KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan esok untuk memutuskan
sama ada membenarkan permohonan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
dan empat yang lain bagi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada semua
pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April,
2012.
Hakim Ahmad Bache juga akan memutuskan sama ada akan membenarkan
permohonan pihak pendakwaan bagi penangguhan sementara menunggu
permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah
Rayuan yang mengetepikan perintah Mahkamah Majistret yang melarang
Dataran Merdeka dijadikan venue perhimpunan itu.
Ahmad memberitahu barisan peguam bela dan pihak pendakwaan yang
diketuai Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa
terdapat beberapa isu penting dibangkitkan kedua-dua pihak dalam
permohonan masing-masing, dan dengan itu mahkamah memerlukan masa untuk
memutuskan perkara berkenaan.
Dalam prosiding hari ini, peguam S. N. Nair yang mewakili Ketua PKR
Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin, memberitahu mahkamah yang beliau
telah menulis kepada Pejabat Peguam Negara supaya anak guamnya diberikan
DNAA daripada pertuduhan itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Wan Shaharuddin memaklumkan pihak pendakwaan telah
memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan semalam dan
ia (perbicaraan) patut ditangguhkan sementara menunggu keputusan oleh
mahkamah itu.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...