Pages - Menu

Pages - Menu

Rabu, Ogos 12, 2015

ORANG MELAYU KENA BERUBAH - KHALID AL-WALID MALAYSIA


 Foto Saya

Suatu Hari Di Hari Raya 

Pada hari Sabtu lepas saya telah ke majlis hari raya di Seksyen 3 Shah Alam. Sambil saya berbual dengan tuan rumah, tiba-tiba datang seorang ke arah saya. Tanpa banyak bicara, beliau terus menegur saya dan bertanya, “kamu nak tubuhkan parti baru kan?” Saya sekadar mengangguk tanpa mengatakan apa-apa. Terus beliau menambah lagi, “berdasarkan pengalaman saya selama 37 tahun, saya nak beritahu kamu bahawa kamu sedang melakukan apa yang DAP ingin kamu lakukan! You are doing what the DAP wants!

Saya berdiam sahaja dan memandang ke arahnya, sambil senyum. Melalui perwatakan beliau, saya menjangkakan bahawa beliau seorang yang mungkin berumur 75 ke 80 tahun. Seorang pesara yang telah lama berkhidmat sebagai pegawai kerajaan teka saya. Berdasarkan kata-katanya lagi, saya menganggarkan bahawa pengalaman 37 tahun yang dimaksudkan mungkin samada di bawah MKN atau BTN atau Polis. Saya tidak kenal beliau secara peribadi dan ianya kali pertama saya berjumpa dengannya. Saya terus berdiam dan membenarkannya untuk terus bercakap.

Tuan rumah yang duduk di tepi saya terus menegurnya. “AsSalaamuAlaikum Tan Sri. Apa khabar? Selamat Hari Raya” kata tuan rumah kepadanya secara lemah lembut. Tan Sri tersebut menjawab salaam tuan rumah tetapi terus memandang ke arah saya.

“Melayu akan berpecah lagi. Kita bertambah lemah dan akhirnya DAP akan menguasai Malaysia dengan bantuan Singapura” katanya lagi. Dia seterusnya duduk semeja dengan kami, di kerusi bertentangan saya, sambil memandang terus ke muka saya. Beliau diam menunggu jawapan dari saya.

Saya menoleh ke arah tuan rumah, mengharapkan bahawa perbualan ini tidak menyebabkan beliau merasa kekok atau tidak selesa. Saya datang sebagai Ahli Parlimen, berhari-raya memenuhi undangan salah seorang pengundi, maka saya tidak mahu terlibat dalam perbualan yang boleh mengakibatkan perbalahan sebegini. Namun, Alhamdulillah, tuan rumah kelihatan tenang dan seolah-olah turut menunggu jawapan dari saya.

“Tan Sri”, saya mulakan dengan hormat, “masalah yang dihadapi orang Melayu dewasa ini, bukan salah DAP. Ianya salah pimpinan Melayu sendiri. Najib, Mahathir....”. Wajah beliau terus berubah mendengar respon saya.

Tidak sempat saya meneruskan lagi, tiba-tiba datang beberapa tetamu lain, bersalaman dengan saya, tuan rumah dan Tan Sri tersebut. Perbualan kami, yang telah bermula dengan begitu mengejut sekali telah berakhir juga dengan mengejut!

Selepas beberapa minit Tan Sri tersebut berpindah ke meja lain bersama tetamu tetamu tadi. Mereka mungkin kenalan lama. Mungkin banyak yang ingin mereka bincangkan bersama.

MELAYU DIMOMOKKAN DENGAN ‘HANTU’ DAP

Inilah masalahnya. Yang mengekalkan orang Melayu dalam kemiskinan bukan DAP. DAP bukan kerajaan. UMNO/BN adalah kerajaan sejak merdeka. Yang menjadikan Melayu ketinggalan, bukan DAP. DAP tidak pernah menjadi kerajaan yang memerintah Malaysia. Yang menghilangkan tanah rezab Melayu sehingga tinggal kurang dari separuh, yang melenyapkan saham Bumiputera Melayu dari RM 52 Billion sehingga tinggal hanya sedikit, yang terus membodohkan Melayu, bukan kerajaan di bawah DAP tetapi di bawah UMNO/BN.

Yang menyebabkan Negara berhutang sebanyak RM 700 Billion bukan kerajaan DAP. Yang meninggikan kos sara hidup, membudayakan rakyat Malaysia berhutang, merompak kekayaan Negara, bukan DAP. Tetapi DAP juga yang ditakuti dan dimarahi Melayu. Seolah-olah Melayu ini redha ditipu dan dirompak asalkan yang menipu dan merompaknya adalah Melayu lain. Tetapi jangan sekali-kali menyokong DAP!

MELAYU KENA SOKONG DAP?

Saya bukannya mahu Melayu sokong DAP seperti yang cuba digambarkan oleh segelintir pihak. Saya hanya ingin Melayu bebaskan diri dari ketakuan yang tidak semena-mena, ketakutan yang menjadikan Melayu buta terhadap fakta sehingga tidak kenal siapa yang merupakan perosak bangsa Melayu sebenar. Bukan DAP. Tetapi UMNO!

Saya ingin Melayu halakan kemarahan mereka dan kekecewaan mereka terhadap yang bertanggung-jawab ke atas kegagalan ini semua. Bukan terhadap efigy yang diada-adakan sebagai watak ‘hantu’ untuk dialihkan kemarahan mereka.

Apa perlu ditakutkan dengan DAP? Mereka bertanding hanya sekitar 50 lebih kerusi dari 222 kerusi Parlimen Malaysia. Sekiranya mereka menang semua yang mereka tandingi sekalipun, mereka tetap tidak boleh memerintah secara bersendirian!

PERPECAHAN UNDI MELAYU?

Maka dengan itu ketakutan terhadap “berpecahnya Melayu” turut dipersoalkan. Kalau Melayu ‘berpecah’ dengan adanya parti baru, adakah DAP akan menang lebih banyak kerusi? Mereka akan tetap bertanding sekitar 50 kerusi lebih itu sahaja. Kalau Melayu berpecah lima ataupun sepuluh sekalipun, DAP tidak boleh menang lebih dari apa yang mereka tandingi! Tidak mungkin DAP menang 112 kerusi bila mana hanya bertanding 50 kerusi.

Dan kerusi yang ditandingi parti baru ini, kalau berlaku pun tiga penjuru, akan ditandingi PAS, UMNO dan parti baru. Yang menang kerusi itu akan tetap Melayu. Oleh itu tidak mungkin DAP menang sedangkan yang bertanding adalah terdiri dari Melayu. DAP tetap tidak bertanding di kawasan tersebut.

Saya hanya sekadar boleh menyatakan ‘kagumnya’ saya terhadap kelicikan pimpinan UMNO. Dibawah pimpinan mereka negara yang dirompak, dirosakkan dan terus dimusnahkan, tetapi Melayu terus takut kepada DAP.

KESIMPULAN

Sepatutnya Melayu takut kepada berterusannya rejim pemerintahan ini. Negara semakin parah, ekonomi semakin terbantut dan rakyat semakin tertekan dengan kos kehidupan yang semakin tinggi. Tidak adakah pimpinan Melayu lain yang boleh diletakkan harapan? Adakah orang Melayu begitu ketandusan kepimpinan.

Oleh itu, InsyaAllah Harapan Baru akan berusaha menonjolkan saff pimpinan yang boleh Melayu harapkan; dan bukan sekadar Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia. Namun untuk memungkinkan sebarang perubahan, orang Melayu perlu berubah.

Biar yang bukan Melayu beralih ke DAP. Itu hak mereka setelah MCA, MIC, Gerakan dan parti politik mereka yang lain telah gagal menghalang kebobrokan UMNO/BN. Sekarang hendaklah tiba giliran orang Melayu pula memberanikan diri untuk beralih dari UMNO kepada yang boleh memberikan harapan baharu untuk Islam, Melayu dan seluruh Malaysia.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
 

1 ulasan:

  1. Pangkat Tan sri belum tentu cerdiknya.hendaknya pula umur nak menghapiri kubur,otaknya dah dibasuh dari muda,bukan mencari musuh islam tetapi mencari kononya musuh Melayu dan dia tidak sedar musuh melayu adalah dia sendiri.Tan sri tidak menjadi tiang seri.

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...