Pages - Menu

Pages - Menu

Ahad, September 20, 2015

MP UMNO BARU SEDAR GST TU MEMBEBANKAN RAKYAT....

 Noh Omar

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor akan mencadangkan kepada Parlimen untuk mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada golongan yang berdaftar dalam program e-Kasih.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, pengecualian itu mungkin boleh diperluaskan kepada orang kelainan upaya (OKU), yang dilihat antara langkah berkesan untuk membantu golongan terlibat.

Beliau berkata, ia boleh dipraktikkan dengan  mewujudkan ‘kad pengecualian GST’ kepada mereka yang layak sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengecualikan GST kepada golongan tersebut.

“Saya ada bincang dengan YB Fasiah (Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh) mengenai perkara ini. Mungkin saya akan minta YB Fasiah bawa cadangan dalam Parlimen nanti.

“Kalau ia membantu golongan miskin, apa salahnya kita bincang dan bahas dalam Parlimen. Namun, pelaksanaannya memerlukan penelitian bagi memastikan manfaat ini dinikmati golongan benar-benar memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, ramai rakyat di Selangor telah mendapat manfaat dari program e-Kasih seperti memberi modal RM5,000 untuk dilaburkan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), bantuan membeli perkakas membuat kuih dan bayaran dividen tahunan bagi ternakan lembu Felcra.

“Macam ASB, bayangkan nilai dividen pada setiap tahun yang diperoleh? Saya nasihat kepada penyimpan jangan bawa keluar duit dividen ini. Simpan sampai 10 tahun contohnya, baru banyak dapat. Duit ini kita simpan dan guna masa diperlukan, seperti untuk bayar duit pengajian anak-anak kita.

“Kerajaan tidak mahu bagi tunai RM5,000 sebab kalau kita bagi tunai ini, sehari pun boleh habis. Jadi, lebih baik kita masukkan duit untuk pelaburan. Ia lebih beri manfaat dari segi jangka panjang,” katanya.

Kata Noh, kerajaan pusat tidak pernah memilih kasih dalam menyalurkan bantuan dan ia dibuktikan apabila rakyat di Selangor sentiasa mendapat bantuan walaupun negeri ini ditadbir oleh PKR.

“Tiada istilah anak tiri di negeri yang ditadbir PKR ini. Kita salur semua tidak kira negeri ditadbir BN atau PKR. Macam di Selangor, PKR bukan buat apapun. Mereka hanya tahu cerita kepada rakyat duit rizab negeri banyak...itu sahaja.

“Padahal duit rizab itu banyak sebab dicampur dengan peruntukan tahunan yang diberi kerajaan pusat kepada kerajaan Selangor untuk selenggara parit, jalan. Tapi, mereka (kerajaan Selangor) ini tidak tahu malu...mereka simpan peruntukan daripada kerajaan pusat ini dan dengan bangga mereka isytihar duit rizab Selangor banyak,” ujarnya.

sh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...