SHAH ALAM 25 APRIL : Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Timbalan
Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad daripada tuduhan di bawah Akta
Perhimpunan Aman (PAA) 2012 bukti rakyat berhak berhimpun secara aman
tanpa perlu notis 10 hari.
Bercakap kepada Selangor Kini, Nik Nazmi menyifatkan kes
pertama kali dalam sejarah ini sebagai kejayaan rakyat yang harus
diraikan selain menjadi motivasi untuk sesiapa menyuarakan pandangan
serta bantahan.
Katanya,
keputusan hari ini juga penting dalam memberi mesej kepada pihak yang
berniat jahat menakut-nakutkan penganjur dan rakyat dengan menggunakan
akta yang tidak sah.
“Mahkamah Rayuan bukan sahaja ketepikan pertuduhan terhadap saya
malah isytihar Seksyen 9(5) sebagai tidak sah serta bertentangan
perlembagaan.
“Alhamdulillah, ini satu keputusan bersejarah sejak 57 tahun
kemerdekaan negara dan keputusan ini membuktikan rakyat berhak berhimpun
secara aman,” katanya yang dihubungi.
Pagi tadi, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen
9 (5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) yang menghukum mereka yang tidak
memberikan notis 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak
sah.
Panel yang diketuai Hakim Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof berkata tidak
ada dalam Akta itu yang membolehkan pihak berkuasa mengisytiharkan
perhimpunan aman sebagai haram.
Sehubungan itu, Nik Nazmi menggesa rakyat untuk turun berhimpun
sekali lagi pada awal bulan depan sempena Himpunan 1 Mei Bantah GST di
Kuala Lumpur.
“Kita jadikan keputusan hari ini sebagai satu penanda aras untuk kita berhimpun secara aman tanpa rasa takut,” katanya.
Pada tahun lepas, Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia didakwa di
bawah PAA berhubung penganjuran himpunan Black 505 yang diadakan di
Stadium Kelana Jaya.
Sewaktu Rang Undang-undang (RUU) PAA dibahas di Parlimen pada 2011,
semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bertindak keluar dari Dewan
Rakyat.
Pada waktu itu juga, lebih 1,000 peguam menyertai ‘perarakan peguam’
di hadapan bangunan Parlimen diketuai Presiden Majlis Peguam Malaysia,
Lim Chee Wee bagi membantah RUU itu.
Mereka bertegas undang-undang baru itu bercanggah dengan Perkara 10
Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk
warganegara mengadakan berhimpun. EZY
sk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...