AMANAH sedia rampas pemerintahan kerajaan negeri Kelantan daripada Pas dengan bertanding 30 hingga 33 kerusi Dun pada PRU14.

Demikian menurut bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ketika ditemu bual oleh Sin Chew Jit Poh. Bagaimanapun beliau menafikan pernah memujuk mana-mana ahli parlimen dan Adun daripada Pas untuk menyertai Amanah bersamanya.

"Ada desas-desus menyatakan sekurang-kurangnya terdapat 10 ahli parlimen dan Adun daripada Pas akan ikut saya sertai Amanah. Ini membuktikan ada kepercayaan dan harapan oleh wakil-wakil rakyat ini terhadap Amanah," kata Adun Salor ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada Adun Pas lompat parti]

Husam berkata, beliau menyertai Amanah dengan harapan boleh membawa satu pertandingan yang sihat di Kelantan.

"Apa yang boleh dilihat pada hari ini, kerajaan negeri Kelantan di bawah pemerintahan Pas sudah tidak mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta kekurangan sumber kewangan," katanya.
Menjelang PRU14 akan datang, Husam memberitahu lagi, beliau akan melakukan siri penjelajahan menjelaskan  perjuangan dan bentuk perkhidmatan Amanah yang boleh diberikan kepada rakyat.
"Biarlah pengundi menggunakan minda mereka sendiri membuat perbandingan manakah parti yang menjadi pilihan mereka, sama ada Pas atau Amanah," katanya.

Ditanya mengenai beliau kemungkinan akan memegang jawatan Pengerusi Amanah Kelantan pada pemilihan parti berkenaan November ini, Husam menjelaskan, ia terserah kepada ahli menentukannya.

"Bagi saya, jawatan tidaklah penting. Tak semestinya berkhidmat perlu ada jawatan penting. Apa yang penting, saya kini sudah menjadi ahli Amanah," kata beliau.