Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa antarabangsa supaya melakukan siasatan penuh dan bebas ke atas insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine.
Dalam kenyataannya, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata siasatan tersebut perlu walaupun pihak bertanggungjawab belum dikenal pasti dalam yang dianggap sebagai "pembunuhan beramai-ramai" itu.
"Kami mengutuk tindakan keganasan ini dan menggesa pihak berkuasa antarabangsa melakukan siasatan penuh dan bebas dan membawa ke muka pengadilan dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai," katanya.
Anggota parlimen Permatang Pauh itu turut merakamkan ucapan takziah buat semua keluarga penumpang dan anak-anak kapal yang terkorban dalam kecelakaan itu.
"Kami berkongsi kedukaan dan kehilangan mereka dan mendoakan mereka tabah mengahrungi ujian ini," katanya.
Dilaporkan seramai 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam pesawat MH17 milik MAS yang terhempas di Ukraine hari ini semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim pula menggesa pihak antarabangsa memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat dan penyelamat sementara pihak yang bersalah harus diheret ke muka pengadilan.
"PKR juga berharap masyarakat antarabangsa khususnya di Rusia dan Ukraine, termasuklah puak pemisah pro-Rusia di kawasan terhempasnya pesawat MH17, akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat dan penyelamat antarabangsa," katanya.
mk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...