KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menjangkakan Malaysia bakal berdepan dengan 'darurat ekonomi' pada tahun hadapan berikutan berlakunya penyusutan nilai matawang ringgit, penurunan harga minyak serta peningkatan inflasi.
Menurut beliau, keadaan cukup membimbangkan apabila nilai mata wang ringgit terus menjunam pada kadar RM3.43 untuk USD1 dan RM2.63 bagi satu Singapore Dollar (SGD1).
"Penurunan ini amat tinggi yang kita alami sejak 1997 ataupun 1998, pada waktu yang sama berlaku penurunan harga minyak kepada USD70 satu tong.
"Ini semua akan meningkatkan kadar inflasi dan sekaligus bajet 2015 akan menyusut lebih kurang 30 peratus," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu bimbang apabila negara sedang menuju kepada darurat ekonomi, walaupun kerajaan menjangkakan ia boleh ditampung melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Petronas sendiri sudah meramalkan dan umum sumbangan Petronas akan menyusut sebanyak RM25 bilion dalam bentuk cukai mahupun royalti," ujarnya.
Beliau menambah, ia satu jumlah yang besar, kebergantungan kerajaan dari hasil minyak dan gas akan tergugat.
"Jika kerajaan berharap GST dapat menampung kelompangan tersebut tetapi dalam keadaan ekonomi sedemikian rakyat akan lebih berhemah dalam berbelanja.
"Bila berbelanja dengan berhemah ini bermakna cukai GST yang disasarkan kepada RM23 bilion itu tidak akan tercapai," katanya lagi.
Beliau turut berharap dalam keadaan kritikal itu, kerajaan perlu melantik segera seorang Menteri Kewangan sepenuh masa bagi memberi tumpuan khusus kepada 'darurat ekonomi' yang bakal berlaku.
hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...