KAJANG 18 MAC: Pertambahan mendadak pengundi awal bagi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kajang dari kira-kira 300 pengundi kepada 1187 sejak
Pilihan Raya Umum ke 13 lalu meragukan.
Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN terbabit, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail berkata, tambah meragukan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) tidak membenarkan pemantauan dilakukan parti bertanding ketika
pengundi awal membuang undi.
“Nampak peningkatan mendadak. Ini yang kita agak sangsi. Lazimnya
pengundi awal nampak cenderung kepada Barisan Nasional (BN) sebab tidak
ada pengawasan.
“Lepas pembuangan undi, sebelum pengiraan tidak ada pengawasan wakil
kami cuma dari SPR dan pihak polis,” kata Dr Wan Azizah ketika ditemui
Selangor Kini di Kampung Sungai Kantan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Unit Operasi 1 PKR bagi PRK Kajang, Yahya Shaari
memberitahu Selangor Kini, pertambahan itu berlaku selepas Maktab Polis
Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Cheras dimasukkan dalam kawasan DUN
Kajang dalam persempadanan sebelum ini.
Persempadanan semula yang dilaksanakan SPR sebelum ini sering menjadi
isu hangat yang dipertikaikan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berikutan
dakwaan memberi keuntungan kepada BN.
Esok 19 Mac merupakan hari mengundi bagi pengundi awal bagi PRK DUN Kajang.
Seramai 1187 pengundi awal dijangka akan membuang undi di tiga pusat pengundian yang dibuka SPR.
EZY
SelangorKini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...