Laporan Global Financial Integrity (GFI) mengenai jumlah aliran wang
haram keluar dari Malaysia yang menduduki tangga keempat tertinggi di
dunia sebaiknya dipandang serius. Sikap yang mempersoalkan angka-angka
dan lebih cenderong bersembunyi di belakang statistik tidak akan
membantu Malaysia mengatasi masalah ini pada kala kedudukan kewangan
negara semakin rapuh.
Kenyataan rasmi Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Senator Dato’ Paul Low yang meremehkan unsur rasuah dan
kegiatan haram yang menyumbang kepada aliran wang haram itu
membayangkan sikap Barisan Nasional. Tidak kiralah sama ada komponen
rasuah itu hanya 20% atau 50% dari jumlah aliran wang haram, jumlahnya
adalah berpuluh bilion ringgit setiap tahun dan mempunyai kesan besar
kepada ekonomi negara.
Terbaru, Barisan Nasional memberi alasan
bahawa pelaksanaan GST akan membantu mengurangkan aliran wang haram
dengan mengurangkan masalah “trade mispricing”.
Saya ingin
menegaskan bahawa GST tidak mempunyai pengaruh yang besar terhadap
masalah aliran wang haram, apatah lagi yang berhubung dengan jualan
eksport ke luar negara. GST ke atas eksport adalah pada kadar sifar
(zero rated supply) dan tidak mempunyai kesan pun ke atas harga barangan
eksport.
Masalah “trade mispricing” selalunya diuruskan oleh
Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui audit percukaian kerana ia bersabit
dengan cubaan mengelak cukai dengan mengenakan transfer pricing yang
tidak adil.
Alasan yang menggunakan masalah aliran wang haram
ini untuk mengiyakan pelaksanaan GST menunjukkan bagaimana Barisan
Nasional cuba mengelirukan rakyat yang rata-rata masih kurang memahami
GST. Ia juga bermakna Barisan Nasional tidak ikhlas dan
bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan masalah aliran wang haram.
Oleh itu, saya percaya KEADILAN dan Pakatan Rakyat perlu
mempertingkatkan lagi usaha untuk mendidik rakyat mengenai kesan
pelaksanaan GST terutamanya dalam keadaan harga barang dan perkhidmatan
utama dinaikkan berturut-turut.
Saya dan pimpinan kanan Pakatan
Rakyat termasuk Dato’ Seri Hadi Awang dan Saudara Lim Kit Siang akan
melancarkan kempen anti GST yang bertemakan #fahamGSTtolakGSTdi
Kelab Sultan Sulaiman pada 20 Disember 2013 (Jumaat ini) bermula jam
830 malam. Kempen ini kemudian akan dibawa ke negeri-negeri di seluruh
negara dan fasa pertama yang melibatkan penerangan mengenai GST dijangka
tamat menjelang Mac 2014.
Selain itu, pimpinan-pimpinan
KEADILAN telah diarahkan untuk mengendalikan taklimat mengenai GST di
kawasan masing-masing. Malam ini, satu taklimat #fahamGSTtolakGST akan diadakan di Auditorium MPAJ jam 830 malam yang memberikan kursus GST percuma kepada orang ramai.
Saya percaya pelaksanaan GST pada tahun 2015 masih boleh dihentikan sekiranya rakyat sehaluan bersama-sama menentangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...