KOTA BHARU - Keadaan Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz kini dilaporkan semakin stabil.
Hal tersebut dinyatakan anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang tiba di hospital sejak awal jam 10 pagi tadi.
"Ayahanda menunjukkan tindak balas positif, malah solat subuh dan minum air pagi tadi, Alhamdulillah, doakan semoga semuanya kembali pulih," katanya kepada media pagi tadi.
Menurutnya, Nik Aziz turut menjalani 'city scan' semalam dan menurut keputusan yang diterima, beliau tidak mengalami masalah kesihatan lain.
Nik Abduh juga memberitahu, ayahnya juga sedar dan sempat bertanya khabar dengan doktor yang merawatnya dan bila beliau dimasukkan ke hospital.
"Selama empat jam dia memberi respons (bertanya khabar) doktor, dia kini kembali stabil dan direhatkan,"katanya.
Beliau juga dimaklumkan oleh pihak doktor yang merawat agar ahli keluarga terdekat menderma darah bagi persediaan untuk rawatan susulan.
Sementara itu, Nik Abduh turut menjelaskan Nik Aziz yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian disahkan menghidap kanser prostat.
Ketika menjelaskan perkara itu, Nik Abduh berkata, penyakit yang dihidapi ayahnya tersebut dikesan sejak lama tetapi rawatan berterusan oleh para doktor berjaya mengawalnya.
“Ayahanda mengidap kanser prostat yang dikesan sejak sekian lama tetapi rawatan berterusan oleh para doktor telah berjaya mengawalnya. Terima kasih kepada pihak hospital yang telah dan sedang memberikan yang terbaik,” katanya dalam status facebooknya pagi ini.
Berita mengenai penyakit kanser yang dihadapi Nik Aziz tersebar sejak 2009, namun beberapa pihak termasuk dari keluarga pemimpin itu enggan mengesahkan.
Dalam pada itu Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, selepas diberi rawatan ayahnya menunjukkan reaksi lebih baik dan stabil.
Walau bagaimanapun katanya, doktor menyatakan ayahandanya perlukan rawatan rapi untuk pemulihan lebih baik.
“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan untuk kesihatan ayahanda. Ziarah ayahanda adalah mengikut prosedur yang ditentukan oleh pihak hospital dan dipersetujui oleh pihak keluarga,”katanya.
Dalam pada itu suasana di perkarangan HUSM pagi ini mula dipenuhi orang ramai termasuk pimpinan kerajaan negeri.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...