SHAH ALAM - Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan perbezaan dan sedia bertemu selepas 18 tahun tidak bertentang mata perlu dicontohi rakyat Malaysia.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat negara ini perlu menjadi pejuang yang menolak semua perbezaan dan sama-sama menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara gagal.

“Pertemuan bersejarah di antara Mahathir dan Anwar menandakan permulaan satu perjalanan Malaysia yang baru,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, penyokong pembangkang tidak perlu kecewa dengan kesediaan Anwar bertemu Mahathir di mahkamah, kelmarin.

“Saya menaruh kepercayaan, seperti yang diungkapkan oleh Anwar, rakyat dan Malaysia perlu diutamakan sama. Tahniah untuk Anwar dan Mahathir.

“Pertemuan ini adalah langkah pertama yang akan disusuli dengan langkah seterusnya untuk bersatu menentang musuh negara, pertahankan maruah bangsa untuk Malaysia tercinta yang menjadi tuntutan Islam,” katanya.

sh