Pages - Menu

Pages - Menu

Sabtu, November 08, 2014

Ajaran Sesat SIS : Fahami kebebasan bersuara dalam Islam

http://biz-55.webs.com/KEBEBASAN bersuara dan perbezaan pandangan dalam Islam perlu difahami dalam konteksnya yang sebenar.

Ia tidak boleh disalah ertikan sehingga menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan menolak ajaran Islam.

Perbezaan pandangan yang dikemukakan oleh Sisters in Islam (SIS) adalah di luar daripada ruang lingkup yang dibenarkan.

Tidak dapat dinafikan Islam membuka ruang untuk kebebasan bersuara dan berbeza pandangan.

Mazhab-mazhab Feqah yang ada dalam Islam menggambarkan keluasan dan kebebasan dalam mengemukakan pandangan.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Jangan ada di kalangan kamu yang bersembahyang Asar kecuali di perkampungan Yahudi Bani Quraizdah." Sebahagian sahabat r.a. berada dalam waktu Asar ketika dalam perjalanan (sebelum sampai di perkampungan Bani Quraizdah). Sebahagian mereka berkata: "Kita tidak akan sembahyang Asar kecuali setelah sampai di sana." Sebahagian yang lain pula berkata: "Bahkan kita sembahyang sekarang. Nabi tidak berkehendakkan demikian." Peristiwa perbezaan pandangan di kalangan sahabat tersebut telah diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda tidak mencela sesiapa pun daripada kalangan mereka.

Jelasnya, perbezaan pandangan dan kebebasan bersuara dalam Islam ditonjolkan melalui tindakan Rasulullah s.a.w. yang tidak menyalahkan sesiapa pun di kalangan sahabat dalam peristiwa tersebut.

Walau bagaimanapun, perbezaan yang berlaku adalah dalam menentukan masa dan tempat untuk didirikan sembahyang Asar sebagaimana arahan Rasulullah s.a.w. dan bukannya dalam menentukan pensyariatan sembahyang tersebut.

Perbezaan pandangan dan kebebasan bersuara di kalangan para sahabat bahkan dalam mazhab-mazhab feqah adalah dalam perkara cabang agama dan bukannya dalam perkara usul dan prinsipnya.

Islam menggalakkan percambahan ilmu melalui perbezaan pandangan tetapi ia mestilah tidak menggadaikan usul dan prinsipnya. Sesiapa yang melanggarnya adalah sesat dan terkeluar daripada jalan kebenaran.

Ideologi Liberalisme yang didukung oleh SIS jelas bercanggah dengan usul dan prinsip Islam.

Pandangan SIS dalam isu hak suami menceraikan isteri, pembahagian harta pusaka, poligami, kewajipan bertudung bagi wanita dan lain-lain jelas adalah pemikiran yang berlawanan dengan Islam.

Ia adalah bertujuan untuk merungkai pegangan aqidah umat Islam dengan meletakkan akal mendahului syarak.

Justeru, pandangan dan pemikiran yang berbeza yang dikemukakan oleh SIS adalah di luar konteks yang dibenarkan dalam agama. Ia mesti dihalang agar masyarakat awam tidak terpengaruh dengan pandangan dan pemikiran yang dibawa.

Penulis ialah Pengarah Operasi Majlis Penyelidikan dan Tafaqquh Dewan Ulamak PAS Pusat

hd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...