SHAH ALAM - Pas hari ini merakamkan ucapan takziah dan simpati terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, bermula hari ini.
Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang berkata, keputusan tersebut mengulangi tragedi sama pernah ditanggung Anwar sebelum ini.
"Ia juga mengingatkan kita semua, hanya undang-undang syariah sahaja dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini.
"Maka, perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada Pas untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya Undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' yakni cara hidup Islam," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berharap ahli keluarga, serta seluruh anggota PKR dan Pakatan Rakyat, agar terus istiqamah bagi memperjuangkan keadilan di negara ini.
"Oleh itu kita perlu bersatu-padu secara penuh harmoni dalam kemajmukan, agar menjadi kuat untuk teguh menumbangkan BN," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula menyifatkan pemenjaraan Ketua Pembangkang sebagai salah satu perjuangan yang dilakukan demi keadilan.
Menerusi satu posting yang dimuatnaik menerusi akaun Twitternya, Nik Abduh turut mengucapkan takziah ke atas Anwar dan seluruh keluarganya.
“Takziah buat Datuk Seri Anwar dan keluarga. Ia sunnah perjuangan untuk keadilan dan kebebasan. Malaysia kekal menagih sinar baru,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Anwar bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.
Anwar akan menjalani hukuman penjara lima tahun yang bermula hari ini di Penjara Sungai Buloh.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...