(Oleh Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KEADILAN)
Saya ingin memberi reaksi serangan terbaru Dr Mahathir ke atas Anwar Ibrahim seperti dilapor Bernama bertarikh 14 Mei 2014. Saya kira Dr Mahathir melatah lagi.
Kali ini beliau menyerang Anwar Ibrahim kerana dijemput menyampaikan
syarahan di Universiti Al-Azhar, Jakarta Indonesia. Bahkan penganjur
yang menjemput Anwar juga diserang Dr Mahathir. Kata Dr Mahathir, Anwar
tidak layak menyampaikan syarahan tentang Islam kerana moralnya rendah!
Izinkan saya menceritakan kepada Dr Mahathir yang mudah lupa, lama
sebelum Anwar berkawan dengan Dr Mahathir, Anwar sudah pun mengenali dan
berguru dengan Dr Yusof Qardawi, Dr Ismail Faruqi, Dr Sheikh Taha Jabir
Al-Awani, Pak Natsir, Pak Hamka, Sheikh Hassan Turabi, Dr Rashid
Ghanousi, Sheik Mehdi Aqif dan ramai lagi.
Anwar terlibat dengan gerakan Islam sejak zaman sekolah, mahasiswa,
belia dan tidak pernah bersara hingga hari ini.
Tokoh-tokoh ilmuan dan
gerakan Islam seantero dunia seperti Dr Yusof Qardawi, Dr Wahbah
Zuhaily, Dr Abu Hamid Sulaiman, Dr Ahmad Totonji, Dr Tariq Suwaidan dan
Dr Tariq Ramadan sentiasa mengunjungi Anwar setiap kali mereka
berkesempatan datang ke Malaysia berbincang isu-isu umat sejagat.
Biarlah saya mengingatkan Dr Mahathir walau bersungguh-sungguh
beliau berusaha untuk membunuh karakter Anwar dengan fitnah liwat selama
lebih 15 tahun, fitnah jijik itu tidak mampu menjauhkan tokoh-tokoh
ilmuan Islam daripada Anwar.
Kalau Dr Mahathir ingin tahu apa sebabnya, jawapannya cukup terang.
Islam melarang dan mengharamkan seorang muslim memfitnah saudara
muslimnya yang lain dengan fitnah zina atau liwat. Dr Mahathir lah yang
mereka fitnah liwat terhadap Anwar.
Namun Dr Mahathir tidak pernah berupaya menampilkan empat saksi
sepertimana yang Al-Quran wajibkan. Rakan-rakan Anwar dari kalangan
tokoh-tokoh Ilmuan Islam ini terus mendokong Anwar kerana kayu ukur
mereka ialah Al Quran. Keyakinan mereka ialah Anwar menjadi mangsa
fitnah jahat Dr Mahathir.
Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri memperalatkan seluruh
jentera pemerintah termasuk media, polis, peguam negara dan mahkamah
untuk melengkapkan fitnahnya terhadap Anwar.
Dipenjarakan tujuh tahun, bebas dan Anwar terus berjuang. Apakah Dr
Mahathir berhasil “membunuh” Anwar? Tidak sama sekali! Kalau dahulu
ketika masih berkuasa Dr Mahathir boleh sahaja menyekat dan memenjarakan
Anwar. Hari ini pun kerajaan Umno/BN boleh terus menyekat Anwar
menyampaikan syarahan di universiti-universiti awam dan swasta di negara
kita. Kerajaan Umno/BN malah boleh mengugut mahasiswa-mahasiswa
Malaysia di luar negara agar jangan mengikuti syarahan Anwar.
Namun Dr Mahathir dan kerajaan Umno/BN tidak boleh menyekat
universiti-universiti terkemuka di rantau Asean, di Eropah, di Amerika
Syarikat dan di Timur Tengah dari terus mengundang Anwar.
Anwar sering dijemput mengupas pelbagai tajuk menyentuh persoalan
umat Islam dan dunia seluruhnya. Saya pernah bepergian bersama Anwar
ketika beliau diundang menyampaikan syarahan di Mesir, Turki, Singapura,
Indonesia dan banyak negara-negara lain. Siapa yang hadir mengikuti
syarahan Anwar? Untuk makluman Dr Mahathir, mereka ialah
menteri-menteri, tokoh-tokoh pemikir dan sarjana Islam, golongan
korporat, pimpinan media, professor universiti, tokoh-tokoh ekonomi dan
teknokrat.
Di Tunisia misalnya Dr Rashid Ghanousi menjemput Anwar menyampaikan
pandangannya kepada seluruh ahli-ahli parlimen dan anggota jemaah
menteri Tunisia. Di Turki, Perdana Menteri Tayyib Erdogan menjemput
Anwar berucap di Istana Presiden mengupas topik Islam dan kebangkitan
dunia Arab.
Satu ketika di Mesir seingat saya tahun 2010, Anwar dijemput
menyampaikan ucaputama persidangan antarabangsa Islam dan Demokrasi. Di
Singapura, bertempat di World Trade Center, ucapan Anwar pula ditujukan
kepada tokoh-tokoh media dunia.
Di Indonesia pengaruh Anwar bukan kepalang. Seorang teman saya asal
Bogor pernah bergurau, katanya tokoh-tokoh Indonesia saling berselisih
dan berbeda pendapat antara satu sama lain, namun mereka boleh sahaja
bersatu kalau mengkagumi Anwar. Pesantren, Universiti, Badan-badan
pemikir dan intelektual Indonesia sering mengundang Anwar menyampaikan
pidatonya.
Anwar boleh berbicara karangan Shakespeare, Confucius, Mohamad Iqbal,
Rabindranth Tagore, Jose Rizal atau mendeklamasi puisi Rendra. Pada
masa yang sama Anwar giat mempelopori Maqasid Syariah dan membentang
kertas seminar Islam dan demokrasi di serata dunia.
Tidaklah menghairankan sebaik keluar dari penjara Anwar dilantik
sebagai fellow di Universiti Oxford dan menjadi professor di Universiti
New Hopkins Amerika Syarikat. Anwar juga dilantik penasihat ekonomi
Qatar dan beberapa institusi perbankan di negara arab.
Elok juga saya mengingatkan Dr Mahathir bahawa Anwar yang cuba
dibunuh karakternya oleh Dr Mahathir cuma manusia biasa. Hormat orang
kepadanya bersebab.
Fitnah Dr Mahathir hanya “berhasil” di dalam kalangan Umno. Itupun
bukan semua. Ramai kenalan saya di dalam Umno yang kini menduduki
jawatan-jawatan utama dalam parti dan kerajaan mengakui hakikat ini.
Cuma yang tiada pada mereka ialah keberanian untuk berkata benar di
hadapan pemimpin pencipta fitnah.
Bagaimana sebenarnya Dr Mahathir mahu diingati? Berkuasa selama dua
puluh tiga tahun legasi yang ditinggalkannya ialah merosakkan institusi
kehakiman, menekan kebebasan media, menyuburkan budaya rasuah, memunggah
kekayaan negara menjadi kekayaan peribadi, memusuhi institusi raja-raja
Melayu dan berkekalan memusuhi ulama.
Ketika Anwar masih terus dengan tradisi ilmu dan rapat dengan Dr
Yusof Qardawi, Dr Tariq Suwaidan, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Mahathir pula
rapat dengan Ananda Krishna, Francis Yeoh dan Syed Mokhtar Bukhary.
Ketika anak-anak Anwar membesar dan membina kerjaya yang cukup
sederhana, Dr Mahathir pula cemerlang membantu anak-anaknya mencipta
nama tergolong kelompok mahakaya di Malaysia! Ketika Anwar terus
berjuang membela rakyat, menolak politik perkauman, mengajak rakyat
mencari titik persaudaraan, menuntut kekayaan negara diagih secara adil,
Dr Mahathir pula kekal dengan gaya politik lama, usang, tidak pernah
puas menimbun kekayaan dan penuh dendam kesumat.
Saksikanlah pada usia lebih 80an tahun Dr Mahathir terus menyerang
Anwar tanpa henti. Tidak pernah ada tanda-tanda beliau sedar dan insaf
perbuatan fitnahnya terhadap Anwar.
Pesanan buat Dr Mahathir, sesungguhnya Allah SWT menyayangi
hamba-hambanya yang sentiasa bertaubat dan membersihkan diri. Sebaliknya
Allah juga bencikan orang yang tidak mahu bertaubat dan paling
dibenciNya ialah orang tua yang tidak mahu bertaubat. Doa saya agar Dr
Mahathir tidak tergolong dalam kalangan jenis itu dan dibuka pintu
hatinya. Amin ya Rabb.
kd
Sdr Saifuddin Nasution, terima kasih kerana pencernaan perjuangan DSAI tetapi sayang nasibnya menjadi lilin sudah terlalu jauh hari ini, macam mana nak dikatakan, adekah masih mencari keredhaan dan keberkatan Allah.
BalasPadamKita tahu jahat dan zalim manusia bernama Mahathir, terutama sekarang dengan pendedahan Tun Musa Hitam perihal Memali.
Cuma saya kira perjuangan belandaskan Islam dan Hukum-hukumnya sepatutnya sudah senang setelah 15tahun diseksa difitnah! Tetapi mengapa sebaliknya?
Salah satu motif kebencian Mahathir kpd Anwar ialah dia perasan dirinya hebat dan popular, tetapi dilihatnya Anwar lebih hebat dan lebih popular drp dirinya. Semuanya itu disebabkan Mahathir berhati amat busuk, tidak ada memiliki perasaan gentar pd Allah dlm hatinya. Dosa dan pahala baginya semua itu entah betul atau tidak. Mungkin saja Mahathir ini ada bau2 kentut dgn Asoka kat India tu, yg berjaya membina Taj Mahal di tebing Sg Agra.
BalasPadam