KUALA LUMPUR 10 MEI: Kenyataan dibuat NGO Ikatan Muslimin Malaysia
(ISMA) yang menggelar masyarakat Cina sebagai penceroboh adalah cubaan
mengapi-apikan sentimen kebencian kaum dan agama di negara ini.
Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, kenyataan
tersebut sangat bahaya dan boleh mengundang perbalahan kaum dan sengketa
agama.
“Dia
tidak memahami sejarah dan apresiasi ayat Al Quran dalam surah
Al-Hujurat ayat 13 yang jelas menyatakan Allah mencipta kaum-kaum yang
berbeza supaya mereka mengenal antara satu sama lain dan hidup dengan
aman.
“Menunjukkan sikap yang terlalu rasis dan taksub keagamaan adalah
bertentangan dengan prinsip Islam. Ini boleh membawa kemudaratan kepada
hubungan sesama kaum di negara ini yang sekian lama dijalin dengan
suasana muhibbah,” tegas beliau.
Katanya lagi, kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab, apatah lagi, Abdullah Zaik mengakui memimpin sebuah gerakan Islam.
“Fakta sejarah adalah, kaum Cina dibawa penjajah Inggeris untuk
menjana ekonomi dan perlombongan. Mereka telah lama mendapat kerakyatan
menerusi jos soli. Itu hakikat sejarah dan tak perlu diungkit-ungkit.
Apa yang penting adalah membina kewarganegaraan yang setia kepada raja
dan negara,”
“Sepatutnya sekarang ini, prejudis antara kaum dikurangkan bagi
mewujudkan masyarakat madani, hormat menghormati antara satu sama lain
seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan,” ujarnya.
Pemimpin NGO konservatif itu baru-baru ini menggelar masyarakat Cina
Malaysia sebagai “penceroboh” dan “membuli orang Melayu” selepas dibawa
masuk oleh British pada era sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.
Ditanya mengenai kenyataan Abdullah Zaik yang mengatakan hukum hudud
perlu dijatuhkan kepada bukan muslim, Muhammad Nur berkata pendapat itu
tidak muktamad kerana berlaku perbezaan di kalangan ulama.
“Itu bukan keputusan muktamad kerana ia perlu sesuai dalam konteks
masyarakat majmuk seperti Malaysia dan perlu kepada perbincangan yang
profesional. Kerana itu ulama berijma, untuk mendapatkan satu proses
perundingan agar falsafah hudud itu tidak menimbulkan ketakutan kepada
bukan muslim,” ujarnya.
“Beliau (Abdulah Zaik) tidak ‘memasarkan’ Islam secara berhemah
kepada “Fiqh al-Aulawiyyat” (prinsip keutamaan) seperti yang diutarakan
ramai ulama terkenal termasuk Dr Yusuf Al Qardawi,” tambahnya.
kd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...