KUALA LUMPUR 10 JUN: Jabatan Agama perlu bijaksana dan sensitif
terhadap sesuatu isu keagamaan supaya ia dapat diselesaikan tanpa
menyinggung mana-mana kaum di negara ini.
Tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu
perlu ekoran pendekatan yang diambil oleh beberapa Jabatan Agama Negeri
dalam menangani isu berkaitan adalah kurang wajar dan memuaskan.
“Perlu kaedah yang bijaksana dalam menangani soal agama tanpa mengira agama sekalipun.
“Perlu jaga sensitiviti agama dan jika ada bukti yang jelas, kaedah rundingan harus dilaksanakan,” katanya pada kenyataan.
Beliau merujuk tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang
dikecam kerana menghentikan satu majlis perkahwinan agama mengikut adat
Hindu dan menahan pengantin perempuan didakwa penganut Islam, di
Petaling Jaya 1 Jun lalu.
Kejadian serupa turut berlaku di Pulau Pinang semalam apabila pasukan
Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) menghentikan upacara
pengebumian seorang wanita Cina dan membawa mayat berkenaan untuk
disimpan di sebuah bilik mayat.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, hal seumpama
itu memberi isyarat bahaya kepada semua masyarakat berbilang agama.
Kata beliau, bukti perlu dikemuka terlebih dahulu sebelum sesuatu
tindakan diambil kerana tindakan kurang bijak bakal mencerminkan
keangkuhan kuasa semata-mata.
“Saya syorkan segala perbincangan dengan adab dan sopan dilaksanakan supaya kata sepakat dapat dicapai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata,
insiden yang berlaku di negeri itu merupakan satu perkara yang tidak
menghormati upacara keagamaan.
Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, tindakan ini jelas tidak menghiraukan
perasaan keluarga mangsa dan tidak menghormati hak-hak orang bukan
Islam seperti ia tidak pernah wujud.
“Insiden seumpama ini akan memberi kesan negatif kepada negara dan kita perlu untuk menghormati agama lain,” kata Guan Eng.
kd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...