Pages - Menu
▼
Pages - Menu
▼
Sabtu, April 26, 2014
[ Wajib Baca ] GST dan cerita ibu
Ibu saya pernah bercerita tentang harga makanan pada zamannya – 60-an dan 70-an. Kuih 5 sen sebiji. Air minuman 5 sen segelas. Mi atau nasi lemak 10 sen sepinggan.
Perkara ini diceritakan kepada saya semasa saya masih di bangku sekolah rendah sekitar awal 1990-an. Pada awal 1990-an itu, harga kuih boleh diperoleh 10 sen sebiji, air minuman di kantin sekolah 10 sen segelas, sepinggan mi atau nasi lemak 20 sen.
Malah, saya sempat dengan zaman harga roti canai 30 sen sekeping.
Pada waktu artikel ini ditulis, harga kuih-muih sudah mencecah satu ringgit bagi tiga atau dua biji. Air minuman di kantin 50 sen segelas. Untuk mendapat sepinggan mi atau nasi lemak berharga satu ringgit cukup susah. Harga roti canai baru naik awal tahun ini daripada 80 sen kepada 90 sen sekeping selepas kerajaan persekutuan menaikkan harga gula.
Sementara itu, pendapatan pula tidak banyak berubah. Seingat saya, gaji bulanan ayah saya yang bekerja sebagai peneroka Felda adalah sekitar RM1000 pada tahun 90-an dahulu. Sekarang – 20 tahun kemudian – masih di sekitar itu.
Harga getah tidak juga naik-naik, sekitar RM 2.00 sekilogram. Gaji kerja kilang kekal tidak melebihi RM1000 sebulan.
Benar, inflasi terjadi. Sejak Amerika Syarikat meninggalkan sistem wang dicetak bersandarkan simpanan emas lalu mencetak duit sesedap rasa, ekonomi dunia terus cenderung kepada inflasi tahun demi tahun.
Namun persoalannya, peningkatan harga barangan (inflasi) tidak seiring dengan peningkatan pendapatan.
Dalam halnya di Malaysia, inflasi memecut dengan kepantasan yang menakjubkan beberapa tahun kebelakangan ini sejak kerajaan persekutuan dengan rakus menarik subsidi minyak, elektrik, gula dan sebagainya secara berkala. Tahun demi tahun, taraf pendapatan pula kekal statik tidak naik-naik sepertimana naiknya harga barang keperluan harian.
Dan kini, kerajaan yang menarik segala subsidi rakyat itu mahu memperkenalkan pula GST (Goods and Services Tax – Cukai Barangan dan Perkhidmatan).
Cukai sebegini sebenarnya bukan baru. Jika kita membeli makanan di KFC, McDonald atau Pizza Hut, kita boleh melihat di dalam resit caj perkhidmatan 6% ditambah ke atas harga asal.
Cuma bezanya, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas barangan yang disenaraikan sahaja, seperti KFC, McDonald atau Pizza Hut. Barangan yang tidak disenaraikan tidak dicukai.
GST pula adalah sebaliknya. GST dikenakan ke atas semua barangan kecuali yang disenaraikan sahaja. Ini bermakna, semua barangan mesti dicukai melainkan kerajaan kata barang ini atau itu tidak perlu dicukai.
Barangan yang setakat ini diuar-uarkan termasuk dalam senarai tidak dicukai oleh GST termasuklah barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, rempah, ikan masin, ikan bilis dan juga perkhidmatan kerajaan, kesihatan, pendidikan serta pengangkutan awam.
Tidak dinyatakan pula sama ada peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan beras dan minyak masak seperti baja, racun rumpai, mesin memproses dan lain-lain akan dikenakan GST atau tidak. Tidak dinyatakan sama ada caj syarikat pengangkutan yang mengedarkan barang-barang keperluan asas ini hingga sampai di kedai atau pasar raya akan dikenakan GST atau tidak.
Tidak dinyatakan sama ada peralatan untuk membaiki dan menyelenggara pengangkutan awam akan dikenakan GST atau tidak. Tidak dinyatakan sama ada segala bahan mentah dan keperluan yang digunakan dalam proses dari awal sampai akhir untuk menghasilkan ubat-ubatan atau bahan pendidikan akan dicukai GST atau tidak.
Hendak atau tidak, harga barang-barang ini tetap akan naik akhirnya.
Dan barang-barang yang bukan keperluan asas seperti simen, batu-bata, pasir dan atap yang digunakan untuk membina rumah pastinya akan dicukai GST. Harga rumah pada masa hadapan akan melambung, ditambah pula dengan cukai GST ke atas syarikat yang membuat rumah. Selamat saya ucapkan kepada pasangan kekasih yang asyik berjiwang sekarang ini dan tidak mempedulikan isu semasa, nanti selepas kahwin baru anda akan tahu hidup tidak selamanya indah, terutama ketika mahu membeli rumah.
Oh, dan ada kerajaan kata top-up telefon bimbit dan tarif elektrik tidak akan dikenakan GST?
Semua ini dilakukan oleh sebuah kerajaan persekutuan yang sebelum pilihan raya umum lalu memberi jaminan GST tidak akan dilaksanakan. Jadi apa jaminan bahawa barangan yang dikecualikan daripada GST sekarang tidak akan dikeluarkan dari senarainya pada masa hadapan?
Lebih teruk, GST diperkenalkan pada waktu ketirisan, penyelewengan dan pembaziran begitu berleluasa dalam pentadbiran kerajaan. Ke mana semua hasil kutipan cukai itu akan pergi?
Nanti apabila anak-anak saya sudah besar sedikit, bolehkah saya ceritakan kepada mereka: “Pada zaman ayah dulu, harga kuih hanya 10 sen sebiji. Pada zaman nenekmu dulu, harga kuih hanya 5 sen sebiji.” – pada waktu harga kuih-muih pada zaman itu nanti mungkin mencapai RM 1.00 sebiji?
GST ialah cukai yang zalim. Ia mengambil daripada si miskin untuk memperkayakan golongan-golongan kaya di dalam kerajaan. Ia akan menaikkan harga hampir semua barangan di sekeliling kita. Sudahlah subsidi ditarik, kini mereka mahu menambah cukai pula. Ia menjadikan orang susah semakin susah, orang fakir semakin fakir, orang berhutang terus terhutang.
Oleh itu marilah sama-sama kita lawan GST. Tingkatkan kesedaran diri dan masyarakat terhadap GST. Fahami GST, dan tolak GST. Kita bukan minta ia ditangguhkan; kita minta ia dimansuhkan terus.
hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...