Pages - Menu

Pages - Menu

Rabu, September 30, 2015

FORMULA TERBAIK "PAKATAN HARAPAN" UNTUK RAKYAT..


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail


PETALING JAYA - Pakatan Harapan mensasarkan untuk mempertaruhkan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) meskipun sebelum ini Pas ada menyatakan kesediaan untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi DAP.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana objektif pembangkang jelas untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

"Jika ia (Pas) penuhi (kriteria), bolehlah (hantar calon) tapi terpulang pada Pas lah. Kita memanglah tahu bahawa apabila kita nak bertanding ini, kita harap ada lah kerjasama dan persefahaman bahawa kita satu lawan satu.

"Kita tahu bahawa objektif kita adalah untuk menjatuhkan kerajaan yang rasuah dan tidak bertanggungjawab serta salah guna kuasa," katanya pada sidang media di Ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan mahu meletakkan calonnya untuk bertanding kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini pada PRU14.

Menurut Abdul Hadi, pihaknya juga akan meletakkan calon bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas bagi mewakili parti untuk kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub turut senada dengan Wan Azizah dan memberitahu pihaknya sentiasa sedia untuk mengadakan rundingan berhubung pembahagian kerusi.

"Matlamat kita kalau boleh nanti, Insya-ALLAH, satu lawan satu. Pintu rundingan mesti dibuka untuk bincang tentang kerusi-kerusi yang kita boleh bertanding. Amanah sendiri sentiasa membuka pintu rundingan. Masalah kita nak bekerjasama atau tidak, boleh dibawa bincang.

"Walaupun terlalu awal, tapi saya merasakan apa yang telah diusahakan ketua pembangkang adalah suatu yang murni dan kita harus beri dukungan yang kuat. Kita memang atas nama Pakatan Harapan membuka pintu rundingan itu pada bila-bila masa kepada semua pihak untuk kebaikan rakyat dan negara ini," katanya.

Sementara itu, Wan Azizah ketika ditanya tentang pembahagian kerusi dengan Pas untuk PRU14 nanti, beliau menjawab ringkas: "Tidak ada pilihan raya lagi, apa (bincang) tentang kerusi. Akan datang tunggulah akan datang."

sh

BERTAMBAH PANAS!! : PAS SELANGOR VS KETUA DEWAN ULAMA PAS..


Kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed bahawa parti itu mempertimbang keluar daripada kerajaan Selangor dikatakan hanya pandangan peribadi.

Sebaliknya, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan mereka akan terus kekal dalam kerajaan pimpinan menteri besar PKR itu, walaupun selepas Pakatan Harapan dibentuk.
“Itu pandangan peribadi, bukan pandangan PAS Selangor. Malah PAS Pusat bersetuju kita terus bersama di dalam kerajaan negeri Selangor.

“Kami di Selangor telah diarah untuk terus bersama dalam kerajaan,” kata Iskandar yang juga naib presiden PAS kepada Malaysiakini.

ADUN Cempaka itu mengingatkan bahawa Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sendiri menegaskan Pakatan Harapan tiada kena mengena dengan kerajaan negeri Selangor.

“Pakatan Harapan adalah strategi politik untuk menghadapi PRU14,” kata Iskandar.
“Negeri Selangor dirampas bersama dari BN oleh PAS, PKR dan DAP bukan Pakatan Harapan,” tegas Iskandar lagi.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Mahfodz sebagai berkata, PAS akan mempertimbangkan keputusan keluar daripada Selangor berikutan pembentukan Pakatan Harapan tanpa PAS.

“PAS tidak akan ada perhubungan lagi de­ngan DAP. Kita akan bawa berbincang mengenai perkara ini (keluar dari Selangor) dalam jawatankuasa politik PAS dalam masa terdekat.

“Pakatan pembangkang yang baharu masih baharu dan secara realitinya, PAS masih berada dalam pakatan kerajaan di Selangor sehinggalah pilihan raya umum akan datang,” Mahfodz dipetik sebagai berkata.

Dalam gabungan baru itu, PKR dan DAP menerima Parti Amanah Negara (AMANAH), serpihan PAS, sebagai sekutu baru.

mk

PANAS!! : PKR PULAU PINANG DESAK PAS UNDUR DALAM PERTADBIRAN P.P..


Mohd Salleh Man


BUTTERWORTH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Pulau Pinang hari ini mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man mengosongkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang disandangnya.

Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak berkata desakan itu wajar kerana Pas tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pengumuman ketua menteri itu jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak mengiktiraf Pas dalam pentadbiran negeri dan Salleh yang merupakan wakil rakyat Pas harus mengosongkan jawatan YDP MAIPP.

"Kami mohon supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil PKR untuk jawatan YDP MAIPP itu bagi mengantikan wakil Pas apabila penggalnya tamat akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pelantikan setiap YDP MAIPP adalah untuk tempoh dua tahun dan tempoh untuk Salleh dijangka tamat akhir tahun ini.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan negeri, Nur Zarina Zakaria berkata, jawatan YDP MAIPP wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Adun.

Pelantikan YDP MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan negeri.

sh

Selasa, September 29, 2015

PANAS!! : PAS SELANGOR BUAT U-TURN..PULAK..


 Mohd Khairuddin Othman


SHAH ALAM – Pas Selangor masih menganggap DAP sebagai rakan politik dalam kerajaan negeri Selangor dan tiada keperluan parti Islam itu untuk berundur dari pentadbiran negeri itu berdasarkan kemenangan PR pada PRU13 lalu.
 
Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata, walaupun parti Islam itu sudah memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar lalu, namun kerjasama sebagai sebuah pasukan dalam kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa.
 
“Tidak timbul soal tahaluf siyasi, sebab kita dalam kerajaan, bermakna kita masih bekerjasama dengan PKR, malah DAP juga kita anggap rakan kita dalam kerajaan dalam semua peringkat.
 
“Pendirian kita adalah kekal dalam kerajaan, tiada isu lagi, kerajaan Selangor hari ini adalah kerajaan yang menang pada pilihan raya dulu,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
 
Beliau mengulas kenyataan bekas aktivis Pas, Mohd Riza Kamaruddin semalam yang menggesa parti Islam itu meninggalkan kerajaan negeri Selangor sekiranya masih enggan bekerjasama dalam Pakatan Harapan.
 
Mohd Riza berkata, sekiranya Pas berkeras tidak mahu menyertai pakatan pembangkang baharu yang ditubuhkan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, maka parti Islam itu harus memutuskan segala hubungan dan keluar dari Selangor.
 
Dalam pada itu, Khairuddin juga berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan antara Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dengan kepimpinan Pas Selangor tentang kedudukan parti Islam itu dalam kerajaan negeri Selangor.
 
“Siapa pun boleh cakap suruh (Pas) keluar Selangor, biar realistik, jangan nak main politik. Tiada isu (Pas) keluar kerajaan negeri Selangor.
 
“Tiada perbincangan (kedudukan Pas dalam kerajaan) kerana urusan berjalan seperti biasa dan kita masih Exco dalam kerajaan Selangor,” ujarnya.
 
Beliau turut mempersoalkan kewujudan Pakatan Harapan di Selangor untuk mengambil alih peranan Pas, sedangkan kerajaan negeri Selangor tertubuh berdasarkan kemenangan pakatan pembangkang yang lama.
 
“Soalnya Pakatan Harapan duduk di mana di Selangor? Soalnya Pakatan Harapan ada ke di Selangor ini?” soalnya lagi.

sh

[WAJIB BACA] ALMARHUM TG NIK AZIZ LEBIH JUJUR...


 Image result for tgna


Perbandingan Sikap Almarhum TGNA dan TGHH dalam Persoalan Tahaluf 

Saudara Nordin Ali telah memberi respon kepada tulisan saya berhubung pengkhianatan yang dilakukan PAS terhadap PR semasa di bawah kepimpinan TGHH. Dia menjawab bahawa TGNA juga mempunyai sikap yang sama dengan TGHH dan oleh itu sepatutnya saya gelarkan tindakan Almarhum TGNA sebagai suatu pengkhianatan juga. Dia telah memberi beberapa hujjah dan alasan untuk menyokong dakwaannya itu.

Dia berusaha menyamakan tindakan TGHH di Kota Damansara dengan tindakan TGNA di Kota Bharu pada 2004 dan 2008 sedangkan kedua-dua peristiwa ini bukan sekadar berbeza tetapi bercanggah di antara satu sama lain. Sebelum saya jelaskan mengapa ianya bercanggah dan berlainan, biarlah saya kemukakan dulu hujjah saudara Nordin.

Kisah Tuan Syed Hussein Ali : PRU 2004

Tuan Syed Hussein Ali ingin diturunkan oleh PKR sebagai calon mereka di Parlimen Kota Bharu pada pilihan raya tahun 2004. Almarhum TGNA membantah cadangan itu dengan mengatakan bahawa selama ini orang Kelantan telah diajar bahawa “Sosialis itu adik beradik dengan Kommunis” maka sekiranya Tuan Syed diturunkan di Parlimen Kota Bharu, dikhuatiri beliau akan ditolak pengundi. Hasil dari itu maka PKR telah menukarkan calon mereka dan meletakkan Nik Mahmood Nik Hassan. Tuan Syed Hussein pula telah diturunkan sebagai calon PKR di Negeri lain tanpa bantahan dari PAS.

Kisah PRU 2008 : Diletaknya Dato Wan Rahim

Versi saudara Nordin ini dipertikaikan kesahihannya oleh Dato Wan Rahim sendiri. Namun saya bentangkan juga untuk pengetahuan semua dan sertakan sekali penjelasan saya walaupun versi ini dipertikaikan.

Pada PRU 2008 Almarhum berusaha meletakkan calon PAS di Parlimen Kota Bharu walaupun kerusi Parlimen Kota Bharu merupakan kerusi yang ditandingi PKR sejak 1999. Ini adalah atas sebab keputusan PRU 2004. Ketiga-tiga kerusi DUN di dalam Parlimen Kota Bharu dimenangi calon PAS tetapi kerusi Parlimen Kota Bharu yang ditandingi PKR dimenangi UMNO. Maka Almarhum membuat kesimpulan bahawa PKR bukan parti pilihan rakyat di Kota Bharu dan oleh itu berkeras untuk PAS bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

Hasil dari tindakan Almarhum maka PKR Kelantan membuat keputusan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi di Kelantan. Almarhum seterusnya menyebut PKR sebagai parti yang mencelarukan dan PAS bersedia menghadapi BN secara bersendirian tanpa kerjasama PKR di Kelantan.

Walaupun demikian, hasil perbincangan, akhirnya PKR tetap bertanding juga di Kelantan pada 2008 dan telah berjaya memenangi beberapa kerusi DUN dan Parlimen.

ANALISA DAN RUMUSAN

Ini adalah dua hujjah utama yang dikatakan Saudara Nordin bahawa sikap Almarhum TGNA adalah sama sahaja dengan TGHH. Sebenarnya ianya adalah sebaliknya. Sekiranya peristiwa yang melibatkan Almarhum TGNA dibandingkan dengan TGHH, perbezaannya akan menjadi amat ketara bagi yang ingin mencari kebenaran.

1. Sikap dan Pernilaian Almarhum TGNA Kes Tuan Syed Hussein

Jika dilihat dari pendirian Almarhum TGNA, maka amat jelas bahawa keinginan Almarhum ialah supaya calon yang diletakkan akan menang atau mempunyai harapan untuk menang. Ini adalah kerana Almarhum tidak mahu melihat UMNO memenangi kerusi Parlimen tersebut. Pandangan Almarhum TGNA adalah sebagai seorang rakan Tahaluf yang jujur yang ingin melihat calon PR menang dan UMNO kalah. Oleh itu Almarhum menegur pilihan Tuan Syed Hussein sebagai calon di Kota Bharu. Ianya keputusan yang tidak mengambil kira waqi’ politik Kota Bharu dan Kelantan.

Harap maklum bahawa pencalonan Tuan Syed di kawasan lain TIDAK dibantah oleh Almarhum TGNA atau PAS pada ketika itu. Hakikat bahawa PAS tidak membantahnya membuktikan bahawa ianya keputusan yang dibuat berdasarkan waqi’ politik Kelantan.

2. Sikap dan Pernilaian Almarhum TGNA Kes Kota Bharu 2008

Begitu juga dengan keadaannya pada PRU 2008. Berdasarkan fakta dan statistik, Almarhum menjelaskan bahawa amat sukar bagi calon PKR menang di Parlimen Kota Bharu. Maka adalah lebih baik letakkan calon PAS. TGNA menganggap tujuan bertanding adalah untuk menang, lebih-lebih lagi dalam keadaan kemenangan itu boleh diperolehi. Adalah tidak masuk akal demi mempertahankan kerusi sebagai milik parti PKR dalam keadaan diketahui berdasarkan keputusan PRU lepas, bahawa calon PKR akan kalah. Ini akan mnyebabkan UMNO menang dan dengan itu, Almarhum TGNA sebagai rakan PR, tidak sanggup membenarkannya.

Respon Almarhum TGNA terhadap pendirian PKR menarik diri bertanding di Kelantan pada tahun itu hasil pendirian beliau adalah kerana seolah-olahnya faktor menang itu tidak dipentingkan oleh PKR. Oleh itu dikatakan pemikiran PKR Kelantan ‘mencelarukan’. Ini adalah kerana faktor kemenangan adalah yang terpenting bagi sesebuah parti politik. Namun akhirnya ianya selesai dengan baik melalui perundingan.

Maka dalam kedua-dua peristiwa yang disebut oleh Saudara Nordin, kemenangan calon PR adalah matlamat utama Almarhum. Dalam soal ini kita boleh rumuskan Almarhum TGNA amat jujur dalam mengamalkan tahaluf siyasi ini.

3. Versi Dato Wan Rahim

Mengikut Dato Wan Rahim, sebenarnya kerusi Kota Bharu ditukar dengan kerusi Machang pada 2008 kerana PKR ingin meletakkan Saifuddin Nasution sebagai calon mereka. Ini disebabkan kerana Isteri Saifuddin adalah orang Machang maka lebih sesuai untuk beliau bertanding di situ. Machang asalnya kerusi PAS dan Kota Bharu pula kerusi PKR. Maka yang berlaku adalah pertukaran kerusi secara suka sama suka.

Sambil itu, Dato Wan Rahim sebagai YDP PAS Kota Bharu ditugaskan untuk bertanding di Kota Bharu.

4. Perbandingan Dengan Kes Kota Damansara

Bagaimana pendirian Almarhum TGNA boleh disamakan dengan pendirian TGHH dalam kes Kota Damansara? Ianya bagaikan langit dengan bumi.

Di Kota Damansara, Dr. Nasir adalah ‘incumbent’ atau mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya pada 2008. Oleh itu, keadaan beliau tidak sama dengan Tuan Syed Hussein. Dr. Nasir telah menang dan beliau telah membuktikan bahawa beliau boleh menang. Maka ianya tidak sama juga dengan kes Kota Bharu pada 2008. Kalau Dr. Nasir telah kalah pada 2008 mungkin boleh digunakan sebagai hujjah untuk menolak beliau tetapi hakikatnya beliau telah menang.

Amat jelas, keputusan TGHH untuk membenarkan ‘sahabat menantunya’ bertanding bukan bertujuan menentukan kekalahan BN dan kemenangan calon PR. Sebaliknya ia dilakukan dengan penuh kesedaran bahawa melalui itu, calon UMNO berkemungkinan boleh dan akan menang!

Melakukan sesuatu yang memungkin rakan kalah dan lawan menang, itulah maksud dan takrif perkataan ‘khianat’. Maka inilah apa yang telah dilakukan di Kota Damansara dan yang paling malang sekali ialah TGHH langsung tidak berasa bersalah, walaupun sedikit, bahawa UMNO telah menang atas sebab tindakan beliau itu. Tiada kekesalan pada masa itu hingga ke hari ini.

Ini belum lagi kita ambil kira persetujuan bersama di semua peringkat untuk membenarkan Dr. Nasir bertanding sekiranya beliau menggunakan lambang PKR. Ini merupakan sayarat seperti yang dikenakan ke atas beliau pada 2008. Persetujuan ini dikhianati. Tiada persetujuan yang sebegitu yang telah dikhianati TGNA.

KESIMPULAN

Kita boleh terus berputar belit dengan hujjah itu dan ini demi menegakkan benang yang sudah basah. Kita juga boleh memberi seribu satu alasan untuk mempertahankan tindakan pemimpin yang disanjungi. Namun ia tetap alasan dan ia tetap putar belit yang dapat dilihat jelas oleh rakyat jelata.

‘Pengkhianatan’ terhadap PR yang dilakukan TGHH adalah terang lagi bersuluh. Saya dan rakan-rakan telah cuba menegur pengkhianatan itu tetapi kami pula yang dipersalahkan sehinggalah terjadi apa yang telah terjadi. Kejujuran dalam berpakat membezakan pendekatan Almarhum TGNA dan TGHH. Pendekatan TGNA adalah pendekatan berdasarkan prinsip Islam.

Kejujuran Almarhum terus terserlah apabila difikirkan bahawa Kelantan diperintah PAS sejak 1990, iaitu selama 25 tahun. Jika mahu difikirkan, PAS terkuat di Kelantan. PAS Kelantan yang paling layak untuk mendakwa mereka tidak memerlukan PKR atau DAP. Namun Almarhum terus menerima calon PKR untuk bertanding di Kelantan dan bermesra dengan pimpinan DAP. Almarhum menyebut “sebagai tanda persahabatan”. Ini jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku di Terengganu yang mana tidak pernah diperintah PAS selama mana di Kelantan, tetapi amat sukar untuk berunding dan membahagi kerusi sepertimana di Kelantan.

Kejujuran, keikhlasan bersahabat serta berpakat dan keinginan yang bulat untuk menjatuhkan UMNO/BN. Itulah sebenarnya yang membezakan antara Almarhum TGNA dan TGHH.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

PAS TOLAK BERSATU DENGAN HARAPAN RAKYAT MALAYSIA...

Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU - Pas mengharapkan PKR memahami pendirian parti itu yang tidak mahu menyertai Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mengulangi penegasannya sebelum ini, Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, selagi DAP dan Amanah berada dalam pakatan tersebut, hasrat untuk melihat Pas bergabung tidak akan termakbul.

“Pendirian kita jelas, selagi ada DAP dan Amanah, kami tidak dapat bersama,” katanya kepada media ketika mengulas tawaran PKR yang masih mengharapkan Pas bekerjasama dalam Pakatan Harapan biarpun sebelum ini telah bertegas untuk tidak bekerjasama dalam satu kumpulan dengan mereka.

Kenyataan Mohd Amar itu yang selari dengan keputusan pucuk pimpinan menunjukkan seolah-olah mengharapkan PKR tidak lagi terus mengharapkan Pas akan menyertai kumpulan berkenaan.

Terdahulu beliau menghadiri majlis perarakan tanglung anjuran Dewan Perniagaan Cina dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Tiong Hua Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah dan presiden pertubuhan, Oie Poh Choon.

Mengulas mengenai kesediaan PKR untuk menjadi jambatan kepada DAP dan Pas untuk menyelesaikan  perbezaan pendapat, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, pihaknya  menghormati niat murni Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Dalam masa yang sama, Mohd Amar menjelaskan, Pas menekankan sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan PKR.

“Hubungan PKR dengan DAP itu, kita tidak mahu masuk campur itu hak mereka,” katanya.

sh

Isnin, September 28, 2015

PAKATAN HARAPAN ADALAH HARAPAN SEMUA RAKYAT MALAYSIA...

Pakatan Harapan jadi blok baru pembangkang 

BANTING - Rundingan meja bulat yang berlangsung membuahkan hasil dengan wujudnya pakatan baru, Pakatan Harapan biarpun tanpa kehadiran wakil Pas, namun ia tidak merencatkan perbincangan bagi merangka formula untuk mewujudkan sebuah barisan alternatif baru untuk berdepan dengan Barisan Nasional dalam Pilihan raya Umum ke 14.

Pensyarah Pengurusan Strategik Kualiti, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Kamarudin Musa berkata, sebuah barisan alternatif yang kuat memerlukan setiap anggota pendukung memahami dan menghayati aspirasi bersama, menumpukan kepada kepentingan bersama, berfokus kepada keserasian.

Menurutnya, parti-parti politik yang bergabung membentuk Pakatan Harapan mesti meletakkan kepentingan rakyat dan pembinaan negara bersumberkan aspirasi perlembagaan sebagai agenda utama.

“Pakatan Harapan tidak seharusnya mengulangi kegagalan Pakatan Rakyat apabila adanya anggota gabungan yang mengambil sikap membelakangi aspirasi bersama.

“Pakatan Harapan perlu wujud atas dasar strategik ke arah hala tuju politik berteraskan sistem dua parti sebagai usaha untuk memperkukuh dimensi demokrasi,” katanya kepada Sinar Harian mengulas mengenai senario yang berlaku sejurus Rundingan Meja Bulat dilakukan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pakatan Harapan jadi blok baru pembangkang]

Dr. Kamarudin berkata, penyokong Pakatan Harapan juga perlu melihat lebih jauh, bukan semata-mata proses penyertaan pilihan raya tetapi mekanisme jangka panjang untuk pendidikan politik serta pembangunan kesedaran politik bagi mewujudkan kematangan penglibatan politik.
Katanya, Pakatan Harapan perlu menjadi model dalam konteks kepedulian perjuangan rakyat selain mengelak daripada terjerumus dalam konflik ideologi dan pendekatan politik secara terbuka.

“Jika Pakatan Harapan mahu dipandang aktif, ia perlu menunjukkan hakikat ianya relevan diwujudkan serta mampu berperanan aktif dalam mempengaruhi landskap persekitaran politik di Malaysia,” katanya
Katanya, dengan mempunyai kemahiran mengurus konflik dan ideologi, ia dapat menjadi model pakatan politik yang berwibawa sekali gus dapat menarik kepercayaan dan keyakinan rakyat.
sh

PAKATAN HARAPAN LEBIH KUKUH BERBANDING PAKATAN RAKYAT..

Keperluan Menubuh Pakatan Harapan Dengan Segera 


Ada yang bertanya, “Kenapa tergesa-gesa sangat dengan penubuhan Pakatan Harapan (PH)?” Mereka hairan dengan keinginan untuk menubuhkan PH secepat mungkin dan dengan segera. Namun saya pula sebenarnya hairan dengan kehairanan mereka! Tidakkah sesuatu yang baik apabila ianya hilang atau tercicir, maka semestinya kita akan berusaha supaya ianya kita dapat kembali dan dengan seberapa segera?

KESAN PECAHNYA PR

Tidakkah mereka sedar bahawa berpecahnya PR telah menggugat kedudukan parti pembangkang dan mengurangkan keberkesanannya? Bahawa tanpa adanya satu gabungan parti pembangkang yang kukuh, yang bergerak sebagai satu, maka rakyat akan hilang keyakinan terhadap kemampuan pembangkang menggantikan BN. Bahawa itulah sebabnya BN telah bersusah-payah berusaha memecahkan PR dengan mengumpan PAS dengan isu hudud? Bahawa ianya dilakukan atas sebab keberkesanan sebagai satu gabungan yang mantap sehingga BN merasa amat tercabar?

Sedangkan isu hudud itu telah ditentang UMNO sekian lama dan tawaran untuk melaksananya mendatangkan risiko terhadap hubungan UMNO dan BN itu sendiri! Namun mereka sanggup menghadapi risiko itu atas sebab ingin memecahkan PR!

Maka apabila PR berpecah, setiap parti bagaikan bergerak bersendirian tanpa penyelarasan yang rapat dan mantap. Penyelarasan dalam strategi bertindak tidak lagi dapat dilakukan dan begitu juga persoalan pendirian bersama terhadap isu semasa. Maka dari keadaan bagaikan tiga orang mendayung sebuah sampan yang telah menjadi setiap orang mendayung seorang diri. Sudah pasti mendayung seorang diri tidak akan lebih efisyen berbanding tiga orang mendayung satu sampan bersama dengan koordinasi yang mantap.

Oleh itu keperluan untuk membentuk kembali sebuah pakatan yang sanggup bersama atas asas seperti yang dipersetujui dahulu adalah amat penting. Keadaan berpisah bukan sahaja menjadikan pakatan kurang berkesan, ianya menambahkan lagi perbalahan kerana tidak lagi bertemu dan berbincang. Lagi lama berpisah, maka lagi lebar jurang pemisahan. Dilebarkan melalui kata nista dan tohmahan yang terus dilemparkan antara satu sama lain.

AMANAH BERSAMA USAHA MENUBUHKAN KEMBALI PAKATAN PARTI PEMBANGKANG

Maka apabila Ketua Pembangkang menjemput AMANAH ke sidang meja bulat untuk mewujudkan kembali satu pakatan parti pembangkang seperti PR sebelum ini, maka kami terus bersetuju untuk hadir. Kami faham bahawa dengan itu perancangan UMNO/BN untuk memisahkan pembangkang dan melaga-lagakannya akan dapat digagalkan. AMANAH juga memahami bahawa itulah tanggung-jawab dan kewajipan sebagai wadah gerakan Islam yang bergiat di dalam arena politik Negara iaitu untuk menyelamatkan Negara dari terus dirosakkan UMNO/BN. Hanya yang tidak melihat kepada keperluan untuk menjatuhkan BN akan memandang sepi jemputan ini.

AMANAH turut memahami bahawa tiada mana-mana satu parti akan mampu untuk memerintah Malaysia secara sendiri. Oleh itu pembentukan pakatan ini penting supaya rakyat melihat kemampuan bersatu dengan mengenepikan perbezaan demi mengutamakan kepentingan rakyat yang sangat mendesak.

Bagi yang menganggap ianya suatu yang boleh dilengah-lengahkan, mungkin mereka tidak memahami bagaimana dengan berlalunya setiap hari tanpa adanya satu pakatan pembangkang yang kukuh, rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kemampuannya untuk memimpin negara. Kalau sesama sendiri pun tidak mampu menentukan keutamaan dan mengenepikan perbezaan, demi kepentingan rakyat, bagaimana pula mampu memerintah, ujar mereka! Apatah lagi apabila setiap hari diisi oleh kutukan dan tohmahan terhadap satu sama lain.

PENUBUHAN PAKATAN PARTI PEMBANGKANG DIPERMUDAHKAN

Sebenarnya menubuhkan pakatan baharu amat mudah kerana semua saling mengenali dan kerangka asal PR masih boleh digunakan sebagai asas pergabungan. PR telah bersama sejak 2008 dan saling memahami sikap dan pendirian masing-masing. Pada masa yang sama mekanisma mengurus perbezaan telah pun diguna-pakai dan terbukti keberkesanannya. Kegagalan mekanisma ini untuk menyelamatkan PR bukan atas sebab mekanisma itu tidak baik, tetapi atas sebab ianya tidak digunakan. Ianya tidak digunakan kerana ada yang termakan umpan UMNO dan tidak mahu pertikaikan ‘keikhlasan’ UMNO.

Prinsip dan mekanisma ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’ serta ‘setuju untuk tidak bersetuju’ terhadap dasar lain yang diperjuangkan oleh parti masing-masing, adalah corak pengurusan ‘politik gabungan’ yang amat berkesan. Namun ianya hanya berkesan sekiranya ianya difahami dan diamalkan secara ikhlas dan jujur. Wujudnya prinsip dan mekanisma ini membawa erti bahawa sebagai satu pakatan harus bergerak bersama memperjuangkan perlaksanaan segala dasar yang telah dipersetujui bersama dan ini seharusnya merupakan tumpuan yang patut diberikan. Pada masa sama apabila timbul isu yang tidak terdapat dalam kerangka tersebut, maka setiap parti berhak menyatakan pendirian yang berbeza. Ini bermakna bahawa dalam isu yang tidak terdapat dalam ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’, maka boleh berbeza pandangan sambil saling menghormati hak masing-masing untuk berpegang pada pandangan masing-masing.

Sebagai contoh, dalam isu hudud, tiada masalah bagi PAS menyambut tawaran UMNO berhubung perlaksanaannya, tetapi tiada masalah juga bagi DAP menolaknya. Itulah yang dimaksudkan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Dalam keadaan itu maka masing-masing perlu saling menghormati hak masing-masing untuk berbeza pandangan dalam soal yang tidak dipersetujui bersama, tanpa saling menyerang dan mencaci satu sama lain. Pada masa yang sama isu itu perlu dibincang bersama mengenai cara bagaimana menguruskannya. Perbincangan ini perlu dilakukan secara bersemuka, bukan melalui media musuh yang sentiasa ingin mengadu-domba antara satu sama lain. Itu sekiranya memang ikhlas dan jujur untuk mengekalkan gabungan tersebut.

Parti Amanah Negara memahami dan menerima kedua-dua prinsip dan mekanisma ini dan oleh itu sentiasa bersedia untuk menyertai gabungan parti pembangkang apabila sahaja ianya ditubuhkan.

TUDUHAN BAHAWA PAS DIPINGGIRKAN

Ada yang mendakwa PAS dipinggirkan apabila sidang meja bulat ini diadakan. Saya hairan dengan tuduhan itu. Bagi saya amat jelas bahawa PAS telah dijemput berkali-kali. Tetapi PAS yang memilih untuk tidak hadir setiap kali. Dalam erti-kata lain, PAS bukan dipinggirkan tetapi memilih untuk meminggirkan diri.

Kononnya peminggiran PAS dilakukan apabila diadakan sidang meja bulat ini dalam keadaan tergesa-gesa. PAS masih belum bersedia dan kita harus tunggu sehingga PAS bersedia, kononnya. Sebenarnya pintu untuk PAS menyertai PH ini sentiasa terbuka. Apabila PAS sudah bersedia mereka boleh menyertai PH bila-bila masa.

Persoalannya, adakah PH perlu menunggu sehingga PAS sudah bersedia sebelum membina balik apa yang telah berjaya dirobohkan oleh UMNO? Sudah pasti ‘tidak’!

Apa akan berlaku sekiranya PAS terus terpedaya dengan tipu helah UMNO sehingga terus menganggap UMNO adalah rakan yang lebih baik baginya berbanding PH? Atau terpedaya dengan ‘kehebatan sendiri’ sehingga menganggap tidak perlu untuk bergabung dengan parti lain? Bagi saya, PH perlu terus dengan tugasnya dan diusahakan supaya PAS bersama akhirnya. InsyaAllah PAS akan mengingati kembali bahawa UMNO merupakan punca ummat Islam dan Melayu keliru berhubung tuntutan Islam.

DAKWAAN BAHAWA NGO MEMBANTAH PENUBUHAN PH

Berdasarkan laporan NST ada pihak membuat bermacam-macam andaian. Mungkin kerana prinsip “boleh bertahaluf dengan lawan” maka pandangan terhadap media mereka semakin lunak. Oleh itu laporan media mereka dipegang dengan kuatnya. Maka dianggap benar dakwaan bahawa Datok Ambiga telah ‘walk out’ sidang meja bulat sebagai tanda bantahan. Kononnya Maria Chin juga begitu. Sebenarnya laporan tersebut hampir kesemuanya tidak tepat!

Benar Dato Ambiga tidak setuju dengan penubuhan PH secara tergesa-gesa. Tetapi beliau telah mengemukakan pandangannya dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak yang ingin membentuk gabungan itu, iaitu parti politik pembangkang yang terlibat. Beliau bertanya mengenai ketidak hadiran PAS dan mengapa PSM tidak dijemput. Tiada pujian kepada PAS yang melambung-lambung seperti yang digambarkan. Beliau seterusnya meninggalkan sidang tersebut apabila sesi perbincangan bersama NGO tamat dan sesi perbincangan bersama parti politik yang terlibat dimulakan. Pihak NGO dibenarkan hadir sesi kedua ini tetapi hanya sebagai pemerhati.

Maria Chin tidak meninggalkan sidang tersebut bersama Dato Ambiga dan telah hadir bersama sehingga selesai. Begitu juga wakil NGO lain seperti ABIM, IKRAM, SYURA dan lain-lain.

MENGAPA DSAI SEBAGAI CALON PERDANA MENTERI?

Ada yang pertikai kenyataan yang dikeluarkan PH mengistiharkan DSAI sebagai calon Perdana Menterinya. Ada yang tanya, kenapa DSAI?

Hakikatnya DSAI adalah pemmpin yang digeruni oleh UMNO/BN dan atas sebab itulah beliau terus difitnah dan dipenjarakan. Tiada yang boleh menafikan peranan DSAI dalam membina Barisan Alternatif pada awalnya dan Pakatan Rakyat kemudiannya. Atas kepimpinan beliau, PR telah mengegarkan kerajaan BN dan berada diambang kemenangan. Segala sumbangan beliau dihargai dan kemampuan beliau diakui.

Pada masa yang sama adalah merupakan satu kezaliman terhadap DSAI sekiranya setelah beliau melakukan segala itu dan difitnah serta dizalimi oleh kerananya; maka dibenarkan rakyat dan negara melupainya. Adalah perlu menonjolkan namanya sebagai calon Perdana Menteri dan mengingatkan rakyat bahawa beliau difitnah dan dipenjara oleh kerana ingin membela rakyat dan menyelamatkan Negara.

Bagi yang sedang selesa bersama keluarga mereka, di dalam istana mereka atau kereta mewah mereka, yang tidak pernah mengalami kesusahan dalam memperjuangkan hak rakyat dan tidak pernah difitnah dan dipenjarakan kerananya; maka mereka seharusnya bertanya kelayakkan diri sendiri sebelum layak bertanya, “sudah tiada orang lainkah?”.

KESIMPULAN

Maka telah tertubuhnya PH adalah dengan tujuan untuk menggantikan PR yang telah “tidak lagi berfungsi secara rasminya” atau dalam erti-kata yang lain, sudah terkubur. Atas keberanian dan kemampuan ketua pembangkang, DSWA melakukannya saya ucapkan tahniah dan syabas!

Adalah menjadi harapan agar semua parti pembangkang dan rakyat jelata akan bersama dalam usaha menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU ke 14 yang bakal dihadapi. Sejauh mana komitmen sesebuah parti politik terhadap usaha menjatuhkan UMNO/BN akan terbukti dalam masa sebulan dua ini. Sekiranya semua komited, maka semua pihak akan bersama. Sekiranya terdapat agenda lain yang tersembunyi, maka mungkin ini tidak dapat direalisasikan. Dalam keadaan itu, adalah lebih baik bagi pandangan saya, agar tidak bersama. Sekiranya bersama, dalam keadaan mempunyai agenda lain yang yang ingin dicapai, maka adalah tidak jelas siapa yang dianggap kawan dan siapa lawan. Ini adalah demi mengelakkan agar semua parti komponen PH tidak lebih sibuk menyerang sesama sendiri dari menyerang musuh bersama.

Semoga Allah mempermudahkan dan meredhai usaha ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

NAJIB RAZAK DI FITNAH KIKIKIKI...

tweet

SHAH ALAM - Tweet Perdana Menteri meminta agar Kementerian Pendidikan menutup semua sekolah seluruh Malaysia pada hari Isnin dan Selasa berikutan jerebu adalah palsu.

Tweet yang menjadi viral hari ini telah menyebabkan ramai ibu bapa keliru.

Tinjuan Sinar Online mendapati tweet sebenar Najib adalah meminta agar rakyat mengurangkan aktiviti luar dek kerana jerebu teruk yang melanda negara kini.

"Saya difahamkan keadaan jerebu di beberapa negeri di Malaysia berada pada paras tidak sihat. Kurangkan aktiviti luar dan jika perlu, guna topeng muka," tulisnya di Twitternya hari ini.

Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini mengarahkan semua sekolah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Bahagian Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak perlu ditutup esok (28 September 2015) rentetan daripada jerebu kuat yang melanda negeri-negeri tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu, kementerian itu juga turut mengarahkan semua sekolah di Pahang dan Tanjung Malim juga ditutup berikutan bacaan IPU sehingga jam 4 petang tadi menunjukkan bacaan tidak sihat iaitu 101-200 dan sangat tidak sihat (201-300).

sh

Ahad, September 27, 2015

KHALID SAMAD JAWAB DAKWAN PSM

Image result for khalid samad
Penjelasan Berhubung Dakwaan Arutchelvan PSM 

Sehari dua ini telah keluar kenyataan dari Saudara Arutchelvan Ahli JK Pusat PSM menuduh saya dan YB Ong Kia Meng menipu berhubung pendirian PSM terhadap Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Salah faham ini timbul oleh kerana laporan media berhubung sebab mengapa PSM tidak dijemput ke sidang meja bulat parti-parti pembangkang tempoh hari. Dalam soal ini saya ingin menjelaskan keadaan yang sebenarnya supaya salah faham ini tidak menjadi lebih parah.

Pada hari Rabu 23 September, saya ditanya oleh pemberita mengapa PSM tidak dijemput untuk sidang meja bulat. Saya menjawab dengan menyatakan bahawa soalan itu sepatutnya dituju kepada penganjur, bukan kepada saya. Ini adalah kerana bukan saya yang menentukan siapa yang dijemput dan siapa tidak.

Namun demikian, saya tambah lagi, soalan tersebut telah turut ditanya semasa sidang meja bulat diadakan. Jawapan yang diberi adalah kerana PSM telah tidak bersama dengan PR sejak dari dulu.

Apabila ingin mengimbau kembali mengapa PSM telah tidak bersama PR, maka timbul dua versi yang berbeza. Ini mungkin atas sebab soalan itu telah tidak dijangka dan oleh itu tiada persiapan untuk menjawabnya.

Versi pertama menyatakan bahawa ianya adalah atas sebab PSM tidak bersetuju dengan sebahagian dari ‘dasar bersama PR’, khususnya penerimaan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh PR. Versi kedua pula ialah bahawa penerimaan mereka sebagai anggota PR telah dibantah oleh PAS pada ketika itu.

Kedua-dua versi ini telah saya sebutkan pada pemberita berkenaan. Malangnya hanya satu versi dilaporkan dan ianya kononnya jawapan dari saya. Sedangkan, sepertimana yang telah saya jelaskan, saya hanya menyatakan jawapan yang diberi apabila soalan itu ditimbulkan semasa sidang meja bulat.

Walau apa pun, pada dasarnya sidang meja bulat diadakan untuk menghidupkan kembali PR yang telah berpecah. Oleh itu hanya parti yang terlibat dengan PR telah dijemput sebagai langkah permulaan. Parti Amanah Negara, walaupun parti baharu yang bukan sebahagian dari PR sebelum ini, anggota dan pimpinannya merupakan pimpinan PAS pada ketika itu. Kami dikenali sebagai pendokong tegar konsep PR dan atas sebab itu kami telah berbalah dengan pimpinan PAS sediada. Maka di atas dasar ini kami turut dijemput bersama. Hakikatnya kami telah sememangnya menjadi sebahagian dari PR sejak mula ianya ditubuhkan tetapi melalui wadah lain pada ketika itu.

Namun begitu, PSM boleh memanfaatkan peluang ini untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap dasar bersama PR dan artikel 153. Melalui itu pendirian PSM akan lebih difahami semua. Ianya merupakan peluang yang boleh dimanfaatkan bersama di antara PSM, Pakatan Harapan dan rakyat jelata. Hanya tuduhan bahawa saya ‘menipu’ adalah tidak benar. Ini adalah kerana dalam melaporkan apa yang telah disebut sebagai kemungkinan sebab PSM tidak bersama PR sebelum ini, maka itulah dua sebab yang telah dinyatakan.

Sekian, terima kasih.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Rabu, September 23, 2015

Khalid Samad sanggah Ustaz Hadi Awang

 Image result for khalid samad
Kerjasama Dengan 'Pengkhianat'

Saya sebenarnya amat tidak berminat untuk berbalah dengan PAS. Tetapi malangnya disebalik kepincangan pentadbiran negara, isu perkauman yang semakin meruncing, isu 1MDB dan sebagainya; PAS kelihatan bagaikan tidak mampu bercakap mengenai perkara lain selain mengenai parti Amanah Negara. Kami terus difitnah dan digelar dengan gelaran yang menghina.

Dan apabila Presiden PAS sendiri mula menggelar AMANAH sebagai ‘pengkhianat’, maka kami perlu respon. Dalam masa terdekat ini saya akan turut mengemukakan respon terhadap fitnahnya bahawa kami mahu jadikan PAS parti sekular dan sebagainya.Walaupun adalah lebih wajar sekiranya PAS menumpukan pada usaha menjatuhkan UMNO, tetapi memusnahkan AMANAH telah menjadi keutamaannya pada ketika ini.ISU ‘PENGKHIANAT’Saya membaca dengan penuh tekun laporan The Malaysian Insider berhubung satu ucapan oleh Ustaz Hadi Awang, Presiden PAS.

Beliau dilaporkan berkata bahawa PAS tidak boleh berkerjasama dengan parti Amanah Negara yang beliau sifatkan sebagai “pengkhianat kepada perjuangan PAS”. Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, PAS bersedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak dengan pengkhianat.Video ucapan Presiden PAS ini telah turut disebar melalui FB dan WhatsApp oleh ahli PAS dan amat jelas sikap tegas beliau akan menjadi alasan untuk PAS tidak menyertai PR 2.0. Saya turut menjangkakan bahawa kemungkinan besar AMANAH akan dipersalahkan atas ketidak bersamaan PAS dalam pembentukan PR 2.0, sedangkan pada hakikatnya Presiden sudah tidak berminat dengan PR dan lebih berminat untuk berkerjasama dengan ‘pihak lawan’.

PEMIKIRAN PRESIDEN PAS

Yang menjadi sedikit aneh pada saya adalah apabila sikap tegas dan tiada kompromi terhadap ‘pengkhianat’ ini tidak mampu menghalang Presiden PAS untuk sendiri mengkhianati PR. Dan ini dilakukan beliau bukan sekali tetapi berulang kali! Amat pelik bagi saya apabila seseorang mengutuk dan mengkritik sikap tertentu tetapi apabila dirinya sendiri melakukannya, terhadap rakan-rakannya sendiri, ianya seolah-olah tidak mengapa. Adakah ianya hanya satu kesalahan apabila PAS ‘dikhianati’, tetapi tidak mengapa untuk PAS mengkhianati?

Adakah mungkin Presiden PAS telah lupa mengenai peristiwa Kota Damansara? Di mana persetujuan telah tercapai di setiap peringkat samada Kawasan, Negeri dan Pusat, bahawa itu adalah kerusi PKR tetapi atas desakan tertentu, maka dibenarkan menantunya meletakkan rakannya sebagai calon PAS. Dan akhirnya calon UMNO/BN menang hasil dari pengkhianatan PAS! Tidakkah itu satu pengkhianatan? Atau ianya hanya khianat apabila PAS yang dilukai?

Tetapi apabila ianya dilakukan oleh PAS maka ianya bukan pengkhianatan kerana khianat hanya boleh berlaku terhadap PAS?Begitu juga dengan kata-kata kesat beliau terhadap calon PKR Kota Damansara yang diucapkannya sewenang-wenangnya, menghukum Dr. Nasir sebagai manusia yang ‘mempertuhankan Marx’? Sedangkan jumpa dan berbincang dengan Dr. Nasir sekali pun tidak pernah! Tidakkah itu juga satu pengkhianatan? Sudah pasti kata-kata sebegitu telah menyumbang kepada kemenangan UMNO/BN dan kekalahan PKR!Sepertimana juga dengan tuduhan liar ‘pil kuda’ tanpa dibawanya saksi ataupun bukti tetapi main cakap ikut sedap mulut semata-mata. Sedangkan PKR itu rakan. Bukankah meluahkan tuduhan sebegitu di khalayak umum juga satu pengkhianatan?Saya tidak mahu menceritakan setiap satu peristiwa pengkhianatan yang telah berlaku terhadap rakan-rakan dalam PR.

Tetapi ini sekadar untuk membuka mata mereka yang dengan mudah hendak menuduh orang lain ‘pengkhianat’ seolah-olah diri mereka bersih dan bebas dari apa-apa salah laku. Kesemua tindakan khianat ini terhadap rakan PR telah ditegur dan cuba diperbetulkan tetapi akhirnya kami pula dituduh lebih PR dari PAS! Sedangkan membetulkan perjalanan PAS adalah untuk kepentingan PAS! Namun apakan daya, apabila dianggap PAS boleh buat sesuka hatinya kerana ianya PAS kerana hanya PAS yang Islam.

PENGKHIANATAN TERBESAR: TERTUBUHNYA KERAJAAN PAS/UMNO DI SELANGOR

Tetapi usaha khianat yang terbesar yang tidak boleh dilupakan ialah apabila Presiden PAS dengan sedar dan sengaja, bersekongkol dengan UMNO untuk pertahankan TSKI sebagai MB Selangor semasa krisis MB Selangor yang lepas. Melalui tindakan beliau, TSKI telah memecat semua exco PKR dan DAP! Kerajaan PAS/UMNO dengan TSKI telah berkuasa di Selangor untuk tempoh melebihi seminggu!Akhirnya kerajaan PAS/UMNO dengan TSKI telah dijatuhkan apabila 2 ADUN PAS menyatakan mereka tidak sokong TSKI sebagai MB.

Mereka berdua telah menanda-tangani Surat Akuan Sumpah menyokong DS Wan Azizah sebagai MB bersama 28 ADUN yang lain dari PKR dan DAP. Kemarahan Presiden PAS begitu memuncak sehingga semasa muktamar PAS ke 59 beberapa bulan selepas itu beliau keluarkan tuduhan adanya “Broker dan Barua” serta tuduhan 2 ADUN dibeli mengumukakan sebarang bukti mahu pun saksi. Presiden PAS marah kerana ‘dikhianati’ 2 ADUN tersebut tetapi dia tidak nampak pengkhianatan yang telah dia sendiri lakukan terhadap PR dan pengundi Selangor.

Tidak memadai dengan itu, sebagai tindak balas, Presiden PAS telah menawarkan kepada Azmin Ali jawatan MB sekiranya beliau masuk PAS bersama dua atau tiga ADUN PKR yang lain. Ini akan dilakukan setelah TSKI memegang jawatan MB terlebih dahulu untuk tempoh 6 bulan. Adalah jelas bahawa PAS akan hanya mampu mengekalkan TSKI sebagai MB untuk tempoh 6 bulan dan menggantikannya dengan Azmin sekiranya usaha PAS ini disokong UMNO.

Ini kerana PAS hanya mempunyai 13 kerusi (tanpa 2 ADUN yang pasti tidak akan sokong). Dan sekiranya dicampur dengan TSKI dan Azmin bersama 3 lagi ADUN PKR, jumlahnya hanya 18 kerusi ADUN.

Sedangkan 29 diperlukan untuk membentuk kerajaan. Sudah pasti kekurangan ini tidak akan ditampung oleh PKR atau DAP. Maka ianya akan ditampung oleh UMNO yang mempunyai 12 kerusi ADUN!

KESIMPULAN

Sekiranya kerjasama tidak boleh diadakan dengan ‘pengkhianat’ maka sudah pasti yang pertama tidak boleh diadakan kerjasama adalah dengan PAS.Bagi kami dalam Amanah, kami dianggap pengkhianat kepada PAS kerana menentang pengkhianatan PAS terhadap PR. Yang menentang pengkhianatan dianggap pengkhianat dan yang mempertahankan pengkhianatan dianggap penyelamat. Dengan sikap sebegitu, tidak salah untuk ditanya adakah masih ada tempat lagi bagi PAS dalam politik masa depan Negara?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Isnin, September 21, 2015

Tun Mahahtir Serang Najib lagi...


Berdepan beberapa siasatan penggubahan wang yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, perdana menteri berpontensi untuk ditangkap di luar negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam satu ucapan pada Jumaat, berdasarkan kepada video klip yang dimuat naik penulis blog Din Turtle, yang menjalankan beberapa temubual kritikal Dr Mahahtir terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahahtir berkata Najib mungkin dapat mengelak siasatan terhadap skandal 1MDB yang sedang disiasat di luar negara, tetapi tidak di luar negara.

"Undang-undang dunia berbeza daripada dulu. Kalau jenayah buat di sini, undang-undang sini berkuatkuasa.
"Tapi jika (jenayah) kaitan dengan luar negeri, negara lain ada kuasa (untuk mengambil tindakan)," katanya.

"Sekarang ini, di Switzerland, Britian, Amerika Syarikat... (sudah ada siasatan penggubahan wang). Mereka berhak untuk saman untuk suruh Interpol tangkap (jika ada alasan kukuh).

"Kalau (dia) keluar daripada negara, mungkin akan berlaku tangkapan," kata negawaran dalam ucapannya dalam majlis 'Kumpulan Melayu Berani Bersatu' di Kuala Lumpur, seperti menurut video klip itu.

Bagaimanapun Dr Mahathir cukup berhati-hati dengan menyatakan ia hanya spekulasi.
"Itu mungkin. Saya cerita, bukan akan berlaku," kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

mk

Ahad, September 20, 2015

MASA DEPAN RAKYAT TERJAMIN JIKA...


PKR hari ini mengajak 47 MP BN dari Sabah dan Sarawak supaya meninggalkan gabungan parti pemerintah dalam usaha mereka membentuk gabungan bebas dan bekerjasama dengan blok pembangkang.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkara itu diperlukan demi masa depan yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

"(Hal ini) boleh dicapai jika 47 rakan patriotik kita, anggota parlimen BN dari Sarawak dan Sabah, (menjadi) seperti 47 'ronin' Jepun yang sanggup berjuang dan mati dengan keadilan rakyat atau keadilan, tinggalkan BN untuk menubuhkan gabungan bebas bersama kita.

"Kemudian janji kemerdekaan dan Malaysia akan ditunaikan," katanya dalam ucaptama dalam sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Azizah berkata blok pembangkang mesti menjadi seperti NGO pemantau pilihan raya BERSIH, yang mana beliau berkata "menyatukan rakyat tanpa mengira kaun dan agama" demi perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik.

"Masanya tiba sekarang," kata ketua pembangkang itu.

Kisah 47 'ronin' mengenai 47 samurai bawah pimpinan Ōishi Kuranosuke Yoshitaka membalas dendam ke atas kematian majikan mereka dengan cara melakukan penyerbuan ke rumah kediaman pejabat tinggi istana, sebelum perang dunia ke-2.

mk

MP UMNO BARU SEDAR GST TU MEMBEBANKAN RAKYAT....

 Noh Omar

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor akan mencadangkan kepada Parlimen untuk mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada golongan yang berdaftar dalam program e-Kasih.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, pengecualian itu mungkin boleh diperluaskan kepada orang kelainan upaya (OKU), yang dilihat antara langkah berkesan untuk membantu golongan terlibat.

Beliau berkata, ia boleh dipraktikkan dengan  mewujudkan ‘kad pengecualian GST’ kepada mereka yang layak sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengecualikan GST kepada golongan tersebut.

“Saya ada bincang dengan YB Fasiah (Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh) mengenai perkara ini. Mungkin saya akan minta YB Fasiah bawa cadangan dalam Parlimen nanti.

“Kalau ia membantu golongan miskin, apa salahnya kita bincang dan bahas dalam Parlimen. Namun, pelaksanaannya memerlukan penelitian bagi memastikan manfaat ini dinikmati golongan benar-benar memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, ramai rakyat di Selangor telah mendapat manfaat dari program e-Kasih seperti memberi modal RM5,000 untuk dilaburkan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), bantuan membeli perkakas membuat kuih dan bayaran dividen tahunan bagi ternakan lembu Felcra.

“Macam ASB, bayangkan nilai dividen pada setiap tahun yang diperoleh? Saya nasihat kepada penyimpan jangan bawa keluar duit dividen ini. Simpan sampai 10 tahun contohnya, baru banyak dapat. Duit ini kita simpan dan guna masa diperlukan, seperti untuk bayar duit pengajian anak-anak kita.

“Kerajaan tidak mahu bagi tunai RM5,000 sebab kalau kita bagi tunai ini, sehari pun boleh habis. Jadi, lebih baik kita masukkan duit untuk pelaburan. Ia lebih beri manfaat dari segi jangka panjang,” katanya.

Kata Noh, kerajaan pusat tidak pernah memilih kasih dalam menyalurkan bantuan dan ia dibuktikan apabila rakyat di Selangor sentiasa mendapat bantuan walaupun negeri ini ditadbir oleh PKR.

“Tiada istilah anak tiri di negeri yang ditadbir PKR ini. Kita salur semua tidak kira negeri ditadbir BN atau PKR. Macam di Selangor, PKR bukan buat apapun. Mereka hanya tahu cerita kepada rakyat duit rizab negeri banyak...itu sahaja.

“Padahal duit rizab itu banyak sebab dicampur dengan peruntukan tahunan yang diberi kerajaan pusat kepada kerajaan Selangor untuk selenggara parit, jalan. Tapi, mereka (kerajaan Selangor) ini tidak tahu malu...mereka simpan peruntukan daripada kerajaan pusat ini dan dengan bangga mereka isytihar duit rizab Selangor banyak,” ujarnya.

sh

Sabtu, September 19, 2015

KENYATAAN MEDIA : PENDIRIAN PAS MUDAHKAN PEMBENTUKAN PAKATAN RAKYAT 2.0

 Image result for pakatan rakyat 2.0

1. Setelah berkali-kali Parti Amanah Negara (AMANAH) mempelawa supaya PAS bersama menyertai perbincangan untuk menubuhkan muafakat politik baharu, PAS hari ini telah membuat keputusan untuk tidak bersama dalam Pakatan Rakyat 2.0 itu namun hanya akan berkerjasama dengan PKR.

2. Mengulas perkara itu, saya berpendapat bahawa keputusan PAS itu akan memudahkan Parti AMANAH, PKR, DAP bersama NGO lain, untuk segera menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.

3. Bagi saya, biarlah rakyat menilai sendiri pendirian dan keputusan yang telah dibuat PAS itu.

4. Parti AMANAH mengulangi pendirian dan komitmen bahawa kami akan bersama dengan tuntutan rakyat untuk bersama dalam Pakatan Rakyat 2.0 bagi membawa perubahan politik sekaligus menyelamatkan Malaysia.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
19 September 2014

PAS SUDAH TIDAK BOLEH DIUBAH..ITU LAHIRNYA PARTI ISLAM BARU AMANAH..

Masalah label melabel di kalangan anggota dan pimpinan dalam PAS dan penguasaan eksekutif dalam Majlis Syura Ulama antara punca pemimpin PAS yang "gugur setandan" menubuhkan Parti Amanah Nasional (AMANAH), kata Pengerusinya Mohamad Sabu.

Mengakui tidak mampu memperbaiki keadaan PAS dari dalam, Mohamad berkata tindakan mendoktrin dengan label - antara lain liberal, munafik haraki dan peguam neraka - oleh satu kumpulan dalam PAS tidak bersetuju dengan kumpulan lain, berlaku cukup ketara dan dilihat berbahaya.

Bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, hal demikian jelas berlaku sewaktu pemilihan parti pada Jun yang menyaksikan kumpulan yang tak disukai, didoktrinkan dengan panggilan itu.
Lebih membimbangkan lagi, kata Mohamad tindakan mengkafirkan sesama kumpulan umat Islam yang berlaku di Iraq, Syria dan Libya, telah meresapi umat Islam di Asia Tenggara termasuk di Malaysia.

"Saya melihat ia satu trend yang berbahaya kepada parti (PAS), Malaysia dan umat Islam. Oleh tu, wadah baru ini (AMANAH) perlu dijelmakan untuk memperbetulkan semula konsep Islam yang sewajibnya membawa rahmat ke seluruh alam.

"Konsep itu sudah menjadi malapetaka, kerana tersalah urus, tersalah tafsir. Parti Amanah Negara menjadi satu rahmat kepada umat Islam dan rakyat Malaysia, untuk bawa aliran tajdid kepada orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Antara wakil rakyat yang tewas dalam permilihan dan meninggalkan PAS adalah beberapa ahli parlimen dan ADUN antaranya MP Sepang Hanipa Maidin, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Mariah Mahmud (Kota Raja), Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Kuala Terenganu), Aminoul Huda (Parit Raja) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, pemimpin yang dikenali Mat Sabu itu berkata penguasaan segelintir kumpulan khusus sebagai anggota badan eksekutif PAS dalam Majlis Syura Ulama turut menjadi punca pemimpin meninggalkan PAS.

Apatah lagi, kata Mohamad, anggota Majlis Syura yang dilantik selama lima tahun dianggap sukar membuat perubahan dalaman, menyebabkan beliau dan rakan-rakan memikirkan menubuhkan parti baru yang membawa motto 'Islam rahmat kepada semua'.

Hanya ketawa dengar soalan

"Saya antara orang yang menjulang (mendacangkan) kepimpinan ulama (suatu ketika dulu), sehingga wujud Majlis Syura (Ulama PAS). Dahulu orang (tokoh) yang terlibat dalam Majlis Syura kurang terlibat dengan majlis eksekutif.

"Misalnya, ada pensyarah, bekas mufti, ilmuan, (mereka) tak kira parti sangat. Tetapi kebelakangan ini, mereka yang terlibat dengan Majlis Syura, adalah orang yang terlibat dalam eksekutif sama ada AJK Dewan Ulama dan AJK Pusat itu sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata pengaruh dan kemasukan graduan Timur Tengah ke dalam PAS yang membawa balik pemikiran dari Mesir dan negara lain tanpa melihat realiti di Malaysia antara punca pemimpin PAS menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan AMANAH.

"Pemikiran itu dibawa tanpa melihat suasana sosial dan ekonomi di Malaysia. Inilah yang kita kata berlaku gugurnya setandan pemimpin lama dalam parti itu.

"Pengaruh daripada Timur Tengah melanda dan kita kena melihat, kehebatan Ikhwan Muslimin dari sudut dakwah, tarbiyah, ketahanan dalam perjuangan tapi kita kena akui kegagalan mereka dalam pemerintahan," katanya.

Sehubungan itu, dengan kewujudan AMANAH, Mohamad berharap ia menjadi usaha untuk membendung masalah itu, walaupun dianggapnya masih di peringkat awal, dibimbangi kesan seperti yang berlaku seperti di Timur Tengah melanda negara.

"Maka jika tidak tak diubat untuk mencari jalan penyelesaian, masa yang begitu panjang diperlukan untuk keluar daripada kemelut. Di peringkat awal kita kurang atau kita matikan ia memberi keburukan kepada Islam dan kepada umatnya," katanya.

Ditanya sama ada masalah tersebut disebabkan kelemahan kepimpinan Hadi, Mohamad mengambil jalan selamat dengan enggan mengulas dan hanya ketawa apabila soalan itu dilontarkan.

Soal integriti 

"Kebolehan, jasa, kekuatan seseorang tidak dinilai (dalam pemilihan baru-baru ini), tapi apa dinilai - kamu ini daripada puak mana. Bila penilaian seperti itu, maka diundi mengikut senarai yang diberi kepada perwakilan.

"Bukan dilihat daripada pencapaian pada orang yang memegang jawatan itu. Itu yang menimpa parti lama saya dulu, harap ia tidak berulang dalam Parti Amanah Negara," katanya.

Selaku ketua AMANAH, beliau mahu menyatukan penghayatan akidah dan akhlak Islam dan pentadbiran dengan menitik beratkan soal melawan rasuah dan integriti yang kurang dihayati berbanding masyarakat Eropah.

"Dalam erti kata lain, akhlak Islam ada pada orang Eropah, Jepun, Korea, Singapura. Akhlak jahiliyah ada pada orang Islam.

"Orang melihat ingetriti dalam pemerintahan kita tak ada kecuali Tok Guru Nik Aziz. Integriti dalam pemerintahan kita, tidak ada mengikut laporan dalam dan laporan luar.

"Jadi inilah perlu diutamakan kalau Islam dan umat mahu muncul semula," katanya yang menepis tuduhan menjadi kuda tunggangan DAP dan parti itu tidak memberikan satu sen pun melainkan sokongan moral kepada penubuhan AMANAH.

Mohamad juga berkata beliau mengarahkan supaya pimpinan AMANAH 'menutup mulut' daripada bercakap mengenai isu pembahagian kerusi dan pilihan raya umum buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi sehingga Disember.

"Kami nak tumpu mobilisasi ahli, dan menubuhkan kawasan. Itu yang kita nak tumpu. Saya pun pesan kepada semua pimpinan, jangan bercakap soal kerusi nak tanding, saya nak tumpu sehingga akhir Disember ini," katanya.

mk

RAKYAT MAJORITI TOLAK PAS SERTAI PAKATAN RAKYAT 2.0

 Image result for pakatan rakyat 2.0

17 September 2015

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP)

Mohamad bin Sabu
Presiden Parti Amanah Negara (PAN)

BANTAHAN TERHADAP CADANGAN UNTUK MENERUSKAN KERJASAMA POLITIK DENGAN PAS DALAM PAKATAN PEMBANGKANG BARU

Keputusan pilihanraya bukan hanya ditentukan oleh ‘orang politik’ sahaja, tetapi orang-orang yang tidak berparti adalah merupakan golongan yang membentuk pecahan paling besar daripada seluruh pengundi dan sangat mempengaruhi keputusan di semua kawasan pilihanraya. Jadi, sebarang anggapan yang memperkecil, meremehkan atau membelakangkan terus pandangan orang yang tidak berparti dalam membuat sesuatu keputusan politik bukanlah suatu tindakan yang bijak atau boleh memberi keuntungan kepada parti.

Orang yang tidak berparti tetapi menjadi penyokong Pakatan Rakyat lebih ghairah untuk menumbangkan UMNO jika hendak dibanding dengan orang politik yang memegang jawatan dalam parti. Kerana mereka tidak ada apa-apa kepentingan. Harapan mereka cuma mahu melihat pemerintahan yang baik, telus, tidak rasuah, tidak menyeleweng, tidak menyalah-gunakan kuasa, tidak mengumpul kekayaan negara untuk keluarga dan adil terhadap rakyat, itu saja!

Berbeza dengan orang yang memegang jawatan, tidak kira di peringkat nasional atau di peringkat cawangan. Samada calon mereka kalah atau menang dalam pilihanraya, tidak banyak beza pada mereka. Mereka tetap boleh terus bermain politik di dalam parti atau dalam pakatan. Tetapi tidak bagi orang atas pagar. Mereka tidak suka berparti. Mereka lebih senang menjadi penyokong yang kuat. Bahkan harapan mereka lebih tinggi dan semangat mereka lebih kuat untuk menumbangkan UMNO kalau nak dibandingkan dengan orang politik. Mereka menyokong PR secara keseluruhan, bukan bersikap asobiyyah yang lebih mementingkan parti sendiri sahaja. Mereka tidak suka terlibat dalam permainan politik dalaman. Sebab itu mereka lebih senang berada di luar parti. Jangan kita lupa, golongan tidak berparti ini mewakili 90% dari jumlah keseluruhan pengundi.

Dalam PRU-13 yang lalu, majoriti orang yang mengundi adalah atas sentimen Pakatan Rakyat lawan Barisan Nasional. Pihak PR sendiri telah menetapkan strategi satu lawan satu. Orang yang tidak berparti lebih melihat pilihanraya umum ialah medan untuk memilih Perdana Menteri Malaysia, samada Anwar Ibrahim atau Najib Razak. Orang-orang atas pagar itu mengharapkan sebuah kerajaan yang baik dan telus. Ramai pengundi memilih calon PAS atau PKR atau DAP adalah atas dasar menyokong PR untuk menumbangkan BN yang diterajui oleh UMNO. Itu saja.

Apabila sesuatu kawasan itu ditandingi oleh calon PAS, maka PKR dan DAP tidak meletakkan calon. Penyokong PKR dan penyokong DAP juga akan mengundi calon PAS, atas dasar Pakatan Rakyat, bukan sebab mereka sudah jadi orang PAS. Pengundi atas pagar pula, kalau mereka mengundi PAS pun, atas sentimen Pakatan Rakyat nak tumbangkan Barisan Nasional. Tidak boleh dikatakan mereka sudah masuk PAS dan menjadi orang PAS.

Jadi, berdasarkan senario itu, bolehkah kita tentukan berapa orang sebenarnya pengundi PAS, berapa orang pengundi PKR dan pengundi DAP dalam satu-satu kawasan parlimen?

Kalau pun boleh dikira berapa orang ‘pengundi PAS’ dalam PRU-13 yang lalu, apakah boleh diandaikan bahawa sokongan pengundi pasti tidak boleh berubah atau beralih arah dalam PRU-14?
Jadi, atas dasar apa tuan berfikiran bahawa PAS masih diperlukan dalam pakatan pembangkang kerana sebahagian besar pengundi Melayu adalah pengundi PAS? Sekadar bertanyakan pendapat beberapa orang responden dan kebetulan pula responden itu ialah pengundi tegar PAS, maka adakah tuan merasakan hasil kaji-selidik itu tepat dan wajar dijadikan asas petunjuk dalam merangka strategi politik?

Kak Wan, Guan Eng dan Abang Mat,

Orang mengundi calon PR dalam PRU-13 yang lalu adalah kerana mereka mahu Anwar Ibrahim jadi PM. Mereka tidak mahu Najib. Mereka sudah tolak BN. Mereka lebih percayakan Anwar dan Pakatan Rakyat. Mereka mengharapkan sebuah kerajaan yang adil dan telus. Mereka memerlukan seorang Perdana Menteri yang baik dan berkemampuan. Kalau calon PAS yang diletakkan bertanding di kawasan mereka, calon PAS lah yang mereka undi. Kalau calon PKR, undi PKR lah, begitu juga dengan DAP…. Tidak patut timbul soal mereka itu pengundi PAS, PKR atau DAP, kerana yang pasti mereka adalah pengundi Pakatan Rakyat. Anwar berjanji, kalau PR memerintah, kerajaan akan menurunkan harga petrol, pendidikan percuma, PTPTN dimansuhkan; mereka menyambut janji itu dengan penuh harapan dan turut membantu sebarang usaha untuk menumbangkan UMNO…. Inilah sebabnya kenapa PR dapat undi yang tinggi dalam PRU-13 lalu…. Bukan sebab kehebatan jentera PAS atau PKR atau DAP…. Jentera parti hanya sekadar memeriahkan suasana pilihanraya semata-mata… Orang mengundi bukan kerana terpesona dengan jentera parti.

Jadi, atas alasan apa tuan merasakan PAS masih diperlukan dalam pakatan pembangkang yang baru? Pakatan yang lama hancur disebabkan kerenah Presiden PAS, sekarang mahu buat pakatan baru, lagi mahu ajak PAS? Sejak pilihanraya 2008, PAS tidak berhenti-henti cuba menikam PR dari dalam, berulangkali melakukan khianat, berunding dengan UMNO secara senyap-senyap, tidak menghormati PKR dan DAP, melanggar keputusan mesyuarat, memburukkan Anwar Ibrahim, menentang DAP secara terbuka dengan memainkan sentiment agama dan kaum; apakah tuan merasakan perlu untuk terus bekerjasama dengan parti seperti PAS? Kenapa..? Adakah kerana tuan hanya mementingkan politik tuan semata-mata, tanpa perlu memikirkan perasaan sebahagian besar pengundi yang telah banyak terluka dengan tindak-tanduk PAS selama ini?

Tidakkah tuan mahu mendengar suara hati pengundi tidak berparti yang menjerit dan melolong ingin memberitahu ‘Jangan berpakat apa-apa dengan PAS…! Kami menolak PAS secara total…! Kami sudah hilang kepercayaan kepada PAS…! Kami telah bersedia untuk pertarungan 3 penjuru…. Tiga penjuru adalah lebih baik dari dua penjuru yang ada PAS di dalamnya…. Kalau berpakat dengan PAS, PR 2.0 akan kalah sebelum masuk gelanggang lagi…. Sebelum pilihanraya pun, PR telah kalah, paling akhir pun pada hari penamaan calon. Samada berada di dalam PR atau di luar PR, PAS tetap akan tindan calon….. Kalau tragedi di hari penamaan calon PRU-13 lalu tidak kita jadikan pengajaran dan peringatan, apa lagi kebaikan yang boleh kita ambil dari kejadian tindan calon itu?

Berperang dengan musuh secara berdepan lebih mudah dari menghadapi ‘musuh dalam selimut’ yang menikam dari dalam. Jadi, biarkanlah PAS berada di luar PR…. Penyokong yang berada di luar parti, sebahagian besarnya berkata : “Kalau PAS ada sekali dalam PR 2.0, aku akan tutup buku politik dalam diari hidup ku, dan aku tidak akan mengundi dalam PRU”…. Itu kata sebahagian besar dari penyokong PR yang berada di luar parti, setakat yang saya dengar…. Hampir semuanya mengucapkan perkataan yang sama….. Tidak percaya lagi kepada PAS, tidak setuju PAS sertai pakatan baru, kalau ada PAS, semuanya tidak mahu ambil tahu hal politik lagi.

Sekian saja untuk kali ini. Terima kasih.

Abe Awang Malaya
b/p Jebonesta

http://yongsukakuning.blogspot.my