KUALA LUMPUR: Berkorban memerlukan takwa dan takwa
agak sukar diperolehi tanpa sifat tadhiah (pengorbanan) khususnya dalam
menegakkan suruhan Allah.
Menteri
Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, seseorang muslim yang
sebenar hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan mematuhi
prinsip-prinsip keadilan sesama manusia.
Bahkan kata beliau,
wajib berlaku adil sesama manusia walaupun dari golongan yang tidak
sehaluan dan ini merupakan syarat-syarat ketakwaan yang sempurna.
"Kehidupan
hari ini kita menyaksikan bagaimana wujudnya pihak yang
sewenang-wenangnya bertindak melanggar perjanjian dan tidak berlaku adil
semata-mata kerana tidak mahu memberikan hak kepada pihak yang tidak
disenangi dan dianggap musuh politik mereka.
"Hasil mahsul bumi
diangkut sewenang-wenangnya tanpa sebarang faedah kepada penduduk
setempat sekalipun sudah wujud perjanjian yang jelas," katanya dalam
prutusan khas Aidiladha hari ini.
Menurutnya, sebagai seorang
muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT, hak-hak yang telah
diiktiraf di dalam perjanjian hendaklah sentiasa dihormati tanpa
sebarang penyelewengan fakta semata-mata kerana tidak sehaluan dari
sudut fahaman politik dan lain-lain.
"Jika seseorang itu tidak
mematuhi janji yang telah dimeterai, maka hilanglah penghormatan orang
lain terhadap dirinya dan pastinya akan dikecam sebagai pengkhianat
serta tidak boleh dipercayai," tegasnya.
Berikut teks penuh perutusan Aidiladha 1435 oleh beliau.
______________________________________________
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهُ أكْبَرُ ، اللهُ أكْبَرُ ، لا إله إلا الله والله أكبر اللهُ أكْبَرُ ولله الحمد
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :
Daging-daging
unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah,
tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah
Telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap
hidayah-Nya kepada kamu. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang
yang berbuat baik. (Surah al-Hajj : 37)
Aidiladha atau hari raya
korban, mengenangkan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam bersama
puteranya Ismail, kisah kepatuhan, ketaatan, pengorbanan dan kesabaran
mereka dalam menjunjung perintah Allah SWT apabila Nabi Ibrahim
diarahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail.
Sebagai
mencontohi pengorbanan mereka, Rasulullah SAW telah menganjurkan agar
menyembelih binatang pada hari raya korban sebagaimana hadis Rasulullah
yang bermaksud:
"Sesiapa yang mempunyai kemampuan dan tidak
mengerjakan ibadat korban, janganlah mendekati tempat solat kami".
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Berkorban memerlukan takwa dan takwa
agak sukar diperolehi tanpa sifat tadhiah atau berkorban khususnya dalam
menegakkan suruhan Allah. Seseorang muslim yang sebenar hendaklah
sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan mematuhi prinsip-prinsip keadilan
sesama manusia. Bahkan wajib berlaku adil sesama manusia walaupun dari
golongan yang tidak sehaluan dan ini merupakan syarat-syarat ketakwaan
yang sempurna.
Kehidupan hari ini kita menyaksikan bagaimana
wujudnya pihak yang sewenang-wenangnya bertindak melanggar perjanjian
dan tidak berlaku adil semata-mata kerana tidak mahu memberikan hak
kepada pihak yang tidak disenangi dan dianggap musuh politik mereka.
Hasil mahsul bumi diangkut sewenang-wenangnya tanpa sebarang faedah
kepada penduduk setempat sekalipun sudah wujud perjanjian yang jelas.
Semua ini berlaku apabila orang-orang Islam sendiri tidak menghayati
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Orang-orang Islam itu dipegang pada janji mereka". (Riwayat Imam Bukhari)
Sepatutnya
sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT, hak-hak
yang telah diiktiraf di dalam perjanjian hendaklah sentiasa dihormati
tanpa sebarang penyelewengan fakta semata-mata kerana tidak sehaluan
dari sudut fahaman politik dan lain-lain. Jika seseorang itu tidak
mematuhi janji yang telah dimeterai, maka hilanglah penghormatan orang
lain terhadap dirinya dan pastinya akan dikecam sebagai pengkhianat
serta tidak boleh dipercayai.
Demi keadilan yang dituntut oleh
Islam, maka hak-hak yang telah termaktub di dalam sebarang perjanjian
yang tidak melanggar syarak hendaklah dikembalikan agar tidak menjadi
bebanan di hadapan Allah SWT. Ingatlah walau siapapun kita dan setinggi
mana pun pangkat yang kita miliki, sebarang pengkhianatan terhadap
perjanjian tetap akan dipersoalkan oleh Allah SWT. Kita mungkin berjaya
melepasi mahkamah di dunia, tetapi kita tidak mungkin dapat melepasi
mahkamah Allah SWT di akhirat kelak.
Sempena menyambut hari raya
aidiladha yang hanya beberapa hari sahaja lagi, saya dan seluruh
kepimpinan kerajaan negeri mengambil kesempatan memohon kemaafan jika
ada salah silap dan kepada anak-anak Kelantan di perantauan agar dapat
berhati-hati semasa pulang ke kampung halaman nanti. Maaf Zahir Batin
khas buat seluruh rakyat Kelantan dan tidak dilupakan juga kepada
pasukan keselamatan yang bertugas diperbatasan.
من العائدين والفائزين كل عام وأنتم بخير
“Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir Batin”
hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...