MH 370: Meletak jawatan adalah harga menebus kesilapan
DATUK Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia akhirnya mengakui kesilapan atau ‘tersalah langkah’ dalam misi pencarian pesawat MH370. Kenyataan beliau diperjelaskan dengan pengakuan bahawa kerajaan tidak mengutamakan aspek komunikasi, malah mengakui bahawa pengendali trafik udara mengambil masa selepas empat jam untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat.Pengakuan beliau hanya berlaku selepas usaha mencari dan menyelamat berlangsung selama lebih dua bulan dengan melibatkan beberapa puluh buah negara dan membelanjakan berjuta ringgit untuk mencari pesawat yang hilang itu. Kesudahannya sehingga sekarang pesawat itu belum ditemui.
Pengakuan PM bererti kerajaan khususnya pasukan keselamatan telah melakukan sesuatu yang silap apabila lambat bertindak apabila memulakan operasi hanya selepas empat jam daripada maklumat kehilangannya. Dalam aspek keselamatan negara, segala perkara perlu dipantau dan dikawal ketat terutama yang melibatkan pergerakan udara. Apabila ada sebuah pesawat yang hilang dari radar, sepatutnya dalam masa beberapa minit tindakan segera perlu dibuat untuk mengesannya kembali termasuk operasi mencari dan menyelamat. Membiarkan selama empat jam untuk menggerakkan operasi dianggap terlalu lewat kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan ratusan nyawa boleh melayang dalam tempoh tersebut. Barangkali pesawat mampu untuk dikesan jika operasi mencari dan menyelamat digerakkan cepat dan dan tidaklah ia hilang seperti mana sekarang.
Soal keselamatan negara adalah sesuatu yang serius dan kita tidak boleh bermain-main dengan kesilapan ini daripada terus berulang. Jika serapuh dan selemah ini negara ini dipantau, mungkin kejadian lebih buruk boleh berlaku. Musuh-musuh negara boleh mengambil kesempatan untuk menyerang mana-mana sistem pertahanan negara atau lokasi strategik negara. Paling tidak, kebarangkalian pesawat hilang boleh berlaku lagi pada bila-bila masa.
Jika PM sudah mengakui, ia menandakan ada pihak yang perlu dipersalahkan. Kesemua pihak berkaitan perlu bertanggungjawab atas kesilapan besar ini yang semestinya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jika PM Korea Selatan berani mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan atas insiden karam di negara tersebut yang mengorbankan 300 orang, apakah atas perkara yang sama PM Malaysia tidak boleh bertanggungjawab atas kehilangan nyawa dan pesawat (belum ditemui) yang berjumlah 227 orang serta 12 anak kapal? Sewajarnya jika PM seorang yang bermaruah, beliau bersama Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Pertahanan meletak jawatan atas kegagalan mereka melaksanakan misi besar ini. Jangan hanya dituding kepada pegawai tertinggi dalam pasukan tertentu sebagai ‘kambing hitam’ untuk dipersalahkan, sedangkan ketua negara sendiri bebas tanpa dipertanggungjawabkan.
Dr Riduan Mohd Nor ialah Ahli jawatankuasa PAS Pusat
hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...