Pages - Menu

Pages - Menu

Jumaat, Januari 23, 2015

Jawab Tuduhan : Sekolah agama bukan tempat merekrut militan

AHMAD

ALOR SETAR - Usah memperlekeh atau menjatuhkan martabat sekolah agama dengan mengaitkan institusi itu dengan ideologi militan atau fahaman esktremis kerana sekolah agama bukan tempat merekrut pelajar sebagai anggota militan.

Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa), Ahmad Yahaya berkata, tidak dinafikan wujud kes terpencil melibatkan beberapa individu daripada sekolah agama, namun ia bukan hasil didikan institusi sekolah itu.

“Jika ada pelajar atau guru terlibat, kebetulan latar belakangnya ada kaitan dengan sekolah pondok, itu atas kapasiti individu. Jika anggap sekolah agama atau pondok dan madrasah perlu dipantau daripada elemen militan, institusi pengajian lain seperti Universiti dan kolej juga wajar dipantau,” katanya.

Pihaknya kesal hanya institusi pondok dan sekolah agama menjadi sasaran, sebaliknya individu ditahan ada kaitan dengan militan mempunyai latar belakang pelbagai.

“Tidak wajar prejudis, saya nafi sekolah-sekolah itu ada kaitan mempromosi aktiviti militan atau wujud usaha melahirkan golongan dan lebih baik polis banteras penjenayah dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan akan memantau semua madrasah di negara ini bagi memastikan ideologi militan tidak dipupuk dan berleluasa, selain tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Khalid menyatakan polis turut memantau Madrasah Nurul Hidayah di Kuala Ketil, Baling, diasaskan Mohd Lofti Ariffin, yang terkorban di Syria, tahun lalu.

Ahmad mengakui, memang wujud mata pelajaran mengupas aspek jihad diajar di madrasah, namun konteks jihad itu tidak menyimpang daripada ajaran Islam.

“Silibus diajar mengenai jihad, termasuk dalam sirah dan fekah. Ini antara subjek diajar apabila pelajar mencapai tahap-tahap tertentu pengajian. Namun, konteks jihad diajar berlandaskan kitab al-Quran dan hadis. Kita tidak ajar pun, jihad itu pergi berperang di luar negara dengan angkat senjata,” katanya.

Menurutnya, antara pengertian jihad diterapkan, termasuk menggunakan kemampuan diri dalam menyebarkan agama Islam, mempertahan agama dan perjuangkan ke landasan sebenar, selain memupuk jiwa pelajar cintakan Islam dan sensitif terhadap musuh Islam.

“Silibus itu digarap sendiri oleh sekolah agama berlandaskan kepada silibus Kementerian Pendidikan, Majlis Agama Islam Negeri Kedah serta Lembaga Tadbir Sekolah Agama masing-masing, bermakna ia selari dengan arus perdana dan tidak menyalahi undang-undang,”
katanya.

Ini kerana, pelajar menduduki peperiksaan awam Malaysia, seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sebelum melanjutkan pengajian.

Ahmad berkata, Hesa tidak mencampuri silibus pelajaran di sekolah-sekolah naungannya, sebaliknya berperanan sebagai pertubuhan memperkukuhkan institusi pendidikan agama Islam.

“Hesa satukan institusi ini bawah satu bumbung untuk bantu memperoleh dana, anjurkan aktiviti dan kursus memantapkan ilmu pondok. Antara usaha wujudkan Hesa adalah untuk kembangkan ilmu pondok, bagi mengembalikan kegemilangan sekolah pondok di Kedah,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2008, terdapat 90 institusi pendidikan agama berdaftar bawah Hesa, terdiri daripada Sekolah Menengah Islam, Sekolah Rendah Islam, Tahfiz al-Quran, sekolah pondok, pondok, Sekolah Integrasi, Pusat Pengajian Darul Hadis serta pusat kebajikan dan pemulihan.

sh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...