Pages - Menu

Pages - Menu

Sabtu, April 26, 2014

[ wajib baca ] Sudah tiba masanya rakyat bangkit menuntut kembali hak mereka.


Tiada siapa dapat melupakan laungan ‘Keadilan untuk Anwar’, ‘Reformasi’, ‘Mahathir letak jawatan’, ‘Selamatkan Malaysia’ yang memenuhi ruang angkasa bumi Kuala Lumpur (di Masjid Negara, Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman) pada 20 September 1998 - lebih dua minggu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan kerajaan dan Umno ketika itu, selaku timbalan perdana menteri, menteri kewangan dan timbalan presiden Umno.

Malamnya, Anwar ditangkap dan dibawa keluar dari rumahnya secara paksa apabila komando dan anggota polis merempuh masuk ke kediaman beliau di Bukit Damansara. Semua itu kini menjadi sejarah yang tidak mungkin dapat dipadam atau diolah semula.

Ketidakadilan, kezaliman dan kekejaman ke atas sosok Anwar, tidak mungkin berlaku jika negara didasari dengan sistem kehakiman yang adil, sistem kerajaan yang amanah dan telus serta media yang bebas. Sebaliknya semua aparatus kerajaan dipergunakan bagai perkakas oleh pemerintah durjana.

Pembohongan, fitnah, penipuan disogok kepada rakyat tanpa putus; sehinggakan ke tahap yang langsung tidak boleh diterima oleh norma masyarakat. Lebih malang, kezaliman itu turut meluas merangkumi mereka yang dilihat tidak sehaluan dengan pemerintah atau dipaparkan sebagai simpatisan kepada Anwar. Semua ini hanya berlaku apabila 'kejahatan' mengatasi 'kebaikan'; hanya apabila 'kebaikan' berdiam diri membenarkan melihat segala kebejatan ini berlaku.

Reformasi dilaung bukanlah untuk disorak ketika ceramah umum. Reformasi dilaung bukanlah untuk mengajak rakyat turun ke jalan raya semata-mata. Reformasi dilaung bukanlah hanya sebagai bukti perlawanan kepada pemerintah. Lebih jauh, reformasi tidaklah dilaung sebagai pelaris untuk mengaut untung dan berjualan.

Reformasi itu ada asasnya. Ada idea disebaliknya. Ada makna dan ertinya. Reformasi itu bukan hanya di bibir atau dada kemeja-T; tetapi reformasi itu harus terbit daripada kesedaran, pencerahan di dalam jiwa - islah mas tata'tum - melakukan islah sedaya upaya kami.

15 tahun sejak penubuhan PKR; ramai pemimpin, aktivis dan pendokong parti yang datang dan pergi. Acapkali kita melihat ramai 'wira' dan 'pahlawan gagah' melaungkan reformasi, tangkas berpencak, terlihat seolah menggadaikan segalanya untu perjuangan, tetapi akhirnya kecundang tewas dalam perjuangan ini.

Di satu ketika merekalah kelihatannya seperti panglima terbaik menegakkan keadilan untuk Anwar, kini menjadi musuh nombor wahid bukan hanya kepada Anwar tetapi juga perjuangan reformasi. Kitaran ini bukanlah sesuatu yang asing, tetapi berulang - ulang.

Jika negara merdeka dengan lafaz Pemahsyuran Kemerdekaan; Reformasi pula diisytihar dengan Deklarasi Permatang Pauh. Deklarasi ini dibacakan pertama kalinya pada 12 September 1998 di Cherok To' Kun, Bukit Mertajam. Deklarasi ini menjadi nyawa kepada jasad reformasi yang meletus ketika itu. Perjuangan yang tidak didasari dengan asas pemikiran dan gagasan yang jelas tidak akan kekal lama.

Maka dimaknai perjuangan menuntut reformasi ini dengan Deklarasi Permatang Pauh. Inilah pegangan para pejuang reformasi sejak 16 tahun lamanya. Mereka yang hanya menuturkan deklarasi ini di bibir, tetapi tidak disemat ke dalam hati - akhirnya akan kecundang dalam perjuangan ini.

Sejak 2008; kebangkitan rakyat hasil daripada perjuangan reformasi, Anwar kembali dilihat sebagai satu ancaman kepada kestabilan kuasa pemerintah. Sekali lagi 'pita' lama diulang. Satu lagi kes fitnah melibatkan tuduhan yang serupa - liwat, dipintal dengan kitaran bukti yang palsu, tanpa pembuktian kejadian yang kukuh, kredibiliti si penuduh yang diragui dan institusi yang sepatutnya menegakkan keadilan dan kedaulatan undang - undang sanggup dinodai dan dimanipulasi untuk mencapai matlamat jahat mereka si durjana.

Demi memastikan ancaman ini dihapuskan, Anwar kini berkemungkinan diletakkan semula di belakang jeriji besi, dipasung jasadnya dengan harapan dapat mengekang gelombang tuntutan perubahan rakyat.
Hakikatnya tidak berlaku kezaliman ini jika sistem negara ini berubah. Tidak mungkin kezaliman ini terlaksana jika wujudnya kedaulatan undang - undang. Tidak mungkin kezaliman ini tercetus jika para hakimnya beriman kepada akhirat.

Tidak mungkin kezaliman ini menjelma jika polis berintegriti dan bersih. Tidak mungkin kezaliman ini terhasil jika pemerintahnya adil dan amanah. Hakikatnya kezaliman ini berlaku kerana kita masih belum berjaya melakukan islah sekuat daya upaya kita. Islah itu haruslah dilaksanakan dengan menggembalikan semula asas negara ini menjadi negara yang demokratik, menjunjung Perlembagaan dan mendaulatkan undang - undang.

Iltizam keadilan untuk Anwar bukan hanya soal perjuangan peribadi sosok. Intipatinya lebih besar daripada itu - ketidakadilan ini berlaku kerana pincangnya sistem. Tiada alasan lain untuk semua rakyat yang dahagakan keadilan; untuk tidak sama menuntut reformasi.

Sistem yang bobrok ini wajib digantikan. Perundangan wajib dibebaskan. Media dibebaskan. Sistem demokrasi yang bebas dan adil dikembalikan. Perlawanan ke atas rasuah wajib diperhebat dan urus tadbir ekonomi negara wajib di atas prinsip ketelusan serta pengamalan tatakelola yang baik.

Hampir dua dekad tuntutan reformasi berkumandang - pemerintah memilih untuk menyadurkan saja kebobrokan dan kebejatan yang ada dengan saduran kosmetik yang palsu. Iltizam untuk keadilan tidak wujud dalam sanubari mereka (baca : pemerintah). Sudah tiba masanya rakyat bangkit menuntut kembali hak mereka. Tuntut keadilan. Tuntut reformasi demi masa depan anak kita.

Hayati bait sajak Rajawali karangan WS Rendra;

"...rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka."

 25 April, 2014.

* Penulis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya.

2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Ada juga yang tidak memahami dan tidak tahu mengunakan sifat pada diri nya yang telah di anugerahkan olih Allah S.W.T.kepada semua hamba2 nya di muka bumi ini, 3 sifat utama ini jika digunakan mengikut ajaran islam, maka dia tidak mudah dapat di hasut olih syaitan yang bertopengkan manusia 1. Mata yang Allah berikan supaya kita dapat melihat dan menjadi saksi akan kebenaran sesuatu pekara 2. Telinga supaya kita dapat mendengar sendiri dengan jelas akan kebenaran sesuatu perkara 3. Akal agar kita bolih berfikir dan menilai dan dapat menentukan samaada sesuatu perkara itu benar atau pun salah, maka jangan lah kita mudah mempercayai dan di pengaruhi hanya dengan kata2 yang tida bukti yang nyata, jangan cepat di pengaruhi olih iblis dan syaitan yang cuba memecah belahkan orang Islam dan cuba memutuskan tali persaudaraan sesama islam, Orang yang mencaci memfitnah dan memburukan sesama saudara seislam dan orang yang cuba memulakan rususuhan dan huruhara didalam negaranya sendiri adalah golongan iblis dan syaitan dan tiada syurga bagi nya. ada kah kita mahu negara kita berlaku sama seperti negara2 islam di tanah arab??? yang rakyat nya mudah di hasut dan di pengaruhi olih musuh2 Allah. Berfikir lah apakah cara dan perbuatan yang kita lakukan waktu kini benar atau pun salah disisi ALLAH S.W.T

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...