SHAH ALAM - Naskhah tafsir al-Quran percuma akan hanya diberikan
kepada orang bukan Islam yang mahu tahu lebih lanjut mengenai Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Othman Mustapha
berkata, beliau difahamkan pertubuhan bukan kerajaan, Malaysia Reverted
Muslims (MRM) tidak pernah memaksa untuk mana-mana bukan Islam menerima
al-Quran yang diberikan secara percuma melalui program mereka.
Sebaliknya, beliau berkata, al-Quran itu hanya diberikan kepada orang
bukan Islam yang datang dan mendekati MRM untuk bertanya lanjut
berkaitan agama Islam atau keliru dengan ajaran Islam.
"Sebagai contoh, jika ada yang mengaitkan Islam sebagai agama yang
menganjur keganasan ia sama sekali tidak benar. Islam tidak pernah
mengajar umatnya menjadi ganas atau militan malah Islam mengharamkan
keganasan atau penindasan.
"Jadi dengan membaca dan memahami al-Quran, segala salah faham tentang
Islam dapat diperbetulkan. Justeru, sepatutnya tidak timbul istilah
paksaan menerima al-Quran atau enggan menerima al-Quran yang diberikan,"
katanya.
Beliau mengulas projek One Soul, One Quran anjuran Yayasan Maklumat
dan Perkhidmatan Islam yang disokong Jakim dengan matlamat mengedarkan
sejuta al-Quran percuma.
Projek itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada Majlis Perundingan
Malaysia Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao yang mendakwa
ia cubaan untuk mengembangkan pengaruh agama Islam.
Menurut Othman, setiap orang yang memiliki al-Quran perlu menjaga dan menyimpan kitab itu dengan cara paling terhormat.
"Sekiranya mana-mana pihak bukan Islam yang menerima (al-Quran) dan
tidak bercadang lagi untuk menyimpannya boleh menyerahkan semula kepada
pihak MRM atau menyerahkan pada masjid, surau mahupun memberikan kepada
orang Islam semula untuk menjaga kitab suci berkenaan," katanya.
Selain itu, beliau juga menjelaskan prosedur untuk memeluk Islam bukanlah semudah dengan hanya mengisi sekeping borang.
Menurutnya, seseorang itu perlu memeluk agama Islam dengan kerelaan
hati sendiri tanpa ada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
"Kemudian (individu itu) hendaklah mengucapkan kalimah syahadah iaitu
mengaku bahawa ALLAH adalah tuhan yang satu wajib disembah dan Nabi
Muhammad adalah pesuruh-Nya. Pengakuannya itu disaksikan oleh orang
Islam yang lain.
"Bukanlah semudah mengisi borang semata-mata kerana pengakuan lisan
itu adalah syarat utama sebelum ia didaftarkan melalui prosedur
seterusnya," katanya.
Beliau turut berharap tiada mana-mana pihak salah faham dengan kaedah
yang dibawa oleh MRM kerana niat mereka bukan untuk memaksa tetapi untuk
memperjelaskan ajaran Islam yang sebenarnya serta menolak sebarang
kekeliruan berkaitan Islam.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...