraturan yang berkuat kuasa pada masa ini,” kata surat yang ditandatangani oleh Nazran Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu.
Sebelum ini Husam dan Wan Rahim telah ditarik gelaran datuk oleh Istana Kelantan.
Turut ditarik gelaran sebelum pilihan raya umum ke 14 lalu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini adalah perdana menteri.
Terlalu banyak andaian yang boleh dibuat terhadap tindakan ini kerana Kelantan adalah sebuah negeri yang ditadbir oleh Parti Islam Semalaysia (Pas) dan Kelantan diwar-warkan sebagai sebuah negeri yang ditadbir berasaskan konsep Islam.
Adakah menyekat musuh politik dari memasuki premis kerajaan yang tidak dibuktikan dengan sebarang salah laku adalah satu tindakan yang Islamik.
Adakah tindakan ini dibuat untuk menyekat ‘rahsia’ kerajaan bocor kepada umum? Jika ia benar, apakah ‘rahsia’ yang hendak disekat itu sehingga menyekat dari mereka masuk ke pejabat kerajaan negeri untuk membayar cukai pintu, cukai tanah dan pelbagai cukai yang dikenakan kerajaan lagi ke atas rakyat.
Ada juga yang berkata, itu baru kuasa di peringkat negeri. Bagaimana pula kalau ada kuasa di peringkat pusat. Yang menguasai polis, SPRM dan pelbagai pihak berkuasa lagi.
Bagaimana nanti kalau digunakan segala kuasa itu atas nama Islam. Tidakkah nanti akan memberikan imej buruk kepada Islam, agama kasih sayang dan perdamaian serta rahmat untuk sekalian alam ini.
Semua ini perlu dijelaskan oleh pemimpin kerajaan negeri terutama sekali pihak yang terlibat dengan arahan ini.
Ia juga perlu dijelaskan kerana arahan ini keluar dua hari selepas Timbalan Menteri Besar, Datuk Muhamad Amar memberikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, tempat Mursyidul Am Pas paling popular, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajar dahulu.
Dalam kuliah itu Mohamad Amar berkata, Pas tidak kesah tidak boleh menang di peringkat pusat dalam pilihan raya umum ke 14 lalu kerana hutang terlalu banyak. Biarlah PH selesaikan hutang dahulu, baru kita masuk.
Ia semacam mahu lari dari tanggung jawab dan dibimbangi juga kalau-kalau pucuk pimpinan kerajaan negeri sekali lagi mahu lari dari tanggungjawab terhadap surat arahan ini.
mdl

Picture

Isnin, Mei 28, 2018

Nik Omar: Dengar kehendak, keluhan cara kerajaan PH hormati rakyat

Nik Omar: Dengar kehendak, keluhan cara kerajaan PH hormati rakyat
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berpendapat kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 bukanlah untuk dibanggakan.
Menurut Ustaz Nik Omar, PH yang diberi mandat mentadbir kerajaan Pusat perlu mendengar suara rakyat yang memilih gabungan empat parti itu.
“Kerajaan tidak perlu meminta penghormatan daripada rakyat. Kerajaan yang perlu menghormati rakyat.
“Rakyatlah menyebabkan PH berada di kedudukan sekarang ini.
“Cara kerajaan Malaysia menghormati rakyat adalah mendengar kehendak dan keluhan rakyat,” katanya dalam bual bicara di saluran Astro Awani semalam.
Bekas calon AMANAH-PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka itu berkata, kerajaan pusat di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula sistem pentadbiran di landasan yang betul.
“Kita harap Malaysia di bawah kepimpinan baru dapat memberi keutamaan kepada rakyat.
“Saya rasa manifesto yang kita fokuskan 100 hari setakat ini, Alhamdulillah berjalan dengan baik.
“Mungkin ada program dan keputusan-keputusan baru yang asasnya memenuhi kehendak rakyat. InsyaAllah,” ujarnya ketika ditemubual perantara Nazri Kahar.
Ditanya tentang kemungkinan wujudnya rasa terkilan ekoran kalah di Dun Chempaka, Ustaz Nik Omar berlapang dada menerima keputusan rakyat.
“Alhamdulillah. Kita akur dengan pilihan rakyat,” katanya.
Beliau turut bersikap terbuka dengan keupayaan Pas mempertahankan kemenangan di Kelantan serta menawan Terengganu.
Bahkan, beliau berpendapat PH dan Pas masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap kemenangan yang dicapai.
“Secara mudah kita kena raikan demokrasi itu. Rakyat bebas memilih. Ia juga ketentuan Allah Taala yang memang cantik.
“Di peringkat negeri, Gagasan Sejahtera yang diketuai Pas menang. Di peringkat Pusat, rakyat memberi kemenangan kepada PH.
“Jadi, itu satu pembahagian yang adil. Masing-masing sekarang ini perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
“Terutamanya melaksanakan manifesto bagi parti dan negeri masing-masing.
“Jadi, itu satu perkembangan yang sihat,” jelas Ustaz Nik Omar lagi.
mdl

Picture

Ahad, Mei 27, 2018

Wakil rakyat PH dingatkan jangan gelojoh kejar jawatan

Kini kita harus berbaik semula dan rapatkan saf setelah selesainya pilihan raya umum baru-baru ini, kata Anwar.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) supaya tidak gopoh dan gelojoh mengejar jawatan setelah memenangi pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei yang lalu.
Beliau berulang kali memberi peringatan tersebut ketika berucap pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang, Permatang Pauh semalam.
Tegas beliau lagi, setelah menang besar dalam PRU baru-baru ini maka tugasan utama ialah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Jalankan kerja dengan sebaik mungkin bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang timbul.
“Jangan letakkan dalam fikiran untuk merebut macam-macam jawatan selepas menang.
“Dah menang, jangan ada yang gopoh dan juga gelojoh, ” ujar beliau lagi.
Malah katanya yang kalah, sudah sememangnya kalah, manakala yang menang harus berusaha sebaik mungkin bagi meneruskan khidmat.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak berbalah selepas selesainya PRU.
“Kini kita harus berbaik semula dan rapatkan saf setelah selesainya pilihan raya umum baru-baru ini.
“Saya juga ikut berdamai dengan Tun Mahathir dan melupakan segala sengketa semata-mata bagi memastikan aspirasi menumbangkan Umno dan BN menjadi kenyataan.
“Akhirnya ia menjadi nyata dan kita mampu untuk menegakkan sebuah kerajaan untuk membawa perubahan kepada negara dan juga rakyat, ” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, yang perlu dilaksanakan kini ialah sikap berbaik-baik dan rapatkan saf dengan semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira dari parti mana dan ideologi mereka.
mdl

Picture

Sabtu, Mei 26, 2018

Kerajaan pertimbang bantuan Aidilfitri bantu penjawat awam

Kerajaan pertimbang bantuan Aidilfitri bantu penjawat awam
Kementerian Kewangan akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri berkenaan bantuan Aidifitri yang bakal menjelang, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Beliau berkata cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Hari Raya.
“Untuk Hari Raya ini, ada yang bertanya (tentang bantuan), tapi saya harap tuan-tuan dan puan-puan bertimbang rasa kerana keadaan ekonomi (negara) yang kurang baik,” katanya ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian itu, perhimpunan pertamanya selepas memegang jawatan berkenaan.
Lim juga berkata bantuan tersebut ditujukan kepada golongan berjawatan rendah, dan jumlah bantuan itu akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita cuba menonjolkan imej kepimpinan melalui teladan, kita tidak memotong gaji penjawat awam, sebaliknya gaji menteri kabinet dipotong sebanyak 10 peratus… ini dipersetujui dalam mesyuarat kabinet pertama Pakatan Harapan.
“Dan mesej yang hendak kita sampaikan ialah ekonomi Malaysia berdepan dengan masalah kerana ketirisan dan penyelewangan wang yang terjadi sebelum ini,” katanya dipetik Bernama.
Lim menjelaskan bahawa kerajaan berdepan isu fiskal dan hutang negara, di mana kedudukan kewangan negara tidak selari dengan apa yang sebarkan kepada rakyat.
“Bagaimana pun, janji hendaklah dipegang teguh walaupun ia bertembung dengan posisi fiskal negara,” katanya, sambil menambah bahawa beliau akan menyatukan sistem dan laporan kewangan negara dalam minggu pertama menjalankan tugas sebagai menteri kewangan.
Laporan tersebut dijangka dapat memberi gambaran jelas mengenai prinsip asas ekonomi, dan tiada maklumat yang akan dirahsiakan.
“Kita juga akan meminta syarikat penarafan terkemuka seperti Pricewaterhouse Copper membantu kita dalam melancarkan lagi proses ini,” katanya.
Ini penting dalam mengimbangkan kedudukan fiskal negara dan janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya ke-14.
Lim juga berharap Malaysia akan menjadi negara yang menerapkan aspek keusahawanan dan pada masa yang sama, menjaga kebajikan rakyatnya.
“Keusahawanan dan kebajikan boleh berjalan selari, dan Pulau Pinang merupakan contoh pelaksanaannya yang berjaya,” katanya.
mdl

Picture

Jumaat, Mei 25, 2018

PH-Pas Terengganu sedia bekerjasama pulihkan projek sakit BN, agihan royalti minyak

PH-Pas Terengganu sedia bekerjasama pulihkan projek sakit BN, agihan royalti minyak
Pakatan Harapan (PH) di Terengganu bersedia untuk bersama kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pas memastikan semua projek terbengkalai di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) diselesaikan secara bersama.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, dengan kunjungan hormat bertemu Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam, beberapa hasrat bersama telah dibincangkan bertujuan membina semula negeri dan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Kami sama-sama berhasrat untuk melihat Terengganu maju dan memulihkan projek-projek sakit lama peninggalan kerajaan Umno-BN.
“Pakatan Harapan pula di peringkat pusat sedang sibuk menguruskan keruntuhan kepercayaan terhadap ekonomi negara disebabkan skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad), NFL, Felda dan Mara yang diwarisi daripada kerajaan Umno-BN,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Raja Bahrin berkata, semua pihak perlu memberikan perhatian untuk menumpukan kepada membina semula negara.
Katanya waktu berkempen pilihan raya telah berlalu kini adalah masa untuk membina jambatan kerjasama demi rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada kerajaan PH dan Kerajaan Negeri Terengganu.
“Kedua-dua pihak yang memegang kuasa pemerintahan Pusat dan Negeri pernah menjadi pembangkang bersama untuk menumbangkan Umno-BN.
“Lebih baik kita mencari titik persamaan daripada mencari perbezaan antara kita,” ujar bekas ahli parlimen Kuala Terengganu ini.
Beliau penyandang kerusi Kuala Terengganu pada PRU13 tewas dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon BN. Calon Pas Azad Hashim menang dengan majoriti 14,773 undi.
Justeru katanya beliau mengambil sikap proaktif untuk memelihara suasana supaya rakyat Terengganu tidak ketinggalan.
Dengan kesediaan PH memulangkan royalti minyak Terengganu ujarnya lagi, disambut baik rakyat negeri.
“Perbincangan bersama kelak akan menetapkan cara dan formula pembahagian wang royalti tersebut.
“Lebih baik kita duduk berbincang secara berhemah dan konstruktif untuk kebaikan bersama demi rakyat dan negara,” ujarnya.
mdl

Picture

Khamis, Mei 24, 2018

Pas terpinggir dari arus perdana politik negara kerana gopoh, dakwa AMANAH

Pas akan menang lebih besar jika bersama Pakatan Harapan, kata Khalid.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Sifat gopoh dan kurang yakin kepada pendekatan yang diikutinya sejak zaman reformasi telah menyebabkan Pas semakin terpinggir dari arus perdana politik negara, dakwa AMANAH.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, walaupun akan ada yang berkata bahawa Pas telah berjaya dengan keputusan antara yang paling cemerlang dalam sejarahnya, hakikatnya ianya sebenarnya boleh jauh lebih baik dari itu.
“Ia kembali sebagai parti pantai timur dan kawasan kampung Melayu setelah beraksi cergas di pantai barat dan kawasan bandar pada tahun-tahun pasca reformasi,” kata Khalid.
Bagi beliau, cogan kata “Pas for all” kian tidak kedengaran dan Pas kembali sebagai parti bersifat eksklusif memperjuangkan agenda khas bagi masyarakat Muslim dan Melayu.
“Kalau kita berhenti sejenak dan meninggalkan alam realiti dan menyelak seketika melalui imaginasi kita, mengintai pada ‘alam mungkin terjadi’, hanya yang beragenda akan menafikan bahawa Pas pasti mendapat kemenangan jauh lebih besar sekiranya ia telah istiqamah bersama Pakatan.
Sepertimana yang diperjuangkan oleh bekas pimpinannya yang akhirnya menubuhkan AMANAH, Pas akan dapat mengecapi kemenangan di peringkat Persekutuan juga.
“Tetapi malangnya bagi Pas, mereka terpengaruh, mungkin dengan keyakinan Najib, bahawa dia akan kekal sebagai Perdana Menteri
pasca PRU ke 14.
“Keyakinan Najib ini terhasil dari poket-poket yang sarat dengan duit rakyat untuk digunakan untuk membeli kembali sokongan rakyat!” kata Khalid dalam tulisannya di akhbar Mingguan Amanah yang bakal keluar Jumaat esok.
Bagi Khalid, sekiranya Pas kekal dalam Pakatan, berdasarkan keputusan yang diketahui sekarang, paling kurang 36 lagi kerusi di Semenanjung yang dimenangi BN akan jatuh kepada Pakatan.
“Ini adalah kerana 36 kerusi ini dimenangi BN atas sebab undi berpecah antara PAS dan PH,” tulis Khalid yang menang di parlimen Shah Alam dengan majoriti lebih besar kali ini.
IKUTI TULISAN PENUH DALAM MINGGUAN AMANAH.
mdl
Picture

Rabu, Mei 23, 2018

Kebijaksanaan, pengalaman PM mampu bawa Malaysia kembali disegani, kata TPM

Kebijaksanaan, pengalaman PM mampu bawa Malaysia kembali disegani, kata TPM
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yakin kebijaksanaan dan pengalaman  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sebelum ini mampu membawa Malaysia kembali disegani selepas ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata selaku orang baharu dalam kabinet, beliau amat teruja untuk turut serta mencurah bakti membina Malaysia baharu bersama-sama jemaah menteri yang lain.
“Saya amat teruja untuk memulakan tugas bagi bersama-sama rakan membentuk satu pasukan yang mantap untuk membangunkan negara tercinta.
“Dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang ada pada Tun (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), saya yakin kita boleh mencipta lebih banyak kejayaan untuk rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melapor diri kepada Perdana Menteri di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini sebelum memulakan tugas rasmi hari pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Wan Azizah juga menyifatkan perjumpaan itu sebagai amat bermakna dan mereka berbincang beberapa perkara mengenai hala tuju untuk sama-sama menerajui kerajaan Malaysia yang baharu.
Wan Azizah tiba di perkarangan bangunan yayasan itu pada 9 pagi dan meninggalkannya 45 minit kemudian.
mdl

Picture

Selasa, Mei 22, 2018

Sultan Johor terima mengadap Anwar Ibrahim

Sultan Johor terima mengadap Anwar
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Pelangi di Johor Bahru malam tadi.
Kenderaan yang membawa Anwar tiba di perkarangan istana pada jam 10.50 malam dan pertemuan itu berlangsung sehingga tengah malam.
Pertemuan berkenaan turut dikongsikan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.
“Pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan tertutup Datuk Seri Anwar bersama Tuanku Sultan Ibrahim yang berlangsung selama lebih dua jam itu.
“Hadir sama, anak perempuan Datuk Seri Anwar iaitu Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh,” jelas kenyataan tersebut lapor Malaysiakini.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan butiran perbincangan antara mereka.
Turut hadir pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sejak dibebaskan pada 16 Mei,  beliau berkesempatan atas jemputan mantan Perdana Menteri Indonesia BJ Habibie ke Jakarta pada Ahad.
Anwar  diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Beliau dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan baginda.
Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah berhubung kes liwat.
Johor, buat kali pertama sejak negara merdeka, jatuh ke tangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) kini dipimpin oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
mdl

Picture

Isnin, Mei 21, 2018

Lucu : ‘Mat Sabu junior’ cerita kepincangan Najib

Telatah kanak-kanak ini mengajuk ucapan Mohamad Sabu tentang skandal 1MDB tular di media sosial.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Tular di media sosial rakaman video seorang kanak-kanak lelaki mengajuk sedutan ucapan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang juga merupakan Presiden AMANAH pada kempen PRU-14 lalu.
Dianggarkan berusia dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun, dia yang memakai kemeja-T berwarna merah dan berkopiah hitam itu dilihat selamba menghiburkan khalayak yang menyaksikan telatahnya.
Rakaman berdurasi 30 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan duduk di atas pangkin batu dengan disaksikan sekumpulan lelaki.
“Pengerusi 1MDB Najib, Menteri Kewangan Najib, Perdana Menteri Najib. Bila duit 1MDB tak cukup sebab dah belanja mewah semua, Najib minta kepada Najib.
“Najib kata nanti, aku bincang dulu dengan perdana menteri – Najib. Bila Najib berbincang dengan Najib, luluslah wang rakyat kepada Najib,” ajuk kanak-kanak itu disambut ketawa berdekah-dekah pendengarnya.
Petikan ucapan humor tersebut antara ungkapan popular yang kerap disebut Mohamad dalam siri Jelajah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dalam menerangkan tentang kepincangan urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ucapan lucu Mohamad Sabu pada musim kempen PRU-14 diingati rakyat termasuk kanak-kanak.
Antaranya, di Guar Chempedak di Parlimen Jerai, Kedah pada 29 Mac lalu.
Mohamad merangkap Pengarah Komunikasi dan Mobilisasi PH itu dikenali sebagai pemimpin yang sarat dengan ucapan bernada sindiran dan lucu bagi menerangkan isu semasa kritikal negara.
Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan dilihat menghuraikan skandal 1MDB yang bersifat teknikal itu dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami masyarakat awam.
Bahkan, sejumlah suntingan sedutan ceramah lawak beliau sepanjang kempen PRU-14 lalu meraih sehingga ratusan ribu tontonan apabila dimuat naik di laman perkongsian video YouTube.
mdl
Picture

Sabtu, Mei 19, 2018

Kelantan, Terengganu akan dapat royalti Petroleum, kata PM

Kelantan akan mula terima royalti, begitu juga Terengganu akan terima semula, kata Tun Mahathir.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, Kelantan dan Terengganu akan menerima royalti petroleum selepas ini.
“Mereka akan mendapat royalti petroleum selepas ini. Mereka akan menjadi kaya raya,” kata Mahathir dalam dialog dengan media Pakatan Harapan di Yayasan Al Bukhary hari ini, lapor Malaysia Decides.
Menurut Mahathir, kerajaan persekutuan juga menerima sebahagian royalti petroleum sekarang ini.
Kerajaan negeri Terengganu telah menerima 5% royalti petroleum dari Petronas namun ia ditamatkan selepas empat bulan PAS memenangi kerajaan negeri pada tahun 1999 ketika Mahathir adalah perdana menteri.
Ekoran itu, kerajaan negeri Terengganu telah menyaman Petronas dan kerajaan persekutuan namun selepas BN memenangi balik kerajaan negeri selepas 2004, saman ini ditarik balik.
Kerajaan negeri Kelantan pula berpendapat negeri itu berhak mendapat royalti petroleum sebagaimana Terengganu.
Ia diperjuangkan oleh kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui exco kananya Husam Musa.
Menjelang PRU 14 baru-baru ini, Mahathir bersetuju untuk memberikan Kelantan royalti petroleum jika PH memenangi kerajaan negeri dan pusat.
mdl

Picture

Jumaat, Mei 18, 2018

Anwar Ibrahim dilantik anggotai Majlis Presiden PH

Anwar dilantik anggotai Majlis Presiden PH
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini mengumumkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggotai barisan Majlis Presiden PH.
Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Majlis Presiden kini dianggotai enam keanggotaan (top 6).
Sebelum ini keanggotaan Majlis Presiden PH terdiri daripada lima anggota dikalangan Pengerusi, Presiden dan tiga timbalan presiden yang mewakili empat parti dalam gabungan Pakatan Harapan.
Difahamkan Anwar akan kekal sebagai Ketua Umum PKR ketika berada dalam Majlis Presiden PH .
“Datuk Seri Anwar akan jadi seorang daripada 6 orang – top 6.
“Kita menerima masuk DS Anwar ini untuk berjumpa lebih kerap dan mungkin ada masalah mereka akan bersidang (Majlis Presiden) untuk memutuskan perkara yang penting diputuskan dengan segera,” ujarnya.
Majlis Presiden yang bermesyuarat hari ini juga menetapkan Majlis Presiden akan mempunyai 22 orang ahli.
“Majlis Presiden ini ditentukan ahlinya berjumlah 22 orang iaitu tiap parti mempunyai lima orang wakil dalam Majlis Presiden termasuk dari wanita dan pemuda.
“Bagi perkara dasar akan dibawa ke mesyuarat pada Majlis Presiden yang akan bersidang setiap bulan atau lebih awal,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Ibupejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan tanpa syarat oleh Lembaga Pengampuan Diraja semalam.
mdl

Picture

Khamis, Mei 17, 2018

Jangan ulangi apa yang dilakukan Najib

Jangan ulangi apa yang dilakukan Najib, pesan Mohamad Sabu
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) adalah atas sokongan rakyat, justeru pemimpin-pemim PH katanya tidak boleh bersikap sombong dan lupa diri.
“Kekuatan PH adalah pada tuan-tuan semua, bukan pada mereka yang menang.
“Yang menang adalah tuan-tuan,” kata beliau berucap pada majlis jamuan kesyukuran di Bukit Kemuning Shah Alam malam tadi.
Sehubungan itu juga beliau mengingatkan pemimpin PH agar tidak menjadi sombong dan angkuh dengan duit, kerana jika hal itu berlaku jelasnya, pemimpin PH juga akan menjadi seperti Najib dan Rosmah.
Jelas Mohamad, rakyat Malaysia hari ini adalah rakyat yang mampu menjatuh dan menaikkan sesuatu kerajaan.
Justeru tambahnya, jika PH berbuat tidak betul, rakyat juga boleh menjatuhkan kerajaan PH sebagaimana mereka menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak.
Mohamad Sabu di jamjlis jamuan kesyukuran di Bukit Kemuning, Shah Alam malam tadi.
“Sebab itu kita kena berhati-hati dan laksanakan amanah yang diberikan rakyat dengan jujur,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu.
Berhubung pembebasan Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad berkata, beliau berharap dengan pembebasan tersebut ia dapat menjadikan PH lebih kuat melalui penglibatan Anwar nanti.
Dalam majlis berkenaan beliau juga memberitahu tiga nama daripada parti AMANAH yang dicadangkan untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri Kabinet adalah pemimpin tertinggi parti itu.
Beliau berkata, senarai nama itu dihantar kelmarin kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini terpulang kepada budi bicara beliau untuk memutuskan mereka berada di kementerian mana.
mdl

Picture

Rabu, Mei 16, 2018

Anwar terima panggilan ucap tahniah daripada Dr Yusuf al- Qaradhawi

Anwar terima panggilan ucap tahniah daripada Dr Yusuf al- Qaradhawi
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan beliau menerima ucapan taniah daripada Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi.
“saya telah terima panggilan dari Sahibus Samahah Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia.
“Beliau amat gembira dengan perkembangan terkini politik di Malaysia, khususnya kemenangan dan pembentukan kerajaan baharu Pakatan Harapan,” ujar Anwar dalam kenyataan hari ini.
Menurut bekas timbalan perdana menteri itu lagi, dalam panggilan itu, Dr Yusuf turut menyampaikan salam kepada isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia.
“Dr Yusuf berharap akan dapat mengadakan pertemuan dalam masa terdekat, dan mendoakan yang terbaik untuk keluarga serta kejayaan rakyat malaysia.
“Menurut beliau (Dr Yusuf) ini berita terbaik yang ditunggu setelah sekian lama,” terang Anwar lagi.
Anwar dijangka akan dibebaskan esok dan satu sambutan meraikan pembebasannya akan di adakan di Padang Timur, Petaling Jaya pada malam esok.
Anwar yang menghabiskan tempoh tahananya di Pusat Rehabiltasi Cheras akan mendapat pengampuan melalui Lembaga Pengampunan Diraja Yang akan bersidan jam 11 pagi esok (Rabu).
Anwar dijangka memberikan ucapan pertamanya sejak tiga tahun ditahan, pada jam 10 malam dalam himpunan itu.
nwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun depan.
mdl

Picture

Selasa, Mei 15, 2018

Lembaga Pengampunan kes Anwar Ibrahim bermesyuarat Rabu ini

Lembaga Pengampunan kes Anwar bermesyuarat Rabu ini
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Lembaga Pengampunan akan mengadakan mesyuarat pada Rabu, 16 Mei berhubung pembebasan Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi PKR PKR, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, sebarang program berkaitan pembebasan DS Anwar Ibrahim ditunda sehingga makluman lanjut dibuat.
Sebarang kesulitan adalah dikesali, kata beliau dalam kenyataan beliau petang tadi.
mdl
Picture

Isnin, Mei 14, 2018

Kabinet - jangan cicirkan Husam Musa

iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Husam Musa diharap jadi
penawar duka untuk Pantai Timur.
KETEWASAN kubra Pakatan Harapan (PH) 59 - 0 di Kelantan dan 40 -  0 di Terengganu sesuatu menyedihkan. Bertambah sedih apabila rakannya di negeri-negeri sebelah Barat banjaran Titiwangsa menang besar.

Bukan setakat menang besar, tetapi boleh menguasai negeri-negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Makin membaca dan menganalisa kehebatan PH di sebelah Barat itu, makin berat jiwa menanggungnya. Mereka menang besar manakala kita pula kalah parah. Kosong, telur tembelang.
Jika kekalahan itu menimpa hati orang yang lemah ia boleh menyebabkan jantung menjadi lemah tiba-tiba dan tidak mustahil membawa maut.

Tetapi syukur para pejuang PH di Kelantan dan Terengganu kuat dan ampuh. Mereka sudah berjaya melalui ujian perjuangan apabila kekalahan itu tidak ada seorang pun calon-calon yang kalah itu menyeberang kepada parti menang.Bahkan sudah ada calon yang menyembelih lembu mengadakan kenduri kesyukuran serentak menyambut ketibaan Ramadhan.

Para pejuang PH di Kelantan dan Terengganu tidak seperti orang-orang Umno di Johor, Perak, atau Sabah yang mudah goyah dan berputus asa bila kalah lalu terus menyeberang mencari pulau kemenangan untuk menyelamatkan diri. Inilah kelebihan orang-orang PH berbanding dengan orang-orang Umno yang dididik dengan materialistik.

Namun duka tetap duka, dada tetap bergetar dengan rentak dan irama kepiluan. Air mata tetap mengalir tetapi darah juang yang ada dalam tubuh tidak menampakkan kedukacitaan mereka kepada umum lantaran kekalahan yang dinesta itu. Saya yang berada di titik tengah ini turut pun sama menjadi sebak dan sedih dengan apa yang berlaku di Kelantan itu khasnya. Walaupun sudah menduga tetapi tidak menjangka keputusannya seburuk demikian.

Pun para pendukung PH Kelantan tidak menunjukkan kesedihan dan aliran air mata, kandatipun fitrah sebuah kekalahan itu dapat dirasai. Kepiluan yang menimpa dada hanya Tuhan sahaja yang ketahui. Cuma ia terpadam perlahan-lahan apabila melihat dan mendengar sorak sorai para sahabat mereka di negeri lain sebelah Barat banjaran Titiwangsa yang merayakan kemenangan.

Kedukaan dan kesedihan itu menipis apabila, menonton seorang demi seorang Menteri Besar PH mengangkat sumpah untuk mengederai kerajaan Harapan.

Dari konteks Parti Amanah Negara pula ia terubat apabila Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari mengangkat sumpah menjadi KM Melaka. Adly adalah Pengerusi PH Melaka dari fraksi Amanah. Kesediahan terus beralun pergi apabila selepas itu Mohamad Sabu, Presiden Amanah pula dilantik mengisi tiga menteri kanan selaku Menteri Pertahanan. Dua posisi diberikan kepada pemimpin PH (Amanah) itu (setakat ini) menjadi penawar.

Mungkin kalau Salahuddin Ayub jadi mengangkat sumpah menjadi MB Johor, kegembiraan dan kelukaan itu makin menghujung. Keseronokan akan bertambah-tambah. Namun apa diharapkan itu tidak diizinkan Allah. Salahuddin tidak diangkat menjadi MB walaupun pada awalnya beliau yang disebut-sebut dan diharapkan oleh rakyat bangsa Johor untuk menjadi ketua memimpin negeri itu.

Hakikatnya hati dan jiwa rakyat Kelantan terhiris halus khususnya ahli-ahli PH sebenarnya tidak dapat dikambusi dengan apa-apa jua kegembiraan. Biarpun jiwa mereka kuat tetapi perasaan malu membelit diri mereka tetap ada. Maka kesedihan dan kepiluan itu harus diubati. Ia memerlukan penawar serta ubat untuk mengeraskan semangat para pendukung PH di Kelantan bagi meletakkan negeri itu juga setara dengan negeri-negeri di sebelah Barat banjaran Titiwangsa.

Penawar itu juga perlu untuk membela diri mereka yang diejek dan dinesta dengan kekalahan itu.

Penawar mengubat duka

Apakah ubat dan penawar terbaik untuk menguat semangat PH Kelantan? PH Kelantan tidak boleh terus bergunda gulana maka ia perlu diubati segera. Harapan rakyat yang tinggi kepada PH perlu dipenuhi. PH telah menawarkan janji terbaik buat PH Kelantan dari segenap aspek kehidupan yang mana tawaran itu perlu dilaksanakan walau dengan apa cara sekalipun.

Mereka harus dihormati dan kehendak mereka dipenuhi. Mungkin Pas yang menang besar di Kelantan dapat melaksanakan apa yang dicta-citakan. Tetapi ia tetap tidak sama dengan apa yang diterima daripada tangan pemimpin PH sendiri. Dalam kata lain PH perlu melaksanakan sedaya yang ada.

Satu-satu ubat atau penawar buat pendukung PH di Kelantan ialah dengan mengangkat salah seorang pemimpin PH di Kelantan untuk menjadi anggota kabinet. Pengangkatan ini bukan setakat itu sahaja, tetapi ia juga akan menjadi penghubung di antara Kota Bharu dengan Putrajaya.

Dalam hal ini, Husam Musa adalah pilihan paling tepat untuk dijadikan jambatan penghubung itu selain pengerusi parti gabungan seperti Abd Aziz Kadir dan Kamaruddin Md Noor. Ketapan Husam bukan sahaja kedudukan selalu Pengerusi PH Kelantan, tetapi pengalaman dan track rekod beliau semasa berada dalam kerajaan Allahyarham Nik Aziz selama ini membantu beliau untuk berfungsi seperti diharapkan itu.

Sebagai bekas pemimpin kerajaan Husam sangat mengetahui apakah keperluan rakyat dan kelompongan yang tidak akan tertimbus oleh kerajaan Kelantan yang ada kini.

Keperluan dan harapan kepada Husam nanti bukan sahaja untuk terus menyuntik semangat kepada PH, tetapi beliau juga diharap menjadi pemimpin PH bukan sahaja untuk Kelantan bahkan untuk negeri-negeri di Pantai Timur. Husam jika diletakkan dalam kabinet beliau boleh membela dan membangunkan negeri-negeri di Pantai Timur itu dengan kepakaran dan kebolehan yang ada.

Saya tidak fikir kehadiran Husam nanti akan terus dibenci dan disumpah oleh pihak yang kini menguasai Kelantan, Terengganu dan Pahang kini. Bagi kerajaan pembangkang di ketiga-tiga negeri itu sangat memerlukan bantuan daripada pusat untuk membangun rakyat di negeri itu. Mereka juga boleh meserasikan diri dengan Husam. Nah, dalam hal ini Husam boleh memainkan peranannya.

Atas keperluan dan kepentingan itulah diharapkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyisihkan Husam daripada menganggotai kabinet Malaysia Baru yang sedang dipancukan sekarang ini. Sudah pasti dengan semangat dan pendekatan baru Dr Mahathir tidak mudah seperti dahulu untuk menganaktirikan kerajaan pembangkang di ketiga-tiga negeri itu.

http://msomelayu.blogspot.my

Picture