NURUL Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana adalah lima daripada enam anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan adakah salah seorang daripada mereka bakal menggantikannya sebagai calon PRK Permatang Pauh?
Seorang lagi anak Anwar, Nurul Izzah sudah pun menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai dan menduduki kerusi itu bagi penggal kedua.
Walaupun baru dua hari Anwar dipenjarakan, rata-rata mula mempersoalkan siapakah calon yang patut ditampilkan PKR untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh yang selama ini sinonim dengan Anwar.
Ternyata bukan mudah mempertahankan kerusi itu tetapi lebih sukar mencari calon yang berkelayakan.
Anwar sebelum pernah terpaksa mengosongkan kerusi Permatang Pauh kerana dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana salah guna kuasa pada 14 April 1999.
Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, mempertahankan kerusi itu pada 1999.
Dr Wan Azizah turut dilantik menjadi ketua pembangkang wanita pertama di Parlimen dan menang dua kali lagi bagi kerusi Permatang Pauh iaitu pada PRU 2004 dan 2008.
Pada 2004, Anwar yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan daripada sabitan kesalahan liwat oleh Mahkamah Persekutuan.
Mengikut Perlembagaan, Anwar hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen apabila dijatuhi hukuman lima tahun selaras dengan Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 48(1)(e), Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara lebih dari setahun atau didenda lebih RM2,000.
Dr Wan Azizah kemudian bertindak melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding selepas habis tempoh 'edah' dan layak untuk bertanding.
Pada pilihan raya kecil yang diadakan, Anwar memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi.
Hakikatnya, darah Anwar masih menebal di Permatang Pauh, sejak anak jati Ceruk Tok Kun itu menjadi wakil rakyat BN buat pertama kali pada tahun 1982 selepas mengalahkan calon Pas, Zabidi Ali.
Tidak mustahil jika Dr Wan Azizah yang juga Adun Kajang akan membuat comeback untuk bertanding di Permatang Pauh kerana Perlembagaan membolehkan beliau berbuat demikian.
Ketika melepaskan kedudukan pada 2008, Dr Wan Azizah pernah melahirkan hasrat mahu berundur sebagai wakil rakyat untuk meluangkan masa dengan keluarga.
Tetapi doktor yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur itu kembali menjadi calon PRK Kajang apabila diminta suaminya bagi menggantikan Lee Chin Cheh yang meletak jawatan dalam percaturan politik yang dipanggil Langkah Kajang yang mulanya bagi membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor.
Namun Langkah Kajang terbantut apabila Anwar disabitkan bersalah dalam kes liwat II oleh Mahkamah Rayuan yang meminda keputusan Mahkamah Tinggi, beberapa hari sebelum penamaan calon PRK Kajang.
Semalam, Nurul Nuha dilihat mengetuai anak-anak Anwar dan Dr Wan Azizah melancarkan ‘March to Freedom’ bagi kesinambungan perjuangan keluarga Anwar.
Pada sdang media itu, Nurul Nuha berkata, perjuangan mereka adalah bagi membebaskan ayahnya dan suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman di Malaysia.
Untuk rekod, semasa PRU13, Nurul Nuha antara nama yang disebut-sebut sebagai salah seorang calon Parlimen PKR di Pulau Pinang yang direstui Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun ketika itu, anak kedua Anwar itu dikatakan belum bersedia menceburi politik kerana perlu memberi tumpuan kepada keluarga.
Jika benar Nurul Nuha dijadikan sandaran, sidang media ini adalah platform pertama untuk memperkenalkan Nuha kepada politik dan masyarakat.
Nurul Nuha berkelulusan Ijazah Teknologi Seni dan Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat, tetapi memilih untuk menjadi suri rumah sebelum ini.
Kesulitan menonjol bukannya alasan dan halangan besar kepadanya kerana nama Anwar dan Dr Wan Azizah sudah cukup kuat di Ceruk Tok Kun khasnya, dan Permatang Pauh amnya.
Sejarah Nurul Izzah menewaskan giant BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada PRU12 dengan majoriti 2,406 boleh dijadikan sandaran bahawa anak-anak Anwar tidak boleh dipandang rendah.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...