SHAH ALAM, 15 JULAI: Barisan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) digesa
untuk tidak ‘menonjolkan’ perbalahan seterusnya memberi bola tanggung
kepada Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mengintai peluang untuk
merampas kembali negeri itu.
Exco Negeri yang juga Yang Di Pertua PAS Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus
Hairi, berkata dengan kekalahan Teknikal Knock Out (TKO) BN pada
pilihan raya umum lepas, BN kini sentiasa mengawasi dan mencari sebarang
peluang terluang.
Katanya, BN akan menggunakan peluang yang terhidang untuk mencemar imej PR yang kini mula sebati dengan rakyat Selangor.
“Oleh
itu kepimpinan PR Selangor janganlah pula cuba untuk bermurah hati
dengan memberikan senjata dan peluru hidup kepada pihak musuh untuk
menembak secara tepat ke jantung sehingga boleh menyebabkan kematian
yang sangat ngeri.
“Kepimpinan PR perlu juga mengingati bahawa rakyat Selangor kini
terdidik untuk menghukum sebarang kesalahan kepimpinan yang cuba untuk
memenuhi kehendak diri sendiri berbanding keutamaan kepada rakyat,”
tegasnya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Yunus yang juga ADUN Sijangkang mengingatkan semua
pimpinan PR khususnya di Selangor untuk tidak mengtuhankan agenda
peribadi termasuk ketaksuban perebutan jawatan yang sebelum ini sebati
dengan BN.
Katanya, keadaan itu akan memberikan stigma negatif kepada rakyat
yang meletakkan harapan tinggi kepada PR dalam usaha membela perjuangan
rakyat yang sejak dahulu dinafikan BN.
“Janganlah kerana hasutan musuh dan matlamat peribadi insan
bertopengkan haiwan menyebabkan kekalutan yang berterusan sehingga
menyimpangkan perjuangan hakiki PR Selangor selama ini.
“Tidakkah
disedari oleh kepimpinan PR Selangor keributan permasalahan dalaman ini
secara terbuka boleh mengundang persepsi meluat dan menyampah di
kalangan rakyat yang akan menyamakan kepimpinan kini tidak ubah seperti
BNl yang cukup suka berbalah dengan agenda perebutan jawatan,” katanya.
“Rakyat Selangor perlu diyakinkan bahawa polisi dan agenda PR di
dalam mengutamakan rakyat adalah sangat jelas dan tidak berubah.
“Tampuk kepimpinan boleh berubah tetapi agenda mengagihkan keuntungan
dan laba Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor tetap akan berterusan,”
katanya.
sk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...