SHAH ALAM, 22 JULAI: Pakatan Rakyat (PR) diingatkan menyelesaikan isu
Menteri Besar Selangor dengan tertib serta penuh berhemah dengan
persefahaman tiga parti berhadapan cabaran itu untuk mempertahankan
kerajaan sedia ada.
Hal ini berikutan kepercayaan pengundi di Selangor boleh merudum
apabila PR sendiri memberikan gambaran perjuangan lebih mementingkan
agenda politik berbanding memelihara kepentingan rakyat.
Menteri
Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau berharap isu
pertukaran Menteri Besar seperti yang dimahukan beberapa pihak PKR dapat
diselesaikan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab sekaligus
memulihkan keyakinan rakyat ekoran isu ini.
“Sudah tentu kalau perkara ini tak diselesaikan dengan penuh tertib
dan penuh adab akan menjejaskan bukan sahaja PR di Selangor tetapi PR di
PRU-14 akan datang.
“Jadi oleh sebab itu saya berdoa harap perkara ini dapat diselesaikan
dengan penuh tertib, bertanggungjawab dan mengikut lunas-lunas Enakmen
Kerajaan Negeri Selangor.
“Ini kerana Enakmen Kerajaan Negeri Selangor memperakui bahawa Duli
Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah penentu orang yang akan
mengepalai pentadbiran Negeri Selangor iaitu yang menjadi Menteri
Besar,” kata Abdul Khalid dalam wawancara ekslusif bersama Selangor Kini
di Pejabat Menteri Besar pada Isnin lepas.
Abdul Khalid juga berkata kerajaan sebelum ini berjaya membuktikan
peningkatan sokongan yang diterima dari rakyat Selangor apabila berjaya
meningkatkan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 lalu.
Sementara itu ketika mengulas proses rundingan pengambilalihan
syarikat konsesi pengurusan air, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor
Sdn Bhd (SPLASH) yang satu-satunya masih belum dimuktamadkan, Abdul
Khalid menegaskan tindakan melobi bagi syarikat konsesi oleh mana-mana
pihak merupakan langkah yang membelakangkan kepentingan rakyat Selangor.
“Jika itu berlaku bermakna mana-mana parti yang membenarkan seseorang
boleh melobi ke atas keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri, ini bererti
membelakangkan tujuan untuk memberikan kuasa rakyat dapat kebaikan dan
pentadbiran yang tulus dan bertanggungjawab.
“Jadi oleh sebab itu saya rasa perkara ini perlu dihindarkan dan beri
keupayaan kepada pentadbiran mencari jalan supaya dapat menentukan
pembelian konsesi air dibuat dengan harga berpatutan, munasabah dan
menguntungkan rakyat,” kata Abdul Khalid lagi.
Abdul Khalid turut menyarankan agar rakyat meneliti perkembangan
terkini isu kerusi Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab dan tidak
mengikuti berita fitnah dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab.
“Rakyat Selangor mesti menerima hakikat bahawa Selangor mempunyai
tatacara perlantikan iaitu, tatacara yang penuh tertib dalam Enakmen
Kerajaan Negeri Selangor.
“Saya percaya Kerajaan Negeri dan juga pihak Duli Yang Maha Mulia
Sultan Selangor akan mengikuti tatacara tersebut dengan penuh tertib dan
penuh adab,” jelas beliau lagi.
sk
moga PAS lebih berani.nuar n rafizi patut pencen politik. kekal TSKI.
BalasPadam